SIFAT DAKWAH
Saya diajar tentang 3 sifat dakwah Rasulullah s.a.w iaitu:
1) Dakwah baginda mengajak manusia kepada membesarkan Allah s.w.t
2) Dakwah baginda mendatangi manusia, bukan menunggu manusia mendatangi baginda
3) Dakwah baginda digerakkan dengan korban dari diri sendiri, bukan mengharap orang berkorban untuk baginda
Saya mendapati berdakwah melalui blog punya 3 kelemahan sekurang-kurangnya iaitu:
1) Dakwah hanya dari tulisan maya yang lahir dari jari jemari, belum cukup mencabar lahir dari hati,lidah dan anggota yang beriman.
Buktinya, saya pernah bertemu dengan sang pelayar maya, yang berbicara sopan dan warak di satu forum maya, tapi berbicara lucah, keji dan biadab terhadap Allah s.w.t dan Rasul di forum yang lain.
Malah, ada juga daie maya yang menulis perihal sabar dan tawaduk dalam entri blognya, tetapi bersifat celaka dan keparat apabila mudah prejudis, termakan fitnah penyokong taksub blognya yang membatu api, sombong angkuh dan tak segan silu menghina pengomen blognya sebagai "sakit mental", "sick", "biadab", "kencing" atau menyindir-nyindir peribadi pengomen dan sebagainya hanya kerana pengomennya ada pendapat sendiri atau kurang memahami entri blognya.
2) Tulisan yang terpapar hanya terhidang menunggu pelayar maya membacanya, belum tentu dapat mendatangi manusia.
Walaupun ada manusia-manusia yang sudi berkhidmat dan sukarela untuk copy paste dan menyebarkan tulisannya dengan cara "forward" kepada orang lain, namun daie-daie maya tetap meminta agar sebarang sebaran disertakan sumber blognya, maka usaha penyebaran akhirnya mengharap orang mendatangi dirinya juga bukan mendatangi orang.
Kebanyakan orang yang mendatangi selalunya memang orang yang mencari agama atau yang sudah ingat kepada agama. Maka daie tetap tidak mendatangi orang yang lalai dan sesat yang jauh dari agama dari mengingati agama. Khususnya orang muda sesat yang malas membaca yang wajar diselamatkan kerana memang tidak terlintas untuk berfikir tentang agama.
3) Bukan semua orang ada internet atau depan monitor, apatah lagi manusia yang lalai dengan dunia.
Internet mungkin akses yang semakin global, tapi belum semua punya internet. Jikapun ada internet, belum semua duduk dalam ruang lingkup yang boleh diakses oleh tulisan dakwah. Jika seseorang itu hanya duduk dalam pelayaran internet dengan kata-kata kunci yang tak mungkin membawanya kepada tulisan dakwah. Apatah lagi jika seseorang itu menggunakan internet untuk chatting dan berhubung mesej dan kebetulan manusia yang dihubungi semuanya kepala-kepala syaitan.
Orang-orang yang sibuk dengan urusan dunia juga, ramai yang tak berminat dengan dunia maya kerana mereka sudah lazat dengan dunia realiti yang lebih mengasyikkan dan nyata jelas kelazatan kesyaitanannya. Kita juga boleh bayangkan pemuda pemudi yang menghisap dadah, seks bebas dan mabuk sentiasa tak akan ada kemahuan untuk duduk bertenang melayari internet yang hanya menggunakan otot jari menaip dan mengklik. Bukan semua juga manusia yang ada masa panjang untuk duduk depan monitor, malah bukan sifat manusia normal yang hanya hidup dengan monitor. Apatah lagi manusia normal perlukan mandi, makan, tidur, tandas dan keluarga.
SHARING IS CARING
Benar, tulisan di blog boleh dianggap perkongsian. Kita hanya berkongsi sesuatu yang kita ada untuk manfaat diri dan orang lain. Ada orang yang ada ilmu, maka mereka berkongsi ilmu mereka. Ada orang yang ada bakat, maka mereka kongsi bakat mereka. Ada orang yang ada pengalaman, maka mereka kongsi pengalaman mereka. Ada orang dapat kegembiraan, mereka kongsi kegembiraan mereka. Ada orang mendapat kesedihan, mereka kongsi kesedihan mereka. Ada orang mendapat pengajaran dan tauladan, mereka kongsi pengajaran dan tauladan itu. Ada orang mendapat hidayah, mereka kongsi hidayah itu.
Saya tak menafikan ada orang yang ada harta dan kemahuan,ada pula yang ada barang dan tawaran maka mereka kongsikan harta dan kemahuan mereka dengan berurusniaga bersama peniaga-peniaga maya. Saya tak menolak perniagaan internet sebagai suatu jalan yang menguntungkan, jimat, malah memudahkan. Saya juga membeli stok-stok barang halal untuk Halal Shop Gofuku Musolla dengan berurusniaga dalam internet. Apatah lagi jualan yang dilakukan adalah barang-barang keperluan umat dan ada pula barang dakwah seperti kitab agama mahupun bahan-bahan dakwah.
Saya lebih tertarik untuk menonjolkan internet sebagai zon perkongsian. Manusia berkongsi apa yang mereka ada, apatah lagi apabila perkongsian itu percuma. Benar, strategi menghapuskan kapitalis dunia adalah apabila dunia mula bergerak kepada zon perkongsian percuma. Kapitalis akan hancur, di mana dunia tidak lagi berurusan berteraskan wang ringgit tetapi berteraskan kasih sayang untuk berkongsi. Saya lihat kitab-kitab agama yang dulunya perlu dibeli dengan suatu harga kini hanya boleh didapati dengan mendownload. Apa yang mengujakan ialah perkongsian ini tak pernah mengurangkan 'stok' yang ada. Ia boleh tersebar dan ia boleh berganda jumlahnya tanpa kos yang mahal, hanya klik dan klik. Saya fikir medium internet peluang terbesar untuk cita-cita sejak kecil saya menghapuskan kapitalis suatu hari nanti.
Saya tertarik dengan laman Ireans yang diusahakan oleh sahabat saya. Walaupun laman itu bukanlah suatu laman yang tepat untuk mengingati Allah kerana laman web itu mengumpul lagu-lagu yang banyak boleh melalaikan jiwa, tetapi slogan Ireans "Sharing Is Caring" itu benar-benar menerjemahkan prinsipnya hanya untuk berkongsi apabila saya lihat tiada iklan internet atau permintaan derma yang diutarakan. Tidak tahulah jika di masa hadapan mereka juga terdesak dan memerlukan wang. Tapi saya terfikir kenapa sahabat saya dan gengnya sudi untuk berbelanja besar untuk server hanya untuk berkongsi lagu-lagu khususnya lagu melayu dan indonesia di situ. Jumlah ahli mereka meningkat mendadak, dan saya merasakan Ireans telah memenangi tempat teratas dalam mengumpul ahli teramai mengatasi laman Jiwang, Malaysiakini, Tranungkite, mahupun mana-mana laman malaysia lain.
Kisah Ireans yang low profile tapi masyhur mendadak itu akhirnya berhenti seketika operasi mereka disebabkan amaran saman oleh pemilik server dan amaran dari pengusaha industri hiburan Malaysia. Baguslah jika operasi mereka terhentipun, tak ada ruginya tak dapat lagu percuma. Tapi bagus juga adanya Ireans kerana industri hedonisme dah mula nak lingkup.
KORBAN
Sifat korbanlah ditekankan kepada saya apabila saya bermusafir dalam jemaah dakwah.
"Hanya apabila kita berkorban, barulah kita menghargai"
Saya tak akan lupa kebenaran kata-kata itu kerana saya merasainya dan melihat bukti nyata dan jelas di hadapan saya. Setiap manusia yang berkorban ke arah sesuatu akhirnya dia akan menghargai dan tahu menilai apa yang diusahakannya.
Seorang manusia yang berkorban untuk tidak makan dan pakai mewah untuk menyimpan wang demi membeli rumah atau kereta akan menghargai rumah dan keretanya apabila berjaya mendapatkannya. Dia tahu nilai rumah dan kereta itu bukan sekadar wang ringgit yang dia belanjakan tetapi usaha penat dan lelah dia menyimpan wang.
Seorang manusia yang berkorban apa sahaja untuk mengahwini kekasih hatinya, pastilah akan menghargai kekasihnya itu kerana dia tahu untuk mendapatkan kekasihnya itu bukan semudah petik jari dan kata-kata manis sahaja. Wang ringgit dan masa yang dia korbankan sahaja sudah begitu banyak, apatah lagi susah payah dalam menghadapi cabaran-cabaran memikat hati kekasihnya.
Tapi demi hidayah dan redha Allah, apalah sangat wang ringgit, masa, dan diri yang tak berharga ini untuk dikorbankan. Sebab itu sahabat-sahabat Nabi tak berkira untuk dihiris, ditoreh, dilibas dengan pedang dan panah musuh ketika berperang. Apalah sangat kulit yang terhiris dan luka perit untuk dapat kecintaan Allah, apatah lagi jika melayang nyawa di jalan Allah dijanjikan ganjaran besar tak terhingga oleh Allah sebagai syuhada.
Saya menghargai agama Islam yang saya anuti dan terasa kelazatan hidayah Allah apabila saya telah berkorban harta, masa dan diri saya untuk berdakwah di jalan Allah. Berdakwah di sini saya rujukkan kepada 3 sifat dakwah Nabi yang diajarkan kepada saya, mengajak manusia membesarkan Allah s.w.t, mendatangi manusia, dan berkorban dari diri sendiri bukan meminta orang korbankan untuk saya. Saya tak hairan bagaimana nabi yang bernikah dengan Khadijah yang kaya raya boleh wafat dalam keadaan tidak berharta kerana baginda telah korbankan semuanya untuk agama Allah. Benar, manusia tak sedar harta tak bawa mati, tapi iman dan amallah pendamping hingga mati dan ketika bertemu Allah di hari penghisaban.
Apa yang saya hairan, ada daie-daie blog yang sanggup berdakwah sambil mengumpul harta. Makin lama berdakwah, makin besar rumah. Makin lama berdakwah, makin besar perut. Makin lama berdakwah, makin kaya raya. Makin lama berdakwah, makin kurang ajar sikap angkuh sombong. Makin lama berdakwah, makin hilang seri wajah, makin komersial dan sial dakwah, makin kapitalis sifatnya. Sharing Is Caring bukan lagi tema untuk diri berkorban untuk orang, tapi meminta orang menanggung korban kerjanya. Hasilnya dia tak lagi berdakwah untuk kasih sayang, tapi untuk menunjukkan dirinya yang betul dan sempurna, memberi tetapi menghina. Saya tak akan lupa sifat terkutuk ini yang terjadi pada diri saya sendiri. Saya tak akan lupa bagaimana kejinya manusia yang kononnya memberi tapi mengherdik sesudah memberi. Malah yang paling keji, dia juga penerima kerana setiap yang klik webnya telah memberinya ongkos untuk dakwahnya secara tak langsung. Siapakah yang paling keji dari orang yang mengherdik sesudah menerima.