MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 BLOGEVOLUSI

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:16 am

Ada seorang budak kulitnya gelap sedikit dari kawan-kawannya di satu sudut bilik darjah yang suka mengoyakkan kertas dari bahagian tengah buku latihan garis satunya,lalu dia menconteng-conteng kertas itu dengan lukisan-lukisan huduh yang amat tanpa sebarang sebab.

Hatinya membayangkan dirinya bagai seorang pengarah filem yang mahukan beberapa ciri karakter buat menjadi watak jalan cerita yang dibentuknya sendiri.Tidak,dia bukan mencipta watak itu sebenarnya,tetapi rakus dia benarkan dirinya dipengaruhi karakter-karakter dari watak "Street Fighter" yang merupakan sebuah permainan video yang amat popular di kalangan rakan sebayanya yang lain.

Apa yang membezakannya cuma dia tidak pernah memegang konsol game itu yang cuma dilihatnya dari luar tingkap sebuah pusat hiburan yang menempatkan berpuluh mesin permainan video yang kebanyakannya menawarkan permainan dari siri "Street Fighter".



Dia menggemari Guile yang bertatukan bendera Amerika di bahu kiri dan kanannya kerana sifat karakter itu muncul di tengah-tengah dua karakter utama yang bersaing. Apa yang pasti dia tidak mahu jadi watak utama,Ryu walaupun Ryu lebih kacak dan mampu memuntahkan Hadouken(fireball) dari tangan ataupun watak pesaing Ryu,iaitu Ken yang juga berpewatakan menarik daripada Guile malah gerakan jurus tangannya yang dipanggil Syouryuken( Dragon Punch) juga amat menguja sekali.

Dia tetap memilih Guile mewakili dirinya mungkin kerana dia sedar dirinya bukan yang utama mahupun yang kedua yang mampu menggantikan yang utama.Dia rasa cukup dengan menjadi yang ketiga walaupun kemampuan yang ketiga itu adalah kemampuan yang tidak mampu menjadi yang utama.

Dia amat berminat untuk mengaturkan jalan cerita bagi watak-watak dari permainan video itu walaupun syarikat pengeluar permainan,CAPCOM itu telah pun siap mewujudkan jalan ceritanya. Dia tidak peduli akan hak cipta mahupun jalan cerita dari CAPCOM,apa yang pasti dia punya jalan cerita sendiri. Lalu dia mewujudkan kisah persahabatan dari karakter "Street Fighter" itu. Kisahnya amat mudah namun punya pengajaran.

4 sahabat baik Ryu,Ken,Guile dan Chun Li berjalan-jalan di suatu petang sehingga mereka diganggu oleh samseng bertopeng yang mempunyai cakar di tangan bernama Vega.Mereka pun berlawan dengan Vega dan Vega telah pun kalah. Lalu mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka bertemu seorang demi seorang karakter dari permainan video itu yang semuanya dijadikan watak penjahat.Kesudahannya yang baik menang ke atas yang jahat.

Dia mengukirkan senyuman apabila komik pertamanya siap dengan bukan lagi sehelai atau dua helai kertas dari buku latihannya yang dikoyaknya. Tetapi lengkap 36 muka surat semuanya. Dia berlenggang berjalan berseorang diri menuju ke perhentian bas dengan wajah yang sungguh ceria. Hari ini dia telah pun berjaya mencipta sejarah dalam dirinya iaitu berjaya melukis komik.
Tidak sabar bagi dirinya untuk berkongsi dengan rakan-rakan di kelasnya.

Itu adalah harapannya,namun rakan-rakannya mentertawakan lukisannya yang huduh dan buruk.Sehingga sampai ke tangan seorang rakan,lalu rakan itu terdiam dan mula membaca setiap patah perkataan di dalam dialog komik itu.Sehelai demi sehelai si rakan menyelak helaian mukasurat komik.Dia cuma memandang. Seperti yang diduga,si rakan tidak mampu habiskan bacaan maka dia menemani si rakan membaca pada waktu rehat pula,dan akhirnya si rakan meminjam komik itu untuk dibawa balik ke rumah.

Dia memang seorang pelupa. Dia lupa akan komik itu. Dan dia lupa komik itu dipinjam rakannya. Itu adalah komiknya yang pertama yang dihasilkan dan itu juga merupakan komik pertama yang lesap dari tangannya buat selama-lamanya.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:16 am

Mungkin zaman berubah tetapi dia mungkin belum berubah sepenuhnya. Zaman itu rakan-rakannya menggemarikan komik-komik dari Hong Kong. Ada saja cerita-cerita yang dibawa ke kelas untuk diperbincangkan sesama rakan. Dia ada jua membaca sikit-sikit komik Hong Kong. Ya, dia minatkan komik Raja Rimba dan Juara Wira. Namun komik itu tak pernah dia baca dari mula dan mengikuti terus jilid-jilid yang mendatang.

Tapi dia menggilaikan lukisan komik DragonBall dari Jepun. Tingkah Son Goku yang lurus bendul kononnya berhati suci namun sering melakukan tindak tanduk kurang asam ke atas Bulma tanpa rasa bersalah buat dia merasakan watak itu kelakar. Dia mengikuti setiap jilid komik itu mulai dari nombor 1.

Adakala dia berebut dengan adiknya jika berjaya meminjam dari rakan. Ya, dia tidak pernah membeli komik kerana keluarganya memandang pembelian komik adalah sia-sia.Apatah lagi minatnya melukis kartun juga sering diingatkan oleh ayahnya supaya jangan lalai dan meninggalkan pelajaran. Otaknya berpusing merancang cerita. Dia mengimpikan sebuah komik dari kerja tangannya.

Dia memang bukan orang yang sabar. Ada saja buku latihan yang kosong selepas tamat sesi penggal persekolahan,dia akan cantum-cantumkannya untuk dibuat komik. Dia lukis tanpa henti. Dari kehuduhan yang melampau lukisannya semakin difahami orang. Mangsa paksarela untuk dijadikan pembaca-pembaca komiknya tentu sekali adik-adiknya.

Perlahan-lahan dia racuni fikiran adik-adiknya untuk punya minat yang sama iaitu melukis dan membaca komik. Habis semua adik beradik lelakinya meminati bidang yang sama. Cuma dia lebih beria-ia dengan minatnya. Sekali lagi dia sukakan watak yang bukan utama atau kedua utama.Dia pilih yang ketiga mungkin. Pikor nama watak itu dalam komik DragonBall.

Asalnya Pikor adalah watak penjahat. Tetapi perkembangan watak itu buat dia jatuh hati pada sifatnya. Menjadi seorang yang berubah dari jahat kepada baik,dan punya semangat untuk membaiki diri untuk mengatasi kekuatan rakan-rakan lain. Atau dia minat untuk menjadi orang ganjil,kerana Pikor berkulit hijau,botak serupa toyol saja lagaknya,dan bertelinga capang.

Dia ikuti komik itu hingga ke jilid terakhir. Dia mula berminat untuk mengkaji siapakah pelukis Akira Toriyama itu. Ya, pelukis yang sama telah melukis komik Dr Slump yang penuh dengan lawak jenaka tahap gaban yang meletakkan lawak-lawak hina dan keji terutamanya yang berkenaan dengan najis. Benar dia ketawa sepertimana dia ketawa membaca komik Sin Chan.

Dia terus ketawa sehinggalah dia sendiri sudah mula melukis berpuluh-puluh komik pendek dan berjilid untuk rakan-rakannya dan untuk simpanannya sendiri. Dia jadikan pertarungan,pembunuhan,keganasan sebagai tema komik-komiknya.

Ya, dia minatkan komik pertarungan sehinggalah dia sedar bahawa wujud pertarungan yang dahsyat di dunia luar yang dia sering lihat di kaca televisyen. Dia mula menumpukan perhatiannya kepada agama. Ya, dia ingin hayati agamanya seperti yang sering dileterkan oleh ayahnya. Dia dulu dengar sahaja cerita-cerita kesedihan dan kepayahan umat masakini yang diserang oleh musuh-musuh islam. Tetapi di mana hatinya untuk mengabdikan diri buat Tuhan dan terjun ke lapangan perjuangan mempertahankan umat saudara seislamnya.

Dia mula perlahan-lahan cenderung untuk melukis kisah perjuangan. Dia mula merencana sebuah cita-cita besar persis jalan cerita sebuah komik. Hari itu dia telah ditanamkan semangat perjuangan buat pertama kalinya membara dalam jiwa mudanya oleh seorang insan yang amat berjasa yang difikirkannya iaitu Tengku Asmadi.

Dia dikenalkan oleh Tengku dengan matlamat dan cita-cita. Matlamat yang menjadi igauan. Ya, dia pilih untuk menjadikan matlamat umat sebagai igauan sepanjang hidupnya. Dulu impiannya melangit tinggi untuk punya syarikat besar sehingga dia punya matlamat yang lebih jelas,dia mahu berjuang menjadikan dirinya senjata terbaik buat umat. Dia ingin jadi benteng. Dia ingin jadi pedang. Dia ingin jadi kubu buat melindung umatnya.

Namun apalah sangat dirinya. Dia tidak punya banyak ilmu. Dia bukan dari keluarga yang kaya. Dia bukan seorang yang cergas dan kuat. Dia cuma seorang yang meminati membaca komik dan melukis komik. Dia cuma insan lemah yang cuba untuk berani melakukan perkara yang dia tidak mampu. Dia mula bercakap mengenai agama padahal dia cuma baca kitab-kitab, mendengar kuliah, dan cuba menghafal beberapa potong ayat quran dan hadis.

Dia lakukan banyak kesilapan kerana dia gagal lagi mengawal emosinya,lantaran itu ramai yang terluka dengan tindakan dakwahnya,ramai yang berasa tidak selesa,ramai yang merasakan ada yang tak kena.

Cuba cari hikmah...dia ingatkan dirinya...cuba cari hikmah...dia ingatkan lagi...

Dia cuba pelbagai cara namun dia memang sering tersilap,kadang dia masuk ke lubang silap yang sama berulang kali. Adakala dia putus asa. Ada kala dia lakukan perkara di luar perjuangannya. Adakala dia cuba cari ketenangan dengan cara yang salah. Dia cuma insan gagal yang wajar merenung kembali usahanya.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:17 am

Zaman dia punyai cita-cita itu zaman negaranya hadapi krisis politik. Ayahnya bukan seorang ahli politik. Ayahnya seorang guru. Tahu berpolitik dengan tahu mengenai politik mungkin berbeza. Dia mula membaca buku agama seiring dengan buku-buku politik karangan Al Attas. Buku-buku itu tersusun rapi di atas rak koleksi ayahnya. Ayahnya penggemar buku.

"Ada orang suka berjalan kerana ingin melihat pemandangan, namun membaca itu lebih lagi dari berjalan,pemandangan yang kita jumpa merangkum pandangan dari mata-mata manusia lain." Itulah kata ayah padanya.

Dia baca jilid-jilid kitab fiqh sunnah,dia baca ihya karangan imam ghazali terjemahan indonesia,dia baca "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" terjemahan kitab Fathi Yakan,dan dia baca buku "Inilah Pandanganku" tulisan Ashaari Muhammad pengasas kumpulan Al Arqam yang diharamkan.

Dia kaji amat mendalam akan tokoh kumpulan yang didakwa ajaran sesat itu. Dia dengar cerita dari ayahnya. "Ashaari mengaku dia pemuda bani Tamim,katanya carilah pemuda bani Tamim dan dia akan bawa kepada Imam Mahdi". Dia nampak strategi Ashaari.

Dia ikuti kisah bagaimana Al Arqam berada di puncaknya, namun tumbang atas kerakusan nafsu. Dia tahu ramalan pengalihan tampuk pemerintahan dari Dr Mahathir kepada Ashaari kononnya akan terjadi dengan cara yang tidak disangka-sangka.Dia masih ingat wajah Ashaari yang ditemubual dalam Malaysia Hari ini di TV3. Dia dengar Ashaari mengaku dia tersilap. Dia kaji lagi.

Asalnya kumpulan itu bawa sinar buat insan yang mencari kebenaran. ada ramai pemuda dan pemudi yang berubah menjadi insan-insan taat dalam ajaran agama. Ashaari bawa pula meneroka dunia ekonomi. Yang ketika itu kaum yang dipanggil Melayu ini amat ketinggalan sehingga bahan-bahan makanan halal amat jarang diusahakan. Ashaari merintis usaha produk halal. Alunan-alunan nasyid yang indah cuba bertempur dengan nyanyian lagu-lagu rock meleleh ketika itu. siapa yang tidak tahu lagu "sepohon kayu" hasil nukilan Ashaari.

sepohon kayu daunnya rimbun
lebat buahnya serta bunganya
walaupun hidup seribu tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya
walaupun hidup seribu tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya.

Dia juga dibesarkan dengan lagu-lagu nasyid. Dia mula berminat mengkaji kehebatan dakwah Al Arqam,namun dia amat sedih melihat betapa di akhir-akhir kemuncak Al Arqam itu Ashaari sama ada dipengaruhi oleh orang sekitarnya mahupun dirinya sendiri telah bergelumang dengan benda-benda karut marut. Mereka anggapnya ilmu tasawwuf. Ashaari dianggap mursyid yang punya karamah. Mereka diikat dengan tareqat.

Kemudiannya Ashaari mula dipuja. Ashaari biarkan dirinya dipuja. Unsur-unsur mistik yang aneh mula membayangi kumpulan itu. Tidak,bukan itu yang wajar dilakukan,dia menggeleng. Mengapa idea yang baik,strategi yang baik harus dikubur dengan rakusnya seorang manusia mendambakan kemuliaan sehingga mahu dirinya dipuja? Mengapa? Bukankah Allah itu Yang Mesti dipuja?

Dia mula berani persoalkan.Dia mula berminat mengkaji politikus yang berjaya menenggelamkan Ashaari dengan bayang-bayang sendiri. Orang itu Mahathir namanya. Dia terus baca buku-buku politik dari Al Attas. Kebetulan tahun itu dia pilih kerja kursus bertajuk Biografi seorang tokoh:Mahathir Mohamad.Dia baca tentang UMNO. Dia baca kisah pergelutan politik. Dia baca tentang Musa Hitam. Dia baca tentang Ghafar Baba. Dia baca tentang Anwar.Dia baca Wawasan 2020.

Dia mula berminat kaji sejarah. Dia kaji Renaissance,dia kaji Revolusi Perindustrian,dia kaji Revolusi Perancis,dia kaji revolusi Amerika.Dia kaji kisah kegemilangan Islam. Dia mula kaji tentang perang. Perang Dunia Pertama. Perang Dunia Kedua. Dia kaji tentang fasisme. Dia kaji Nazi. Dia kaji Jepun.

Dia mula membaca buku-buku perjuangan Ikhwanul Muslimin. Dia mula kenal dengan Imam Hassan Al Banna. Dia mula lihat kembali Al Arqam. Dia mula faham. Begitukah..rupanya begitu! Dia semak semula buku "kisah 60 sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga". Dia baca kembali kisah dan sirah Rasulullah. Dia baca kisah "Nabi dan Rasul yang wajib diketahui".

Zaman itu masih krisis. Dia pula telah pun jauh menuntut ilmu ke negeri Perak. Di sana dia dalami pergerakan politik PAS. Dia duduk mendengar fikrah mereka. Dia hampir-hampir saja ber bai ah. Tapi akhirnya dia nampak sesuatu yang tidak kena selepas muzakarah. Dia rasa perjuangannya lain.

Dia mula berani baca buku-buku perbandingan agama karangan ustaz-ustaz dari Indonesia. Buku yang paling dia teliti bertajuk "Muhammad dalam Bible, Isa dalam Quran". Ketika itu sudah galak pejuang-pejuang reformasi menyebarkan risalah politik. Dia baca dan dia buntu kerana tidak mampu kaji lebih jauh. Banyak sekali dakwaan sehingga merasakan negaranya Malaysia dalam kancah terburuk dalam sejarah.

Dia merasakan begitu di saat rakan-rakannya masih bergelak tawa bergurau senda dan ada juga menangis bermuram durja kerana ditolak cinta dari seorang gadis rupawan. Dia juga kadangkala punya rasa untuk jadi seperti rakan lain,tetapi niatnya terhenti suasana dunia begitu celaru waktu itu.

WTC runtuh dirempuh pesawat. Islam digelar Pengganas. Naik nama seorang pejuang bernama Osama. Dia terus membaca. Bagaimana seorang jutawan seperti Osama boleh bertukar menjadi pemimpin gerakan menentang Amerika. Dia baca lagi tentang Palestin. Dia baca tentang Israel. Dia baca tentang Zionis. Dia garu kepalanya yang tidak gatal. Dia mesti jadi senjata umat Islam dia tekad dalam hatinya.

Dia mahu berdakwah seperti Imam hassan Al Banna.
Dia mahu seberani Salahuddin Al Ayyubi.
Dia mahu sifat tanpa putus asa Asy Syafie.
Dia mahu jiwa seperti al Ghazali.

Hari itu dia lupa dia pernah meminati Suria Perkasa Hitam (kamen rider black),pernah minat Ultraman Ace,pernah minat Flashman, semuanya itu rancangan dari jepun yang disaji oleh televisyen negaranya,Malaysia.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:17 am

Di saat itu dia masih lagi bersekolah. Dia bukanlah budak pintar yang dikurniakan kepintaran semulajadi. Dia juga sepertimana rakan-rakan yang lain. Apabila dia menelaah buku dan menghafal teks-teks mahupun rumus-rumus matematik dia akan mampu menjawab peperiksaan dengan baik dan tenang. Sewaktu itu dia belum lagi punya cita-cita yang tinggi. Sewaktu itu dia cuma murid sekolah rendah. Dalam hatinya cuma mahu tunjuk kehebatan. Dia memang suka akan strategi dan plan.

Dia tahu untuk tunjuk kehebatan tidak cukup hanya mendapat markah yang baik dalam peperiksaan tetapi dia perlu ada suatu bakat yang perlu diakui oleh rakan-rakan dan cikgu-cikgu. Itu strateginya.Dia sukakan lukisan. Maka dia pilih untuk masuk pertandingan melukis di sekolahnya. Tetapi amat malang sekali lukisannya tidak memenangi apa-apa hadiah. Dia kemudian sedar bahawa minat tidak semestinya bakat. Dia tahu dia suka melukis komik dan akhirnya dia sedar yang dia sememangnya tidak berbakat untuk melukis.

Kemudiannya suatu hari seorang guru kelasnya telah mendapati dia boleh menulis karangan dengan baik. Cikgu itu memujinya dan cuba mencungkil bakatnya dalam bidang penulisan. Cikgu itu memintanya menulis sebuah karangan pendapat. Temanya tentang masyarakat Malaysia.Dan dia mula berfikir tentang kehidupannya.

Dia lahir dalam sebuah keluarga yang susah. Mereka sekeluarga pernah kehabisan beras selama sebulan. Lalu suatu hari tepung dan lain-lain bahan makanan juga telah habis. Pada hari itu ibunya keluar mencari kerja di kilang. Ayahnya pula berjanji akan pulang sebelum petang dan akan membawa pulang bersama roti canai untuk dimakan bersama-sama dia dan adik beradiknya yang seramai 7 ketika itu.

Mereka adik beradik amat kelaparan kerana kali terakhir mereka makan ialah sarapan pagi semalam iaitu lempeng sebanyak 3 keping yang dikongsi 7 orang. Ayahnya sering mengingatkan supaya mereka tidak menggunakan duit tabungan masing-masing kerana duit tabungan itu perlu disimpan sekiranya alat tulis atau buku-buku sekolah perlu dibeli dan sememangnya ayahnya mementingkan pelajaran buat mereka.

Namun hari itu ayahnya masih tidak pulang-pulang dan langit mula semakin gelap. Adik perempuannya yang kecil telah menangis teresak-esak kerana lapar.Dia pula hanya termenung di jendela memandang langit.Apabila azan maghrib berkumandang dari corong pembesar suara surau,pintu rumah dibuka.Dan ayahnya telah pun pulang membawa bersama roti canai,sate,ayam percik,dan bermacam kuih muih. Malam itu mereka makan dengan gembira.

Dia mula memegang pena untuk menulis kisah rakyat Malaysia.Orang Malaysia suka makan.Di mana-mana ada gerai makanan. Tetapi ada rakyat Malaysia yang tidak cukup makan. Dan ada pula rakyat Malaysia yang terlebih makan. Hidup untuk makan. Makan untuk hidup.Dia mencoretkan kesemua idea yang terlintas di kepalanya.Kemudiannya karangan pendapatnya itu diserahkan kepada cikgunya tadi. Begitu banyak sekali kesalahan tatabahasa malah susunan isi yang tidak kemas. Akhirnya cikgu itu mengeluh dan bertanya apa yang dia ingin sampaikan sebenarnya.

Dia mula terkilan dengan pertanyaan cikgunya itu. Rupa-rupanya cikgu itu tidak memahami isi-isi karangannya.Kemudiannya dia mula menerangkan kepada cikgu tersebut.Dia terangkan dengan begitu khusyuk tanpa dia sedar kedua-dua tangannya beraksi sama seiring dengan hujah-hujahnya.Cikgu itu mula menggaru-garu dagunya dan mengangguk-angguk berkali-kali membenarkan hujah-hujahnya.

Dia bukan seorang yang banyak bercakap pada masa dahulu. Dia lebih suka diam melainkan dengan teman-teman rapatnya dia memang seorang yang bising.Tetapi kali ini cikgu itu mengangkatnya untuk dilatih bersyarah bagi mewakili kelasnya dalam pertandingan syarahan. Namanya mula naik dan disebut-sebut oleh para guru. Dia sebenarnya adalah pendatang baru di sekolah itu. Tetapi dia naik begitu cepat sehingga menjadi seorang ketua murid. Dia mula aktif dalam pertandingan syarahan dan perbahasan.Itu adalah kisah bagaimana dia mula sedar bahawa bakat itu mungkin bukan dari minat. Tetapi di hatinya dia tetap minat melukis.

Mutu penulisannya juga meningkat bersama-sama mutu persembahan syarahannya. Namun apabila keputusan UPSR diumumkan. Dia gagal mendapat 'A' dalam subjek penulisan.Begitulah kuasa Allah s.w.t untuk ditunjukkan kepada hambaNya bahawa kehebatan dan kepandaian itu cuma nikmat sementara,dan Allah boleh mencabut nikmat yang dipinjamkan itu bila-bila masa.

Di zaman Malaysia dilanda gerakan reformasi dia telah kembali mengeluarkan idea-ideanya. Dia terpaksa kembali mencurahkan idea-idea itu kerana dia sewaktu itu telah pun punya cita-cita dan matlamat hasil tarbiyah Tengku Asmadi dalam pembinaan jatidirinya.

Dia berdepan dengan dua kelompok rakan dan taulan yang punya dua ideologi politik berbeza. Mereka mula berdebat dengan masing-masing mengutarakan hujah masing-masing. Dia sewaktu itu mungkin tidak begitu memahami hal-hal politik walaupun bukan dia tidak baca risalah-risalah reformasi mengutuk peribadi Perdana Menteri dan pendedahan-pendedahan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa,dan terlebih awal dia telah pun membaca banyak buku-buku politik Al Attas dan memahami akan pergelutan politik dan apa itu kerja-kerja kotor dalam politik.

Bukan dia tidak tahu kisah Anwar yang dulunya amat sekali dia kagum. Mungkin menteri muda itu agak kacak berbanding menteri-menteri lain dalam kerajaan. Dan bukan dia tidak pernah mendengar ceramah-ceramah Anwar bahkan ayahnya jua antara pengkagum Anwar. Anwar dulunya Presiden ABIM yang keras mengkritik kerajaan. Malah bukan dia tidak tahu keakraban ABIM Kedah dengan Al Arqam sekitar tahun 80 an iaitu zaman sebelum kelahirannya.Dia pernah membaca kisah-kisah Ashaari menyertai PAS dan kemudian keluar semula.Dia tahu tentang kisah-kisah PAS,ABIM,AL Arqam dan UMNO.Dia ada baca tentangnya dan dia juga punya saudara mara yang beroleh banyak maklumat tentang kelompok-kelompok itu.Itu kisah yang berlaku sekitar tahun 80 an.

Kini PAS menyokong gerakan reformasi Anwar yang telah ditendang keluar oleh UMNO. Bukan dia tidak tahu ucapan-ucapan Anwar tentang PAS ketika berada di dalam UMNO. Bukan dia tidak tahu apa yang diucapkan oleh Anwar pada persidangan UMNO yang terakhir buat Anwar terhadap Mahathir. Bukan dia tidak sedar pukul-pukul terajang-terajang politik di Malaysia.

Tetapi dia tidak mahu bercakap tentang itu.

Dia nampak semua umat islam ada tujuan yang sama.Pegang kitab yang sama. Nabi yang sama. Dia lebih suka fikirkan masalah serangan musuh Islam terhadap rakan-rakannya yang tidak menyertai perdebatan politik itu.Mereka datang ke sekolah tetapi mereka tidak mahu belajar. Apabila di sekolah mereka langgar peraturan sekolah malah mereka mencarut di belakang guru-guru yang memarahi mereka. Mereka mencalarkan kereta guru. Mereka memecahkan pasu. Pada asalnya dia tidak pasti mengapa mereka punya sifat demikian padahal nama-nama rakan-rakannya itu adalah nama Islam dan berbangsa Melayu.Ibu bapa mereka bukannya orang yang mewah-mewah. Pernah sekali dia lihat seorang ibu pelajar bermasalah itu memakai selipar yang hampir putus untuk hadir ke sekolah bagi membincangkan masalah disiplin anaknya.

Bukan setakat itu saja. Kelompok-kelompok rakan-rakannya itu tidak henti-henti bersengketa dengan kelompok dari kaum Cina dan India juga. dia yang berada di sekolah itu terasa bagaikan berada dalam kancah perang di mana harus waspada takut-takut diserang oleh kumpulan-kumpulan kaum lain kerana dia juga Melayu.

Mujur dia punya idea berbeza. Dia tidak menyertai perdebatan politik kelompok rakan-rakan yang satu itu,tetapi dia mula menggerakkan penyatuan perkauman dengan menceburkan diri dalam masalah sengketa ahli-ahli kumpulan bermasalah 3 kaum.Dia berbaik dengan kumpulan-kumpulan Cina dan India,dan dalam masa yang sama dia mula bercakap tentang masalah umat islam di kalangan kelompok Melayu.

Tetapi sesungguhnya usaha berseorangan itu tidak sedikitpun merubah keadaan yang sediaada. Dia mula berfikir tentang jamaah.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:18 am

Jika dilihat dari dirinya sejak kecil lagi,dia bukan seorang yang mahu dirinya ke depan. Tetapi mungkin tidak boleh dinafikan dia adalah seorang yang ego dan berkeyakinan bahawa dirinya sentiasa betul.Pernah diungkap oleh beberapa manusia di sekelilingnya bahawa dia itu suka sangat menegakkan hujahnya walaupun telah ditentang hebat oleh manusia-manusia lain. Mungkin atas sebab itu dia sentiasa mahu dirinya dianggap ketua. Walaubagaimanapun dia bukan ketua yang berekod baik. Dalam keluarganya juga,dia mempunyai seorang abang yang baik. Abangnya lebih merendah diri maka dia anak lelaki nombor dua sering sahaja berlagak untuk jadi nombor satu. Atas dasar itu dia sering sahaja mahu dirinya menang dalam apa bentuk pertikaian dengan abangnya.

Mungkin faktor-faktor ini boleh diambilkira mengapa dia memilih watak guile dalam street fighter atau watak pikor dalam dragonball. dia sedar dirinya jua ada kelemahan tetapi dia seakan tidak mahu perkara itu berulangkali berada di fikirannya,maka dia menganggap dirinya adalah positif. Bagi seseorang manusia yang seakan-akan telah mendidik dirinya sendiri untuk berfikir yang dia sentiasa di pihak yang benar tentu sekali akan sentiasa lupa untuk mengawal sifat itu walaupun setelah dia memasuki zaman era cita-cita dan jatidiri iaitu sekitar tahun 1999. Sepertimana yang telah disebut dahulu bahawa tahun itu dia dilahirkan semula oleh tarbiyah motivasi Tengku Asmadi dan zaman itu jua negaranya Malaysia dilanda gerakan reformasi dan sedikit kekacauan politik.

Juga telah dikisahkan bagaimana dia telah tidak mengendahkan perkembangan itu dengan menjarakkan dirinya dari perdebatan politik walaupun tidak dinafikan dia mengambiltahu kesemua jalan cerita politik tanah airnya.Lalu dia menumpukan kepada masalah utama dalam komuniti golongan sebayanya iaitu masalah disiplin dan akhlak remaja yang dia kira berada dalam isu yang wajar dia titikberatkan kerana komuniti itu adalah komuniti generasinya yang bakal membesar dan membangun bersama-samanya. Yang bakal menggantikan keseluruhan warga tua yang ketika zamannya itu sedang ber'perang' sakan(merujuk pada perihal politik).

Dia berkeyakinan bahawa hayat manusia di akhir zaman ini adalah sekitar umur Nabi Muhammad s.a.w jua lah iaitu seperti yang pernah dikhabarkan ungkapan bapa saudara sebelah ayahnya bahawa "umur 50 itu berjaga-jagalah,umur 60 itu dah dekat sangat dah tu,lebih umur 60 itu bonuslah tu..lebih 100 itu tak banyak lagi boleh dibuat,tunggu sahajalah,". Disebab keyakinan sebegitu maka pemikirannya dikuatkan lagi kepercayaan bahawa remaja,pemuda dan pemudi itu merupakan generasi yang wajar dibentuk,wajar dijaga,wajar dikawal,wajar dibangun dan ditarbiyah agar nanti walaupun zaman dia ketika itu sebuah zaman kekacauan namun zaman yang kedepan akan lebih gemilang.Dia yakin tentang itu.

Maka seperti yang telah disebut bahawa dia telah menceburkan dirinya dalam permasalahan remaja dan kebetulan di sekolahnya itu terdapat budaya samseng dari kelompok 3 kaum. Kes pukul dan gaduh seakan-akan kes biasa yang membuatkan cikgu-cikgunya juga semakin lali dengan perkara itu.

Dia sememangnya seorang yang sering berasa tidak puas hati dengan keseriusan pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin rakan-rakannya dari kelompok 3 kaum itu.Dan dia memang melihat pentadbiran sekolah yang lebih mementingkan keceriaan bangunan sekolah dan bunga-bunga di dalam pasu yang dijagarapi berbanding sikap sekolah untuk membentuk generasi pejuang di kalangan generasinya.

Dia tidak fikir bahawa pentadbiran sekolahnya tidak mengetahui senario politik tanahair mahupun dunia amnya. Dia tidak fikir Puan Pengetuanya tidak tahu akan nasib rakyat palestin yang tertindas.Dia tidak fikir maklumat-maklumat politik yang dia ada lebih banyak dari Puan Pengetuanya yang telah lahir berpuluh tahun sebelum kelahirannya. Masakan Puan Pengetuanya selaku ketua di sekolah itu mahupun cikgu-cikgu lainnya (yang sering bermain politik di dalam kelas ketika itu) atau masyarakat tua di sekelilingnya tidak mengetahui betapa penting generasi seangkatannya diberikan tumpuan khusus.

Dia tidak fikir dia adalah satu-satunya manusia yang berfikiran sebegitu. Telah dikisahkan bagaimana dia telah menyedari bahawa usahanya berseorang diri tidak akan membuahkan banyak hasil malah sememangnya dia sendiri mengakui bahawa keadaan tetap tidak berubah walaupun dia telah menjalankan beberapa usaha sedaya mampunya.

Dia pernah membuat dasar dan peraturan untuk kelasnya selaku AJK Disiplin Kelas,menyebut seakan-akan sebuah perlembagaan,"Barangsiapa yang mahu memasuki kelas ini tidak kira murid mahupun guru,hendaklah mereka mensucikan hati mereka dari niat songsang melainkan niatkan jua dengan niat untuk mengajar dan menuntut ilmu ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t." Kenyataan itu diikuti dengan beberapa lagi peraturan khusus sebelum,semasa dan selepas menggunakan kelas yang dipampangkan dengan jelas di muka pintu kelasnya. Menyebut seorang gurunya selaku ustazahnya jua,"sekiranya semua manusia itu suka mengikut peraturan maka peraturan kelas kamu akan membentuk manusia yang berguna". Ya, dia gembira dengan kenyataan ustazahnya itu. Namun bukan pujian yang dia harapkan,dia kembali sedih apabila rakan-rakan sekelasnya cuma menjadikan segala macam peraturan itu sebuah senda gurau.

Dia juga pernah cuba meleraikan pergaduhan iaitu sebuah tindakan yang amat ditakuti untuk dilakukan oleh pengawas sekolah itu.Dia yang hanya bertubuh kecil dan kurus keding itu masuk dalam pergelutan 2 kelompok kaum yang bersengketa yang rata-rata melibatkan pelajar yang lebih tua darinya.Walaupun dia tidak dipukul sekali,mungkin kerana nasibnya baik ketika itu,namun dia terdengar seorang pelajar dari kelompok melayu menyebut,"Hei,engkau! Jangan kau masuk campur,patutnya kau menyebelahi kami kerana kau seorang melayu!"

Atas sebab usaha-usaha itu telah membuktikan padanya yang dia tidak akan mampu berbuat apa-apa melainkan dia disokong oleh jamaah yang besar. Tetapi di mana jamaah itu? Dia cuba menyelidiki adakah jamaah mana-mana yang sedang menumpukan usaha kepada usaha yang dia sedang fikirkan itu. Malangnya dia tidak nampak. Apa yang dia nampak banyaknya jamaah yang ada sedang berusaha menggunakan situasi politik yang kacau bilau ketika itu untuk menyebarkan pengaruh jamaah. Dia tidak perlukan pengaruh jamaah. Dia mahukan usaha jamaah. Tapi di mana usaha jamaah itu? adakah politik itu segala-galanya. Adakah kekuasaan itu segala-galanya?

Dia merenung kata-kata Rasulullah yang dia ingat-ingat lupa ketika Rasulullah SAW ditawarkan kerajaan, harta, Wanita oleh kaum Quraisy agar baginda meninggalkan tugas ilahinya, baginda menjawab, ”Demi Allah...wahai pakcikku, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kanan ku dan bulan di tangan kiri ku agar aku meninggalkan tugas suci ku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur keranaNya”
(andai ada sahabat yang dapat nukilkan sabda rasulullah yang menepati hadis termasuk riwayatnya perihal kisah di atas,minta jasa baik kalian untuk menolong saya nukilkan di ruang komen di bawah Smile
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Sun Aug 03, 2008 5:19 am

Ini sebuah coretan sebagaimana yang dikhabarkan oleh orang melalui cakap-cakap mengenai perihal dirinya.

Suatu hari di awal tahun 2000,di dalam minggu bina insan,telah bertanya seorang guru pada murid-muridnya seorang demi seorang perihal cita-cita."Apakah cita-cita kamu di dalam hidup ini?",maka menjawablah seorang demi seorang pelajar di dalam kelas itu yang duduk di dalam sebuah bulatan besar. Banyaklah jawapan-jawapan yang diberikan antaranya cita-cita mahu menjadi doktor,jurutera,polis,bomba,arkitek,guru dan sebagainya.Maka apabila tiba sahaja gilirannya,suasana menjadi sunyi kerana bukan orang tidak tahu dia ini aneh-aneh sahaja perilakunya. Maka dia pun memulakan bicaranya.

"cita-cita saya ada tiga. Dan saya ada satu matlamat."

Belum sempat dia habiskan bicaranya,ada teman sekelasnya sudah tidak tahan untuk ketawa. Maka berdekah-dekahlah mereka ketawa kerana mengapa begitu pula jawapan yang dituturkan. Bukankah soalan dari guru itu mudah sahaja. Guru yang seorang itupun tersengih-sengih menahan gelihati namun dia cuba juga menenangkan kelas."Kita dengar dulu bicaranya."Dia menyambung.

"Pertama saya bercita-cita mewujudkan sebuah empayar perniagaan buat menjana ekonomi umat.Kedua saya bercita-cita mengumpul seramai mungkin saintis,cendikiawan,pakar-pakar teknologi untuk berada di dalam sebuah organisasi bagi membangunkan sebuah tamadun.Ketiga saya bercita-cita untuk membeli sebuah pulau."

Terdengar sahaja perkataan "pulau" itu,maka sekali lagi berderailah ketawa dan kali ini pelajar perempuan turut terkekeh-kekeh ketawa."Mengapa pulau? apa ada di pulau itu?"bertanyalah guru tadi kepadanya.

"Adapun pulau itu cuma sebuah ungkapan. Mungkin sememangnya ia sebuah pulau,atau ia cuma desa,atau mungkin lembah,atau mungkin juga ia cuma lereng bukit di mana-mana banjaran. Pulau bererti terasing. Saya bercita-cita untuk membeli sebuah kawasan yang terasing dari pengaruh luar untuk dicurahkan tamadun yang diusahakan oleh organisasi yang menjadi cita-cita saya yang kedua tadi. Di situ akan saya bangunkan sebuah bandar Islam sebagai contoh sebuah negara Islam."

"Besar sungguh cita-cita kamu ini,kamu rasa kamu mampu mengejar cita-cita sebegini?"

Dia menggeleng.

"Jadi jika tidak mampu mengapa tidak permudahkan cita-cita kamu supaya kamu lebih realistik." kata guru itu dengan wajah yang cukup menyenangkan.

"Tiada manusia yang mampu,sama ada kecil atau besar sebuah cita-cita semuanya bergantung pada keizinan dan kudrat yang dikurniakan Allah.Jika saya bercita-cita untuk menjadi tukang kebun sekalipun,sekiranya Allah tidak mengizinkan maka cita-cita itu tidak akan kesampaian.Manusia serba tidak mampu,yang berkuasa itu hanyalah Allah.Kita merancang Allah yang menentukan".

Ada cakap-cakap orang yang diberitakan dari mulut ke mulut bahawa dia itu tidak sukakan politik.Ada orang menyebut dia itu bencikan politik dan menolak politik sepenuhnya.Akan tetapi ada pula golongan yang menyanggah pendapat sedemikian kerana telah disaksikan bahawa dia pernah membaca banyak buku-buku politik malah rajin pula dia menyimpan risalah-risalah politik pada era reformasi yang kebanyakan risalah itu adalah bahan cercaan dan kutukan kepada peribadi-peribadi orang kerajaan.

Ada orang berpendapat dia pengkagum Ashaari Muhammad pengasas Al Arqam. Kerana kebanyakan idea-idea yang dilontarkannya mirip idea Ashaari cuma dia tidak bawa tareqat dan dia tidak berserban dan berjubah seperti kumpulan itu. Ada orang pula tidak bersetuju dengan dakwaan sebegitu kerana pernah dia bercerita kepada rakan-rakannya perihal kesesatan kumpulan Al Arqam itu.

Ada orang berpendapat dia penentang kerajaan. Dia sering dilihat suka bersyarah ala-ala Anwar Ibrahim ketika Anwar menjadi Presiden ABIM. Dia juga barangkali penyokong reformasi kerana dia sememangnya kerap dilihat membaca risalah politik parti Keadilan.Akan tetapi diberitakan oleh sumber yang lain pula dia itu bukan penyokong demonstrasi jalanan dan dia bukan orang yang bersetuju dengan fitnah liar mengaibkan individu seislam menggunakan risalah-risalah haram.

Ada orang mengatakan dia penyokong parti PAS. Dan ada juga yang mendakwa bahawa dia pernah mendaftar secara senyap-senyap menjadi ahli PAS seumur hidup.Tetapi dakwaan itu amat lemah dan barangkali fitnah,kerana telah disaksikan sendiri oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai bahawa dia pernah menghalang beberapa juniornya untuk berbaiah dengan parti politik itu,kerana dia tidak bersetuju budak-budak belasan tahun dipergunakan oleh orang politik.Namun ramai menganggapnya jika bukan ahli PAS jua pun dia itu nampak sangat suka mengkritik kerajaan malah menghamburkan idea-idea ekstrim ala-ala PAS. Contohnya diberitakan bahawa dia pernah cuba memperlekehkan menteri dan pemimpin wanita dalam UMNO yang tidak bertudung untuk bercerita berkenaan agama.Dia juga menentang idea perlembagaan tidak boleh diubah dan sememangnya pernah didengari dari mulutnya sendiri bahawa Al Quran dan As sunnah itu perlembagaan umat Islam.

Malah bukan orang tidak tahu ketika kursus BTN yang dihadiri olehnya telah timbul sedikit suasana tegang antara dia dan pembentang modul berkenaan dengan sistem demokrasi dan pilihanraya. Dia juga persoalkan status Islam dan Melayu dalam perlembagaan dan dia bangkitkan isu kaum India Muslim dan Cina Muslim yang tidak diberi hak keistimewaan orang Melayu padahal yang disebut di dalam perlembagaan itu Melayu itu orang Islam dan orang Islam itu Melayu. Dia persoalkan keikhlasan kerajaan dalam memperjuangkan Islam kerana meminggirkan usaha dakwah. Dia menyarankan usaha dakwah dijadikan agenda UMNO. Dan banyak sekali idea yang ingin dicurahkannya termasuklah strategi membangunkan ekonomi Melayu dengan menjadikan setiap keluarga Islam mesti mempunyai sebuah perniagaan. Perniagaan keluarga perlu dijadikan strategi untuk membangunkan ekonomi Melayu. Dan dia juga mencadangkan orang-orang miskin diberi bantuan untuk berniaga.Semua itu dianggap bodoh oleh peserta-peserta kursus yang lain,malah mereka menganggapnya terlalu banyak bercakap dan harap dia boleh berambus sahaja jika tidak mahu mengikuti kursus.Pembentang modul juga menganggapnya seorang yang keras,malah anggapan bahawa dia adalah penentang kerajaan adalah amat tepat.

Di sebalik peristiwa-peristiwa di atas telah dikisahkan pula di zaman dia menuntut di Taiping sekitar tahun 2001-2002 bahawa dia adalah orang yang menolak sillabus usrah yang dikeluarkan oleh PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) yang ketika itu bermentorkan perjuangan parti PAS. Malah dikhabarkan bahawa terdapat sebuah muzakarah antara dia dan dua utusan parti PAS yang berkemungkinan agen-agen sukarela untuk meresap masuk dalam sistem usrah di sekolah-sekolah berasrama penuh zon utara. Dia telah menyediakan sillabus sendiri bagi menggantikan sillabus usrah dari agen-agen sukarela itu.Tidak dapat dipastikan bagaimana muzakarah itu berjalan kerana ia diadakan dalam bilik tertutup dan semenjak muzakarah itu agen-agen itu tidak lagi muncul di sekolah berkenaan.

Ada kemungkinan dia bukan penentang kerajaan sebagaimana yang disebut oleh beberapa sumber bahawa dia pernah memuji PM Mahathir tentang idea dinar emas dan pembongkaran berkenaan dengan proksi-proksi yahudi. Dia juga seakan bersetuju dengan Mahathir bahawa masalah palestin merupakan masalah teras kepada masalah terorisme.Dan dia nampaknya bersetuju sahaja dengan 10 prinsip Islam hadhari yang dikemukakan PM yang baru iaitu Abdullah Ahmad Badawi.Tetapi untuk menyebut dia adalah ahli UMNO adalah sukar kerana dia nampaknya bukan orang yang suka akan suasana dan kaedah pemikiran UMNO tentang perjuangan bangsa Melayu kerana dia lebih suka merujuk bahawa perjuangannya adalah untuk membina kekuatan umat Islam.Pernah dikhabarkan bahawa dia tidak bersetuju dengan Tuan Pengetuanya di Taiping yang membezakan antara songkok dan kopiah putih. Dia tidak suka sehingga pakaian dijadikan sumber politik yang memecahkan.

Untuk memastikan dia sebenarnya berada di pihak mana sememangnya sukar.Namun amat jelas bahawa dia amat berminat dengan idea-idea Hizbut Tahrir untuk melantik seorang khalifah dan menggabungkan seluruh negara Islam di bawah naungan sistem khalifah.Adakah selepas ini dia akan lebih cenderung untuk berada di pihak Hizbut Tahrir yang menolak UMNO dan PAS?Namun harus difikirkan semula dakwaan dan ramalan sebegitu kerana pernah dikhabarkan oleh sumber bahawa dia menekankan usaha membina generasi pemuda dan pemudi yang bersemangat juang lebih daripada usaha mendapatkan kuasa politik. Dia melihat bahawa sekiranya masa dan tenaga dicurahkan untuk mendapatkan kuasa politik merupakan suatu yang sia-sia jika barisan pejuang pemuda pemudinya telah rosak binasa dengan fahaman hedonisme dan sekularisme.Dia menekankan lebih banyak usaha dakwah digembleng oleh gerakan jamaah yang mahu menegakkan kebenaran dengan membaiki semula kerosakan yang berlaku dalam sistem akhlak dan akidah remaja pemuda pemudi Islam di Malaysia.

Dia menyarankan "perang" dicetuskan terhadap golongan artis-artis Melayu yang mempromosikan budaya kotor dan jijik,pergaulan bebas,pemujaan artis,perlekehan terhadap hukum aurat dan budaya sopan ketimuran,dan dia menyarankan supaya "peluru-peluru" itu adalah dari kalimah Allah di dalam Al Quran dan As sunnah Rasulullah.Nampaknya seakan-akan dia ini lebih cenderung kepada usaha dakwah daripada usaha berpolitik. Maka ada beberapa pihak yang beranggapan mungkin dia ini datang dari jamaah tabligh kerana mesej-mesej dakwahnya banyak kepada penyatuan hati-hati manusia untuk tunduk pada Allah yang esa daripada mesej-mesej menyindir peribadi manusia dan bermain dengan emosi rakyat untuk membangkitkan kemarahan bertali arus dengan bahasa-bahasa yang tidak sopan dan berakhlak mulia sebagaimana yang dipamerkan oleh hikmahnya dakwah rasulullah.

Akan tetapi kita tidak boleh ketepikan peristiwa muzakarah antara dia dan beberapa rakan dalam isu khulasoh dakwah jamaah tabligh.Telah diberitakan dari meraka yang duduk dalam muzakarah itu bahawa dia banyak menegur kaedah dakwah jamaah tabligh dan cuba untuk menyampaikan pendapatnya erti perjuangan Islam dan dia kelihatan tidak bersetuju dengan perkara-perkara tertentu dalam jamaah itu dan ramai beranggapan dia lebih cenderung kepada fahaman ikhwanul muslimin.Ini dikuatkan lagi apabila dia telah mengucapkan yang dia mahu berdakwah seperti imam Hassan Al Banna.

Tetapi tidak ada bukti-bukti yang jelas menunjukkan bahawa dia pernah mendaftar menjadi ahli ikhwanul muslimin,atau ahli kepada mana-mana pertubuhan islam yang lain sebagaimana dia bukannya ahli kepada UMNO,PAS dan Hizbut Tahrir.Yang pasti dia bukan seorang pengkagum kepada aliran Asrisme ataupun aliran-aliran Protaz,mahupun pengkagum Ustaz Maszlee Malik.Mungkin kerana dia tidak berada dalam suasana semangat berjulap-julap beberapa kelompok mahasiswa universiti tempatan yang mahu berstatuskan mujtahid. Dia tidak sibuk untuk berdebat hukum dan mungkin kerana dia sendiri adalah pengikut mazhab syafie dan mengkaji kaedah pemikiran imam asy syafie dan sudah pula beramal dengan kaedah mazhab itu dalam kehidupan sehari-harinya lebih 21 tahun dan dia sendiri tidak ada masalah untuk didebatkan berkenaan hukum mahupun mazhab kerana dia tidak rasa yang mazhab yang dipegangnya adalah mazhab sesat.Dia lebih suka jika umat Islam bersatu hati dan menggemblengkan usaha menghadapi ancaman dan serangan musuh yang datang dari pelbagai sudut.

Ada pula segolongan manusia yang mempercayai dia pengikut sebuah aliran sufi dan memegang sebuah bentuk tareqat yang tidak dapat dipastikan. Tetapi pernah ditanya kepadanya bahawa adakah dia adalah pengikut mana-mana aliran sufi dan siapakah sheikh tareqat itu,dia cuma tersenyum dan berkata,"aku solat subuh pun kadang-kadang tertinggal,yang wajib pun aku tak sempurna,hang ingat aku ni sapa? aku manusia biasa juga.Ada salah ada silap,aku tak ikut mana-mana kumpulan sufi dan aku bukan jenis yang suka taksub dengan sheikh. Aku cuma seorang pelajar Melayu kat Jepun yang nak belajar teknologi Jepun,yang cuba baiki diri,bertaubat dari dosa-dosa silam,yang cuba kumpul banyak-banyak ilmu,yang cuba bina iman dan jatidiri,prinsip dan idealisme,aku bukan manusia yang kaya harta,aku bukan manusia yang bijak laksana,aku bukan manusia yang kuat perkasa,aku cuma manusia yang nak lakukan kebaikan,mati dalam keberanian,demi menggapai redha Tuhan."

sumber menyebut kemungkinan besar dia masih bukan ahli mana-mana jamaah,dan dia menyokong dan bersedia membantu semua kebaikan yang dilakukan mana-mana jamaah,dia juga menentang mana-mana keburukan yang dilakukan mana-mana jamaah,cuma dia dikhabarkan pernah mengutarakan satu idea yang amat aneh. Idea itu berkenaan dengan "kebangkitan generasi pejuang kebenaran".Dia sebut bahawa dia akan menulis mengenai perihal itu dalam tulisan blognya. Dia katakan blog itu merupakan blogevolusi.


TAMAT
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
Sponsored content




PostSubyek: Re: BLOGEVOLUSI   Today at 8:06 pm

Kembali Ke Atas Go down
 
BLOGEVOLUSI
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: