MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:16 am

Menjatuh untuk dinaik, menghina untuk dimulia

Kalau di sekolah rendah,saya tidak pernah dilantik oleh rakan-rakan sebagai ketua kelas. Sehinggalah saya berada di darjah enam, saya diangkat menjadi ketua pengawas merangkap ketua murid di SK Rantau Panjang Klang Selangor.Ya, jawatan ketua murid itu adalah jawatan paling tinggi bagi seorang pelajar di sekolah rendah. Jawatan yang glamor. Walaupun hakikatnya saya baru sahaja berpindah ke sekolah itu selepas berhijrah dari negeri Perak ke Selangor kerana bapa saya seorang guru bertukar sekolah.

Hari ini, saya masih merenung kembali sejarah itu. Sejarah itu makin menghilang jauh sejauh saya berada dari bumi malaysia hidup di negara orang ini agaknya. Kisah lebih kurang 10 tahun lalu.

Seingat saya, jawatan ketua pengawas atau ketua murid itu dipilih sepenuhnya oleh barisan guru-guru. Mungkin nama saya dicadangkan oleh Guru Disiplin ketika itu Sir Rahman. Apakah kriteria menjadi seorang ketua murid? Saya tak pasti. Mungkinkah atas kerana saya adalah pelajar popular ketika itu? Popular dari sudut apa? Mengampu guru? tak pernah saya mengampu Sir Rahman. Berlagak baik? saya bukan pelajar yang baik manapun. Masih ingat ketika saya darjah 4 iaitu sewaktu baru lagi di sekolah itu, saya telah dikejar oleh seorang pelajar perempuan berbadan besar. saya tak ingat apa sebab perempuan itu mengejar saya, mungkin saya ada membuatkan dia marah sehingga dia mengejar saya. Itu buktinya saya bukan pelajar lelaki yang baik. ya, nakal.

Mungkin kerana prestasi akademik. Walaupun hakikatnya,saya bukan yang terbijak di sekolah itu. Dua orang perempuan punya prestasi akademik yang lebih baik. Dan sewaktu saya baru masuk ke SKRP itu, saya telah dipindahkan dari kelas yang atas ke kelas yang lebih bawah. saya sendiri keliru kenapa saya dipindahkan. Namun, setahun selepas itu, saya naik ke kelas nombor 2, iaitu 5 Anggerik. Dan kekal kelas itu ketika darjah 6, iaitu 6 Anggerik.

Di bidang kokurikulum, saya tidak aktif mana-mana sukan mahupun persatuan. Seingat saya, saya sertai PBSM untuk unit beruniform kerana PBSM adalah antara unit beruniform yang tidak aktif,jadi saya tak perlu hadir apa-apa aktiviti hari sabtu. Dalam permainan, saya sertai catur. Saya datang beberapa kali dan kemudian tak hadir hingga hujung tahun. Dalam persatuan, saya lupa saya sertai persatuan apa. Akan tetapi, saya sering dipanggil oleh guru-guru persatuan lain untuk mewakili dalam beberapa pertandingan,seperti bahas dan kuiz.
Saya pernah sertai nasyid sekali. Pertandingan dalam sekolah sahaja. Saya menyanyi di barisan belakang kononnya buat suara base.Lagu peristiwa subuh oleh raihan.

Saya beberapa kali masuk pertandingan melukis. Tapi hanya beberapa kali menang saguhati sahaja.Selebihnya, saya lebih berjaya dalam pertandingan yang menggunakan kemahiran bercakap seperti, perbahasan, syarahan dan bercerita. Sewaktu darjah 5, banyak juga gelaran pembahas terbaik saya perolehi dalam beberapa pusingan walaupun akhirnya gagal untuk melepasi saringan. Sewaktu darjah 6, saya melakukan hal yang amat memalukan,apabila beremosi ketika berbahas sehingga menjerit-jerit tanpa isi dan cakap yang berulang-ulang. Pasukan kami kalah dalam pusingan pertama lagi.

Mungkin pada mata guru-guru,saya adalah pelajar yang aktif. Walaupun pada hakikatnya, saya cuma aktif pada suatu sudut yang kecil semata-mata. Mungkin, kemahiran saya hanya pada bercakap, menjawab kuiz, menulis atau melukis semata-mata. Atas sebab kemahiran itu selalu dipandang oleh ramai guru sebagai kemahiran seorang pelajar yang bijak,berkaliber dan berkepemimpinan, maka mungkin kerana itu saya dilantik sebagai ketua murid akhirnya.

Namun, apakah kriteria aktif pemimpin yang sebenarnya? Adakah seorang pemimpin atau ketua itu dilantik atas faktor glamor, orang pandang ada karisma dan berkaliber,tapi bukankah itu persepsi semata-mata?



Mungkin sebab itu ramai pemimpin di dunia sering muncul dalam keadaan bercakap,menulis mahupun menjawab soalan-soalan media dan wartawan semata-mata. Ya, bukan tak ada pemimpin yang dulunya mereka bekerja sebagai doktor,meredah sungai merawat orang sakit,atau yang pernah menjadi pekebun,menanam sayur memerah keringat dan peluh,ataupun dulunya hanya seorang buruh kasar yang bergelumang dengan besi dan tukul.

Tetapi pada dunia hari ini, jarang sekali kita berjumpa pemimpin sebegitu. Adakah silap dasar demokrasi dunia yang semakin popular berkembang di dunia hari ini,sehingga pemimpin diangkat dari kalangan yang popular oleh rakyat jelata.

Bukti bahawa rakyat sukakan popular adalah apabila kita uji dengan dunia hiburan. Kita ambil akademi fantasia di malaysia sebagai bahan eksperimen. Baru-baru ini saya ada menjalankan kajian akademi fantasia 5. Pada hakikatnya,saya ingin mengkaji kaitan tentera hedonis dengan perancangan kapitalis, tapi akhirnya banyak juga yang saya pelajari terutama psikologi manusia atau masyarakat melayu dalam membuat pilihan.

Dalam akademi fantasia, ada satu minggu, seorang pelajar bernama aswad yang telah banyak dikritik oleh pengkritik dan dimalukan dengan lagu-lagu yang bukan jiwanya (jiwanya adalah genre rock) tetapi disuruh menyanyi lagu dangdut,lagu inggeris (tidak fasih berbahasa inggeris sehingga 'watching' didengari sebagai 'washing'),namun minggu itu aswad telah mendapat undi paling tinggi, rata-rata di akhir-akhir konsert itu pihak astro yang diproksikan ke atas pengacara aznil telah membuatkan ramai hadirin mengalirkan air mata dengan lagu 'ayah dan ibu' apabila seorang demi seorang ibu bapa pelajar naik ke pentas kecuali si aswad,kerana dia ialah anak yatim piatu.Undi aswad yang sebelum itu berada di hujung-hujung carta naik mencanak hingga ke tangga nombor satu,menjadikan aswad juara bagi konsert minggu itu.



Hal ini dapat saya lihat,apabila anwar ibrahim dipecat dan dituduh meliwat pada tahun 1998. Walaupun pada awalnya ramai pemimpin PAS terutama Mat Sabu merasakan Anwar Ibrahim memang patut turun takhta sebagai pemimpin berdasarkan siri-siri ceramah PAS sejak 20 tahun sebelum itu, yang selalu mengkumandangkan Anwar bersekongkol dengan parti sekular kerana kelabu mata akan kuasa ,pangkat dan harta.Namun, setelah Anwar membongkar satu persatu konspirasi pemecatannya itu, PAS berubah pendirian dengan mengambil sikap simpati atas nasib Anwar lalu bersama-sama sejak awal menyokong penubuhan parti keadilan,dan gerakan reformasi. Dan di hujungnya, PAS mengangkat Anwar sebagai hero yang mulia yang masuk UMNO kerana ingin berjuang namun disingkirkan atas kerana UMNO tidak mahu berubah dan sengaja mahu menjatuhkan perjuangan Anwar sejak awal lagi.

Ia berkenaan dengan persepsi, sehingga rakyat melihat anwar benar-benar teraniaya,apabila bukti-bukti tuduhan rasuah dan salahguna kuasa hanya dikaitkan selepas isu liwat berbangkit, yang dikatakan Anwar menyalahguna kuasa mengganggu tugas polis. Kemudiannya rakyat yang berjuang berdemonstrasi membantah kes Anwar itu pula telah ditahan di bawah ISA atas hujah bahawa demonstrasi mereka bercampur hasutan untuk menimbulkan huru hara dalam negara. Kemudiannya pula rakyat membantah sekali lagi akan undang-undang ISA pula hingga semuanya berkait-kait hinggalah PAS berjaya menambah kerusi bersama-sama DAP,dan sedikit kerusi keadilan di parlimen. Tahun 1999, atas sebab persepsi isu Anwar,maka rakyat berpaling dari BN kepada pembangkang.

Kisah anwar dan isu persepsi memilih pemimpin tidak berhenti begitu sahaja. Apabila anwar dilepaskan dari penjara dan kes liwat anwar dijatuhkan tidak bersalah,maka individu seperti Dr Badrul Amin pastilah difahami jika begitu beremosi menerangkan betapa perjuangan mereka menentang kezaliman kerajaan atas isu liwat itu, rupa-rupanya berjuang pada kes yang direka-reka semata-mata. "kes tak ada!" begitulah nada Dr Badrul Amin menerangkan betapa anwar ditumbuk ,dibogel,dan dipenjara atas satu kes yang tak wujud. Tidak hairan, persepsi inilah yang boleh meraih undi rakyat sekali lagi, dan kerana itu Anwar memanggil rakyat untuk mengulang perjuangan mengubah kerajaan (reformasi) untuk gelombang kali ke dua. Kali ini, Anwar mahu dilihat benar-benar hero dan betapa Anwar yakin persepsi rakyat memandang dirinya sebagai hero atau pemimpin nombor satu paling layak atas jawatan PM, apabila PM yang ada sekarang Pak Lah jenis yang bukan 'menyerang' , ditambah pelbagai kecaman pada Pak Lah yang baru satu penggal menjadi PM dengan gelaran 'lemah','lembik' dan sebagainya.

Tidak hairan jika PAS tidak segan untuk mengangkat Anwar menjadi teraju BA,walaupun hakikatnya penyokong Pas tentulah majoriti dalam BA. Ini suatu yang tidak logik oleh parti keadilan. De facto mereka diangkat sebagai teraju, namun parti mereka tidak banyak kerusi, maka PKR akhirnya memohon kerusi lebih banyak di Kelantan (satu-satunya negeri yang masih dipimpin oleh pembangkang), dalam masa yang sama, satu persatu bahagian keadilan di Kedah dibubarkan.

Politik itu akhirnya ke mana? Pemimpin yang sebenar itu bagaimana?

Itulah demokrasi seperti yang selalu ditakrifkan, "dari rakyat,oleh rakyat,untuk rakyat". Rakyat cermin kepimpinan. Lalu rakyatnya bagaimana? Ke situlah politiknya.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:20 am

Harapan yang keliru



Saya mengakhiri zaman sebagai pemimpin kanak-kanak (ketua murid sekolah rendah) dengan suatu kegagalan. Saya dilihat gagal kerana anugerah 'Pelajar Harapan Sekolah' yang saya terima sebelum peperiksaan UPSR bermula,akhirnya disudahi dengan keputusan UPSR yang menghampakan guru-guru. Buat pertama kali,bak kata seorang guru saya, ketua murid tidak mendapat 'straight A's'.

Saya masih ingat lagi,ketika hari penyampaian sijil anugerah cemerlang yang diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar straight A's dan yang sipi-sipi straight A's (iaitu saya salah seorang darinya) itu. Saya berbasikal ke sekolah untuk menghadiri majlis itu, kerana bapa saya menyuruh saya berdikari. Ya, sebelum majlis itu lagi, ayah saya sedikit kecewa kerana saya gagal mendapat straight A's. Mungkin bagi sesetengah ibubapa straight A's adalah penting. Jika gagal mendapat straight A's maka pelajar itu dilihat seorang yang gagal.

Saya mengayuh basikal dalam imej yang gagal.Setibanya saya ke sekolah, guru-guru cuba melarikan pandangan dari kelibat saya. Tinggallah saya tersengih-sengih keseorangan. Saya duduk di dalam dewan kecil (kelas yang diubah menjadi dewan) menunggu majlis bermula. Ya, dari tingkap-tingkap di sisi dewan itu, saya dapat lihat semua pelajar straight A's (seramai 2 orang) dihantar oleh ibubapa masing-masing. Begitu juga dengan pelajar lain yang diraikan. Ya, terkilan juga dengan ayah saya. Namun, saya faham mengapa ayah saya mendidik saya sebegitu rupa. Supaya saya menjadi orang yang berfikir dan merendah diri serta tidak sombong sampai bila-bila.

Semua pelajar yang diraikan akan ditepuk apabila nama mereka disebut, sekurang-kurangnya tepukan itu dari ibubapa mereka yang hadir. Namun nama saya disebut tanpa tepukan. Kerana saya datang ke majlis itu berseorang diri dengan basikal saya. Saya turun dan senyum pada guru. Tapi guru-guru yang ada buat-buat lihat tempat lain dan ada yang berbual. Itulah zaman kejatuhan seorang pemimpin kanak-kanak kerana tidak mencapai harapan dan impian pihak-pihak yang mengangkat saya dulu.

Saya dilantik oleh guru,lalu saya menghampakan guru-guru. Hampa untuk apa? Hampa kerana tidak dapat berbangga dengan bilangan murid yang dapat straight A's. Hampa kerana tidak dapat bermegah-mega dengan nama sekolah. Guru mendidik pelajar demi kemegahan sekolah. Itulah zaman pendidikan yang jelas di mata saya.

Hal itu mengingatkan saya bagaimana imperialisme dijalankan suatu masa dulu oleh bangsa eropah. Demi mengejar kemegahan di muka bumi, orang eropah mula menjalankan dasar menjajah. Kelompok peribumi hanya bahan untuk mereka eksploitasi, yang penting perlu akur kepada kemegahan mereka.

Ada segelintir penyakit ke'bangsa'an dan perkauman yang tersisa dalam diri manusia. Mereka mengatakan diri mereka bangsa yang gagah dan kaum yang mulia. Lihat sahaja penyakit ini pada bangsa israel. Atas kerana dendam mereka terhadap manusia lain yang menghina dan menindas mereka suatu masa dahulu, mereka mula merencanakan agenda zionisme.



Penyakit untuk menjayakan kemegahan bangsa dan kaum tidak pernah menemui keadilan yang dicari. Walaubagaimanapun politik bangsa atau nasionalisme akhirnya menemui puncak pada hari ini selepas dunia melalui imperialisme dan perang dunia.Namun puncak nasionalisme yang menghasilkan negara-negara bangsa tidak boleh menyekat kerakusan manusia untuk berkuasa atas manusia lain. Imperialisme kedua akan berlaku atau telah dan sedang berlaku pada zaman milennium zaman abad baru.


Globalisme suatu fahaman untuk menjadikan dunia satu wilayah tanpa sempadan. Globalisme adalah hasil cetusan puak kapitalis yang datang dari bangsa-bangsa besar yang disebut 'superpower' dunia. Demi kemegahan, mereka melantik diri mereka sendiri menjadi pemimpin dunia.Walaupun gerakan mereka memimpin menggunakan slogan 'demokrasi',namun hakikatnya, mereka memimpin dunia dengan cara yang bercanggah dari prinsip demokrasi sendiri iaitu 'dari rakyat,oleh rakyat dan untuk rakyat'. Mereka cuba memimpin dunia dengan dasar unilateral. Dengan dasar satu jalan dan satu kuasa.

Soalnya, manusia berpolitik (mengurus kuasa dan berjuang demi kekuasaan) untuk apa? Untuk apa manusia ingin menguasai manusia lain? Untuk apa manusia ingin diri sendiri dilantik menjadi pemimpin? Kerana mereka megah merasakan mereka layak.

Kemegahan yang melanda manusia itu akhirnya dapat dijelaskan dengan sikap mereka merendah-rendahkan orang lain. Atas kerana agenda mereka ingin megah, maka semestinya lawan mereka perlu hina dan menjadi hina. Inilah politik yang diajar oleh gerakan demokrasi kepartian yang bergerak di seluruh dunia.

Dengan adanya kumpulan yang bersaing dalam kondisi dan sifat mengejar kemegahan ini, maka perselisihan, hasad dengki, tuduhan,khianat, penyelewengan akan terus berlaku. Bukti jelas lagi terang adalah apabila kejayaan demokrasi kepartian berjaya memecahbelahkan perjuangan rakyat palestin dalam bentuk parti hamas dan parti fatah. Usaha kerajaan perpaduan diadakan tidak boleh melenyapkan agenda demokrasi kepartian ini.

Mengapa hal ini tidak berlaku di barat? Tidak, hal ini juga berlaku di barat. Konspirasi politik di barat lebih hina dan jijik. Mereka lakukan kerja beragenda kemegahan ini hingga sanggup menjalankan pembunuhan terancang. Ahli-ahli politik dibunuh bukan hal asing di dunia barat. Di asia barat, pembunuhan-pembunuhan mula tercetus. Pemain-pemain politik untuk mengejar kemegahan di pihak israel mahupun di pihak negara-negara umat islam seperti di mesir, syria dan lain-lain, pembunuhan terancang juga terjadi.



Mungkin di malaysia berlaku juga pembunuhan terancang. Dan penyuburan fenomena ini akan lebih teruk jika rakyat digesa untuk bersikap merusuh, mengganas dan sebagainya. Memainkan emosi sekumpulan manusia untuk meletakkan emosi,sentimen dan persepsi mengganas merupakan satu penjajahan psikologi yang dahsyat dalam peradaban manusia.

Manusia diseru bangkit. 'Bangkit' di situ bukan sebarang bangkit. Tetapi bangkit untuk tonjolkan emosi, tonjolkan rasa amarah. Apakah seruan yang lebih hina dari itu dalam mengejar kekuasaan dan kemegahan. Untuk melayakkan diri sendiri diangkat untuk memimpin, menyeru supaya orang lain dijajah pemikiran,emosi,tindakan, hingga lahir manusia-manusia yang terasuk.

Itulah yang dilakukan oleh Amerika dalam meraih sokongan untuk masuk ke negara-negara tertentu, untuk kuasai politik negara-negara itu, menggodam sekian banyak ketamadunan. Amerika menyeru untuk menentang keganasan. Menaikkan elemen islamphobia. Akhirnya menjurus keganasan ke atas kelompok islam pula.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:21 am

Politik Samseng-Politik akhlak



Memang setiap suatu itu ada hikmahnya. Kegagalan saya untuk berjaya dalam UPSR akhirnya membawa saya ke sekolah menengah biasa iaitu SMK Rantau Panjang Klang. Hikmahnya saya di situ, adalah apabila saya mula merenung akan situasi perkauman di Malaysia.

Pergaduhan antara 3 samseng perkauman iaitu samseng melayu, samseng cina, dan samseng india bukan suatu rahsia di bumi SMK RP pada zaman itu. Tidak cukup dengan pakcik makcik bergaduh dan bersengketa dalam isu politik (zaman reformasi yang begitu terasa di bumi klang), anak-anak mereka terbiar terjebak dalam budaya samseng perkauman yang saya fikirkan amat dahsyat.

Entah dunia apa yang pelajar-pelajar itu sertai di luar sekolah, fikir saya ketika itu. Demi menabur sedikit jasa di sekolah itu, saya mula berhasrat untuk menjadi seorang pengawas sekolah. Saya fikir, jika dapat menjadi pengawas, maka kata-kata saya akan lebih praktikal. Saya tidak sahaja mengeluh akan situasi sekolah yang tidak aman, namun saya perlu bergerak dengan kuasa untuk mengamankan sekolah.

Pengawas adalah jawatan pemimpin. Memang saya bukan gila pangkat atau jawatan. Tetapi dalam keadaan situasi sekolah sebegiturupa perlunya saya menggunakan daya dan upaya saya untuk menaburkan sedikit jasa dalam membawa keamanan di sekolah itu. Memang cita-cita saya jika didengar oleh rakan-rakan akan diketawa dan dipalitkan dengan gelaran 'poyo'. Tetapi itu lebih bererti dari saya hanya menjadi seorang pelajar yang pasif yang menyaksikan pergaduhan perkauman hampir tiap hari.

Apabila telah menjadi pengawas, saya dipandang sebagai anjing sekolah. Menjadi tukang turut cikgu dan pengetua.Samseng adalah musuh pada samseng lain. Dan pengawas adalah musuh bagi semua samseng. Atas persepsi itu, maka apabila terjadi sahaja pergaduhan samseng, maka pengawas lesap. Ya, memang betul juga tindakan pengawas melesapkan diri, kerana cikgu sendiri telah memperingatkan supaya, pengawas tidak sertai pergaduhan kerana mungkin akan menjadi mangsa,dan tanggungjawab guru untuk meleraikan semua pergaduhan pelajar.

Cuma suatu hari, saya tak dapat menahan lagi untuk masuk meleraikan pergaduhan, atas kerana saya merasakan tanggungjawab yang telah diberi perlu dilaksanakan. Pengawas adalah pemimpin pelajar, itu yang saya faham. meleraikan pergaduhan merupakan akhlak pemimpin. Pemimpin perlu perjuangkan akhlak. Perlu perjuangkan keamanan emosi. Perlu galakkan kasih sayang sesama insan. Perlu satukan hati-hati yang berselisih. Bukan menjadi teraju untuk menghentam kumpulan yang lain.

Mempertahankan diri atau membenteng diri dari serangan tidak salah. Namun menjadi salah jika kita sendiri mahu menggalakkan lebih banyak lagi kebencian. Jika seorang samseng mengejek samseng yang satu lagi, maka menjadi tanggungjawab pemimpin samseng yang diejek untuk mempertahankan maruah, namun bukan mengejek kembali samseng yang mengejek.

Pemimpin bukan sebagai pencetus atau penambah huru hara. Pemimpin bukan sebagai pencetus atau penambah sengketa. Pemimpin adalah yang menyatukan. Pemimpin adalah mendamaikan. Pemimpin bawa keamanan. Menjadi tanggungjawab mana-mana pemimpin memastikan wilayah kepimpinan mereka aman dan bukan huru hara.



Saya masuk dalam sebuah pergaduhan, dengan berbadan kecil dan kurus, saya cuba menghalang pelajar-pelajar melayu dari memukul. Ya, pelajar-pelajar melayu itu adalah tingkatan 5 lebih tua dari saya. Tetapi untuk meleraikan pergaduhan, satu pihak perlu berhenti menyerang. Dan saya fikir, sebagai orang melayu beragama islam, adalah patut saya menghalang pelajar melayu dari menjadi golongan menyerang.Akan tetapi, saya telah dihina sebagai 'penyibuk'.

Atas kerana saya dipanggil sebegitu rupa saya mula memikirkan kembali apakah praktikal usaha meleraikan situasi ini, atau saya perlu belajar lebih mendalam untuk memahami aspirasi mereka yang menjadi samseng.

Lalu,saya mula mengkaji setiap punca pergaduhan perkauman di sekolah itu. Namun, bukan menjadi cara saya untuk menyertai kumpulan samseng pula semata-mata untuk kenal mereka dan masalah mereka.Oleh itu, saya mula berkawan dengan beberapa ahli kumpulan mereka yang saya anggap tidak begitu taksub dengan sikap berkumpulan itu. Ya, sekurang-kurangnya mereka pasti memahami sikap kawan-kawan mereka sendiri.

Akhirnya, saya dapati selalunya punca pergaduhan adalah dari perasaan tidak puas hati. Di satu pihak mereka menyalahkan pihak yang satu itu memulakannya, dan pihak yang dituduh pula menuduh kembali pihak yang satu lagi yang mencetuskannya. Akan tetapi, yang dapat saya salahkan adalah mereka yang menjadi pembangkit amarah dari kedua-dua kumpulan. Saya panggil kelompok pembangkit amarah ini sebagai 'kaki carut dan marut'. Disebabkan amarah mereka selalunya akan hasilkan carut dan marut.

Perasaaan tidak puas hati manusia boleh terlerai jika usaha perbincangan, perbicaraan dan hukuman ke atas pesalah dijalankan. Namun perasaan tidak puas hati itu akan bertukar benci dan permusuhan apabila kaki carut dan marut mengambil bahagian.



Jika dilihat kepada politik kepartian yang berjalan di malaysia saling tak tumpah bagaimana dunia samseng ber'politik'.Kelibat-kelibat kaki carut dan marut akan menambah kebencian antara satu kumpulan dan satu kumpulan yang lain. Siapakah yang akan menang jika diukur dari kepimpinan suci? Tentunya sesiapa yang membawa ideologi menyatukan, menghubungkan, meleraikan amarah, menenangkan jiwa yang memberontak, menyalurkan kerjasama, dan mendidik untuk bersifat memimpin. Jika istilah 'politik' itu dapat diertikan kepada 'kepimpinan' dan bukannya 'kekuasaan', maka tentunya politik akhlak adalah juara bagi segala juara politik.

Kita boleh terus bertegas dengan prinsip dan manhaj politik kita, tetapi amat malang jika prinsip dan manhaj kita itu menganjur kepada menyerang untuk membenci, bangkit untuk bermusuh, melaungkan sengketa dan bertindak untuk huru hara dan kehancuran keamanan. Kita boleh mempertahankan diri dan membenteng dari serangan musuh yang menyerang kita, namun usaha mempertahankan diri adalah untuk mengekalkan keamanan. Ini bermakna musuh yang bawa peperangan dan kehancuran,dan kita adalah penyelamat untuk keamanan. Jika kita yang mengajak kepada peperangan dan kehancuran, apakah 'politik' kita boleh dikatakan politik akhlak lagi?

Dan lebih malang jika, usaha politik itu sekadar untuk melantik kepimpinan negara dalam satu proses yang telah dipersetujui bersama. Namun atas sebab satu fitrah apabila manusia sudah berkelompok, sudah berpuak, sudah berkumpulan dan berparti, dengan jiwa yang keliru akan erti 'politik',dalam mengejar kemegahan maka proses persaingan akan melibatkan kaki carut dan marut untuk menonjolkan kumpulan kita yang paling megah, manakala kumpulan yang satu lagi hina. Itu bukan memimpin. Itu bukan kepimpinan.Apabila telah terjadi persengketaan dan bukannya persaingan sihat,maka terjadilah politik samseng.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:23 am

Politik Penyatuan digagalkan




Ketika saya berada dihujung tahun di sekolah menengah di Taiping iaitu sebuah sekolah berasrama penuh, saya sekali lagi menerima jawatan pemimpin. Kali ini ia dalam bentuk pakej yang berbeza. Menjadi ketua badan dakwah sebuah sekolah berasrama penuh tanggungjawabnya lebih berat dari menjadi ketua murid kanak-kanak 5 tahun sebelum itu. Namun syukur, jawatan itu saya terima bukan dalam keadaan tanpa apa-apa asas,kerana ketika itu saya sudah punya cita-cita, jalan berfikir, dan prinsip diri yang dijana oleh Tengku Asmadi dalam 3 tahun sebelum itu.

Saya cuba memimpin dalam keadaan penuh perjuangan. Tahu matlamat, tahu objektif, namun sudah fitrah orang muda, kurang pengalaman, ada saja cacat cela di mana-mana. Tidak hairan orang tidak suka akan saya. Benci akan cara saya. Mungkin niat dan matlamatnya baik, namun caranya salah. Begitulah banyak respon yang saya terima. Hikmah.. itulah jalan yang diimpikan saya untuk membaiki keseluruhan perjuangan. Hikmah adalah jalan memahami, jalan yang adil, yang kena pada tempatnya, bila dibuat orang menjadi selesa, orang menyokong dan matlamat tercapai. Itulah jalan hikmah dalam perjuangan yang saya fahami. Benar, hikmah bukan diberi Allah buat semua orang. Sebagaimana hidayah, hikmah juga terpilih. Terpilih pada yang hanya sabar, istiqamah dan berdoa penuh pengharapan sahaja.

Apa yang ada dalam kotak fikiran saya pada awal menerima jawatan ketua dalam badan dakwah itu, adalah perlunya saya bertindak laksana seorang ulama. Perlu yakin dalam menghukum. Maka saya pilih untuk khatam kitab fiqh sayid sabiq. Di situ, saya berkeyakinan untuk menyatakan yang mana satu jalan yang tepat menurut sunnah, kerana saya yakin segalanya ada dalil, ada hadis menyokong. Dalam tidak sedar saya telah bertindak, menjadikan diri mujtahid dalam keadaan diri penuh jahil dengan disiplin ilmu dan selok belok hukum.

Dalam suatu keadaan saya shadid menyatakan haram dan bidaah. Pernah suatu ketika, saya beranggapan sesiapa yang tidak bersama-sama dengan jemaah pertama di surau dalam solat, maka mereka umpama musuh dan munafik yang sengaja ingkar pada kesatuan. Saya berpesan dengan keras, mengenakan pelbagai gelaran buat sesiapa yang tidak berusaha bersama-sama solat berjemaah dalam jemaah yang pertama. Apabila saya lihat ada junior-junior yang bertindak menubuhkan jemaah solat yang kedua maka saya merasakan mereka sengaja untuk tidak bersama kesatuan yang telah disepakati.

Bacaan alma'thurat yang dibaca secara berkumpulan telah saya bidaahkan. Saya sebut, perbuatan ini tidak ada dalam sunnah rasulullah. Membentuk halaqah dan membaca beramai-ramai al ma'thurat. Begitu juga dengan yasin setiap malam jumaat, saya telah memandang usaha bacaan yasin cuma iktikad yang salah, sehingga buat orang lain merasakan wajib membaca yasin. Ada juga saya ingin cadangkan malam jumaat itu dibaca surah yang lain, ustaz yang di sekolah juga tak melarang jika saya nak laksanakan. Namun, saya terfikir kembali, jika saya laksanakan satu majlis bacaan surah lain, pun tidak punya dalil dan mengikut sunnah Rasulullah. Bukankah saya akan mencipta bidaah baru selepas yasin.

Saya menjadi keliru. Walaupun hakikatnya saya telah bergelumang dengan jalan fikir 'salafi' sebelum saya kenal ada gerakan 'salafi' yang telah lama bergerak dan menjadi popular sewaktu ini. saya mula membongkar kitab-kitab karangan imam al ghazali. Cuma layak membaca terjemahan atas sebab saya langsung tiada asas bahasa arab. Saya mula tersentuh dan mula terfikir tentang jiwa dan erti hidup. Imam al ghazali merupakan ulama merupakan tokoh yang begitu mendalam pemahamannya mengenai hidup dan perjuangannya yang sebenar. Manusia sering membuang masa sibuk dalam matlamat yang tidak kekal. Untuk menang dalam debat, untuk menang dalam kemegahan. Beberapa tempoh akhir saya di sekolah itu, saya mula ingin menjadi zuhud sezuhud imam al ghazali. Saya mula tersentuh ketabahan imam hassan al banna dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah jiwa. Islah hati dan iman itu yang menjadi teras. Saya juga mahu uzlah, mahu berkelana seperti imam al ghazali. Itu hasrat saya apabila tamat SPM nanti.

Seperti sewaktu UPSR, keputusan SPM juga saya gagal mendapat straight A's dan cuma sipi-sipi sahaja. Namun, keputusan itu tak lagi dipandang gagal olah ayah saya. Mungkin situasinya sudah berbeza. Sewaktu menjelang UPSR ayah saya bercanang-canang dengan yakin bahawa saya akan berjaya mendapat straight A's, namun akhirnya hampa kerana saya gagal. Akan tetapi, menjelang SPM pula ayah saya sudah bercanang-canang, keputusan SPM saya akan teruk kecundang,maka keputusan sipi-sipi itu sudah cukup baik membuktikan saya tidak kecundang.

Zaman menunggu keputusan SPM merupakan zaman yang amat mencabar. Zaman itu saya mula memahami bukan sahaja politik samseng yang disertai oleh kaki carut dan marut sahaja pencetus sengketa dan pengotor medan politik, namun politik akhlak juga perlu menuju politik penyatuan, dan elemen menggagalkan politik penyatuan adalah apabila tafsiran agama disertai oleh nafsu kemegahan.

Di pihak UMNO, ada segelintir yakni pemain politik utama UMNO, cuba bertindak menafsirkan perjuangan agama mereka sebagai yang terbaik dan megah. Ini mendorong mereka memandang para mufti, ahli agama, dan ulama-ulama pondok sebagai individu-individu kolot agama. Mereka merasakan tafsiran agama mereka adalah tafsiran agama yang maju, moden, sesuai dengan zaman, hingga mengakibatkan mereka tidak malu untuk menghina orang-orang yang berilmu agama yang bercakap dalam keadaan penuh dalil dan jalan yang tepat atas ahlus sunnah wal jamaah. Walaupun kesepakatan para ulama malaysia mengeluarkan fatwa, tidak langsung diambil endah. Mereka cuma mengambil bahagian yang mereka senang, atau yang boleh dieksploitasi untuk menjatuhkan musuh politik mereka semata-mata.

Di pihak PAS, juga tafsiran agama diperkotak-katikkan. Mereka berpegang shadid untuk tidak beri muka kepada sebarang elemen yang bukan datang dari ajaran islam termasuklah unsur nasionalisme yang ada dalam UMNO. Lalu mereka mengharamkan UMNO. Mengkafirkan pertubuhan itu. Bergabung, bersatu mahupun bekerjasama adalah haram bagi mereka jika dengan UMNO. Namun lain pula apabila mereka terbuka dan longgar, tidak lagi shadid apabila berhadapan dengan PKR dan DAP yang terang-terang adalah pertubuhan dan parti yang mengangkat idealisme barat sosialis demokrasi, dan liberalis demokrasi.

Idea pendek beberapa pejuang politik kepartian mengenai istilah demokrasi, membuatkan mereka kurang berhati-hati apabila memperjuangkannya. Jika nasionalisme diharamkan, maka demokrasi merupakan teras lahirnya nasionalisme juga patut mendapat nasib yang sama. Apatah lagi jika idea sosialis dan liberalis mula menjadi pegangan. Maka tafsiran demokrasi sudah diperincikan, maka bahayanya lebih besar jika bersekongkol dengan agenda mereka.



Saya bukan penentang demokrasi. Namun istilah demokrasi itu langsung tiada piawai yang baik untuk dirujuk. Adakah perjuangan demokrasi awal menjadi rujukan? Bukankah di situ dapat dilihat pertumpahan darah dan keganasan mengambil tempat dalam memperjuangkan demokrasi yang membawa kepada revolusi perancis atau amerika. Atau perjuangan demokrasi yang kini dipimpin oleh Amerika perlu dirujuk sebagai perjuangan demokrasi? Demokrasi merupakan prinsip caca merba yang langsung tidak membawa kepada keadilan sejagat. oleh sebab itu, maka demokrasi akhirnya ditafsir pelbagai dari ideologi politik yang pelbagai. Kini kita boleh dengar Demokrasi sosialis, Demokrasi liberalis, Demokrasi anarkis, atau Demokrasi islamik? Mungkin tidak hairan jika komunis juga sudah ada demokrasi komunis.

Saya mengkaji dua forum politik UMNO dan PAS iaitu KMU dan TKO untuk mendapatkan kepastian mentaliti penyokong medan politik kepartian hari ini yang muncul sebagai watak-watak maya internet. Jika 5 tahun dulu, segala tinjauan saya melihat kepincangan dalam membawa politik akhlak dan politik penyatuan ke dalam politik malaysia, hari ini kepincangan itu masih belum berubah.

Di KMU mahupun di TKO, saya berjumpa dengan watak-watak hipokrit yang meraikan kemungkaran ahli-ahli sekepala atau se parti dengan mereka, dalam masa yang sama mereka memusnahkan apa saja teguran dan perjuangan pihak lain menjelaskan kepada saya politik kepartian masih belum lari dari niat kemegahan. maka benarlah, hanya yang faham tujuan dan matlamat hidup ini semata-mata mahu meraih redha Allah sahaja yang akan terbuka menerima dan memperjuangkan politik akhlak dan politik penyatuan.

Di KMU ada forumer yang begitu benci akan nik aziz kerana nik aziz menyebut Tuhan mencarut. Dalam masa yang sama, forumer itu menggunakan carutan sebagai zikir perjuangannya, malah sanggup memperkecil-kecilkan para ulama yang non partisan seperti mufti perak ustaz harussani dalam kancah kegelenyaran dan kebusukan najis perjuangan politik kepartian mereka.

Di TKo pula, muncul forumer yang terang-terang menyebut undi BN adalah haram atas dasar perlembagaan parti umno yang sekular yakni kafir. Namun boleh menghukumkan halal undi DAP dan PKR malah tidak segan menyebut undi DAP dan PKR menjadi halal kerana mereka menyokong perjuangan islam dan negara islam, padahal terang-terang dasar perjuangan DAP dan PKR adalah demokrasi sama rata yang tidak memberikan mana-mana agama mahupun kaum untuk menjadi istimewa atau memilik negara, dalam erti kata lain, perjuangan DAP dan PKR menuju sebuah sekular yang lebih nyata.

dari laman DAP:
http://www.dapmalaysia.org/english/2007/mar07/bul/bul3258.htm
Malaysia as a democratic, secular and multi-religious nation with Islam as the official religion but not an Islamic State

.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:24 am

POLITIK Adalah KEPEMIMPINAN

Dunia telah menyaksikan pelbagai pertembungan fikrah,manhaj, ideologi ciptaan manusia dari situasi mendesak akan menjuruskan kepada peperangan. Peperangan tidak hanya akan tercetus apabila manusia terbelenggu olah masalah ekonomi mahupun krisis sosial. Namun dua faktor itu jika sudah capai tahap mendesak pemain-pemain politik untuk cuba membaiki segala-galanya dengan alat KUASA,maka persengketaan, perselisihan, konfrantasi mahupun peperangan akan mengambil tempat.

Perang dunia kedua dapat menyaksikan bagaimana akhirnya nasionalisme yang radikal membuahkan faham fasisme untuk cuba membawa ekonomi dan sosial di tahap yang lebih baik dengan menunjukkan kuasa politik melampau. Situasi yang sama telah pun berlaku berkurun sebelum itu, di zaman panji-panji imperialisme eropah cuba mengaut hasil bumi tanah bangsa lain, dan melakukan pembunuhan, juga pecah sosial yang dahsyat, juga adalah hasil dari matlamat menjaga kedaulatan dan survival bangsa eropah dan memperalatkan kuasa politik mereka sebagai negara yang lebih kuat menindas negara yang lemah.

Hampir berabad lamanya manusia bergelumang dengan faham politik yang mengertikan politik adalah kuasa memerintah,kuasa menjadi kerajaan untuk menguasai sesebuah negara. Demi matlamat kuasa itu, pelbagai pakej ideologi ditawar kepada pemain politik untuk diperjuangkan mereka bagi meraih kuasa politik itu.

Di satu sudut, demokrasi,liberalisme,kapitalisme duduk dalam satu ruang lingkup untuk menghapuskan segala faktor-faktor menyekat kemaraan kemahuan manusia yang akhirnya disenaraikan sebagai perjuangan menuntut kebebasan dan hak asasi manusia. Di satu sudut yang lain, komunisme,sosialisme dan radikalisme cuba mengatur sistem modal manusia mereka ke arah satu barisan sahaja. Pejuang-pejuang islam cuba menawarkan islam sebagai sebuah ideologi yang membawa jalan pertengahan dari dua kelompok ideologi yang bertembung itu. Namun, malangnya, pejuang-pejuang islam yang berkecimpung dalam perjuangan politik juga akhirnya memandang politik merupakan kekuasaan.

Tidak hairan akhirnya pemain-pemain politik islam ada yang mengambil ideologi-ideologi kanan dengan mengangkat diri mereka sebagai pejuang demokrasi, pejuang liberal, pejuang sistem kapitalis, dan mendakwa fahaman politik islam mereka adalah islam yang progresif.

Manakala ada juga mengambil jalan kiri dengan menjadi pejuang-pejuang komunis, sosialis, dan puak radikal,dan akhirnya mereka dicop sebagai pejuang-pejuang islam konservatif.

Ini suatu kezaliman kepada umat islam setelah muncul pejuang-pejuang islam dalam medan politik akhirnya bertembung sesama mereka sendiri iaitu pertembungan progresif dan konservatif dalam mengejar kuasa yang mereka fikir matlamat politik islam. Hasilnya, pertembungan mereka sebagai pejuang-pejuang yang semuanya bersekongkol dengan ideologi asing, telah membawa diri mereka diperalatkan oleh puak-puak asing yang rata-rata adalah pencipta teknologi dan penyumbang persenjataan dunia.Di sudut rakyat biasa muslim pula dihambat dengan islamphobia dan diskriminasi serta penindasan bangsa dan agama.

Islam boleh berdiri sendiri dalam meberikan erti nilai kepada takrif politik sebenar. Politik wajar diertikan sebagai kepemimpinan. Mengejar kuasa politik seumpama mengejar sebuah amanah kepemimpinan. Adakah umat Islam yang diangkat sebagai khalifah di muka bumi ini, akhirnya menjadi kuda tunggangan dan proksi-proksi ideologi asing dan mempergunakan politik sebagai kekuasaan dan mengabai prinsip kepemimpinan islam.

Perjuangan politik di malaysia tidak boleh lari dari pengaruh suasana alam dunia luar yang bergelora itu. Di dalam jalinan sejarah malaysia juga pernah menyaksikan betapa puak pejuang politik islam pernah bersekongkol dengan ideologi komunis, sosialis untuk kononnya membawa kepemimpinan islam. Juga dewasa ini puak-puak pejuang islam langsung tidak belajar secara mendalam apakah perjuangan politik islam sebenarnya, hingga mereka menjadi pejuang-pejuang demokrasi dan liberalisasi menjadi alat penyebar agenda zionis itu. Buktinya, mereka sudah hilang dasar-dasar kepemimpinan islam iaitu dakwah,ukhuwwah,akhlak dan rahmah dalam memperjuangkan politik.

Mereka langsung tak mahu berfikir walau sejenak strategi yang lebih baik untuk kemajuan ummah, yang telah dipaksa ke atas kita satu sistem pemilihan teraju politik negara iaitu pemilihan demokrasi , pilihanraya kepartian itu.Bersekongkol dengan unit-unit parti yang menjadi pejuang demokrasi dan liberalisasi, mereka juga kini sudah bersuara untuk memperjuangkan 'freedom of speech' ,'freedom of religion', yang semua tahu itu adalah elemen asas pengembangan sekularisme dan hedonisme.

Bukan senang untuk kita naikkan satu dasar 'keimanan kepada Tuhan' mahupun 'keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi' di tengah-tengah propaganda demokrasi dan liberalisasi sedang berlangsung. Namun, peluang tercipta beberapa kali namun kesempatan boleh terus dijual kerana kita sudah membelenggu pemikiran kita untuk memikirkan politik itu adalah kekuasaan, maka beberapa elemen kepemimpinan iaitu dakwah,ukhuwwah,akhlak dan rahmah boleh terus kita persetankan.

Politik malaysia perlu dibawa kepada takrif politik sebagai kepemimpinan semula. Mesti ada pejuang-pejuang yang menawarkan politik akhlak, politik penyatuan (ukhuwwah), politik dakwah, dan politik rahmah dalam kancah kekalutan dunia politik malaysia sekarang yang kalut dengan pemain-pemain politik islam baik dalam umno,pas mahupun pkr,yang tidak cekap dalam meletakkan dasar perjuangan meraih redha Allah.

Kempen politik kepartian yang berlangsung kini, perlu juga menjemput khemah-khemah rakyat untuk berkempen kepada parti-parti yang bertanding. Di samping semua pemain-pemain politik berkempen , berceramah mengajak rakyat keluar mengundi parti mereka, SPR perlu membenarkan juga rakyat jelata berkempen dan berceramah kepada semua parti-parti politik untuk bermuhasabah diri menanamkan konsep kepemimpinan dalam perjuangan mereka. RAKYAT JELATA PERLU MENAWARKAN POLITIK AKHLAK, POLITIK UKHUWWAH, POLITIK DAKWAH DAN POLITIK RAHMAH KEPADA SEMUA PARTI-PARTI POLITIK NEGARA MENJELANG PILIHANRAYA, supaya para pemain politik akhirnya akan menjadi ahli-ahli politik yang tawaduk serta insaf serta menjadi golongan-golongan yang bertaubat, InsyaAllah.

baca juga:
Antara maqasid al-Syariah dan demokrasi Barat oleh DR SYED ALI TAWFIK ALATTAS
http://drsyedali.blogspot.com/2007/06/antara-maqasid-al-syariah-dan-demokrasi.html


.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:25 am

(kata ganti diri aku digunakan mulai artikel ini)

Apakah Pemikiran Politik aku?

Ketika tempoh menunggu SPM, aku benar-benar berada dalam tahap tegang dengan pemikiran,idealisme, cita-cita, emosi, dan peribadi telah berkecamuk di tahap paling serius. Aku tahu, tempoh itu akhirnya akan menjelma tatkala 3 tahun sebelum itu Dr Asmadi telah mengingatkan cabaran di dunia pelajar belum cukup menduga, cabaran selepas dunia pelajar adalah cabaran yang lebih hebat perlu ditempuh.

Walaupun hakikatnya, aku masih berada dalam dunia pelajar selepas SPM, namun aku perlu sedar, dunia selepas SPM adalah cermin dunia yang sebenar yang aku perlu tempuh dalam alam dewasa kelak. Jika aku terus hidup atas idealisme tanpa perancangan konkrit yang nyata dan praktikal, maka aku akhirnya akan mengikut jejak para mahasiswa mahasiswi malaysia yang lain, iaitu kelompok yang hanya meneruskan tradisi kalut politik di malaysia.

Aku sedar, dalam negara malaysia ini ada ramai pelapis-pelapis muda yang punya pemikiran genius, otak pintar, malah boleh merencanakan strategi terbaik untuk kemajuan ummah. Aku sedar aku bukan golongan itu, namun jika aku mahu merealisasikan idealisme yang aku bina selama ini, golongan itu aku perlu kumpul. Aku teringatkan adik-adik di SERATAS yang sering menyokong perjuangan dakwah di seratas, lalu aku merasakan apa salah jika aku cuba untuk melihat sokongan adik-adik di seratas dahulu sebagai percubaan aku untuk mengumpul penggerak idealisme politik islam sebenar yang tidak lagi menumpang ideologi pemikiran barat.

aku pos kan sebuah risalah komik yang aku hasilkan dengan kelengkapan yang terhad, dan pengetahuan IT yang cetek, ke Seratas. Dan seterusnya aku menunggu perancangan aku untuk lari jauh dari belenggu di negara Malaysia, dengan memohon untuk ke Jepun dalam Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ).Dalam tempoh menunggu itu, maka orang-orang keluarga aku mula memperkatakan betapa retoriknya aku. Mereka mendakwa aku tak punya upaya untuk mendapat keputusan yang baik dengan mereka menilai aku sebagai seorang yang hanya menghabiskan masa dengan perjuangan idealisme yang entah ke mana.

Benar, itu bukan pandangan keluarga aku sahaja. Malah turut sama menyuarakan pendapat yang sama adalah sejak aku di seratas lagi oleh kawan-kawan dan para guru. Kawan-kawan memperkecilkan idea aku, dengan mengatakan aku sedap bercakap sahaja, atau sering bercerita kartun semata-mata. Idea aku dianggap kartun. Guru-guru juga melihat prestasi akademik aku tak ke mana, aku diramal bakal kecundang.

Ya, akhirnya semua harapan,ramalan dan ejekan mereka semua tak menjadi. Perancangan aku dimakbulkan Allah, dan aku diterima menyertai RPKJ.

Di sini, aku menaip kembali idea-idea yang pernah aku sampaikan pada kawan-kawan dan ahli keluarga aku dulu. Aku menaip dari bumi Jepun. Ya, aku bukan pelajar pintar di sini, namun hanya meilhat prestasi akademik sebagai penilaian sebuah idea adalah suatu kezaliman. Berapa ramai anak-anak muda yang aku temui punya rencana dan idea yang bernas, akhirnya dimati dan dibunuh oleh sang-sang pengretorik seterusnya anak-anak muda itu meberontak dan menyertai pelbagai budaya underground. Hari ini, mereka menjadi para hackers menggodam semua idea-idea orang tua yang pernah membunuh idea mereka dulu.Isu ini akan aku ulas kemudian.

1)POLITIK AKHLAK

Antara Umno, Pkr mahupun Pas, semuanya mendakwa mereka sebagai pejuang-pejuang berakhlak. Umno yang diketuai oleh Mahathir dahulu pernah memecat Anwar Ibrahim atas alasan mahu menjaga imej Umno supaya tidak dicemari oleh pelaku-pelaku maksiat dan pencabul akhlak . Pkr juga mendakwa mereka pejuang-pejuang akhlak, dengan perjuangan membasmi rasuah, mereka mengambil tanggungjawab menghapuskan pemimpin korup yang didakwa ada dalam umno dan bn dan tentunya korupsi adalah elemen keji akhlak. Begitu juga dengan Pas yang sudah terlebih awal mendakwa diri mereka sebagai parti berkepemimpinan berakhlak.

Soalnya, berapa ramai ahli politik umno,pkr dan pas yang memahami apa itu akhlak? Aku pernah menemui para pemimpin umno yang tidak berakhlak, mempersendakan para ulama, beraksi bagai seorang tentera hedonis dan bukannya pejuang akhlak. Atau pemimpin PKR yang mengapi-apikan amarah dalam demonstrasi reformasi 1998, yang pada awalnya menuntut demokrasi dan keadilan, namun apakah hak demokrasi suara terbanyak menghalalkan kelakuan demonstrasi diadakan dan suatu keadilan menggunakan tanah-tanah awam untuk tujuan politik kepartian? Begitu juga jika disebut para penceramah pas, yang masing-masing ada jawatan pemimpin dalam pas, juga tak malu jika kuliah-kuliah agama lebih banyak dijadikan medan mempersenda-sendakan individu atau majlis takfir atas fakta bersangka-sangka semata-mata.

Retorikkah aku atau pemain-pemain politik yang lebih retorik? Adakah perjuangan Rasulullah dalam 'politik' seperti yang diperjuangkan ahli-ahli politik kepartian sekarang ini? Perjuangan akhlak Rasulullah telah jelas bertentangan dengan prinsip perjuangan akhlak ahli-ahli politik islam umno,pkr mahupun pas hari ini.(walaupun bukan semua-ini bukan pukui ghater).

Perjuangan politik yang kini aku gunakan takrifan politik sebuah kepemimpinan, yang apabila disebut politik akhlak ertinya kepemimpinan berakhlak. Kepemimpinan bukan sekadar sebuah pimpinan atau memimpin orang semata-mata, akan tetapi sifat pemimpin yakni memimpin sama diri sendiri untuk dijadikan tauladan.

Kepemimpinan Akhlak (politik akhlak) mestilah ada dua konsep utama iaitu mentarbiyah orang yang dipimpin untuk menjadi berakhlak supaya masyarakat luar dapat gambaran sebenar akhlak yang ingin diperjuangkan, dan juga pemimpin sendiri banyak beramal soleh dan berakhlak dalam memberikan kepimpinan.

Apakah yang akan berlaku jika pemimpin itu didakwa tidak berakhlak? Maka kembalilah dalam konsep mengingat-ingat akan kebenaran dan mengingat-ingat akan kesabaran. Pemimpin yang didakwa tidak berakhlak, mestilah dilindungi aib mereka dan dijalankan usaha membaiki pemimpin itu. Siapa pula yang perlu membaiki pemimpin itu? itulah tanggungjawab jamaah perjuangan politik akhlak tersebut.Bukankah mereka sebagai jamaah memperjuangkan politik akhlak, maka meng elok kan sebarang kecacatan jamaah adalah tanggungjawab jamaah.

Konsep jamaah seperti ini telah dicerminkan dalam seruan solat berjemaah. Bagaimana makmum menegur imam yang tersilap bacaan atau perbuatan dengan kalimah "subhanallah" atau mengajar imam bacaan yang tepat. Konsep subhanallah iaitu maha suci Allah, memberi erti bahawa setiap manusia pasti ada ketidaksempurnaan atau kesalahan, kerana yang sempurna dan suci dari sebarang kesilapan dan keburukan itu hanya Allah s.w.t. Oleh itu, para pemimpin tak perlu malu untuk bermuhasabah kembali kesilapan dan membetulkannya. Ahli jamaah juga tidak mengejek atau ketawa-ketawa gelihati kerana masing-masing faham konsep "subhanallah" itu.

Lalu diajar imam itu bacaan yang tepat, maka di sini, ada konsep mengajar imam. Konsep ini sudah lama diamalkan oleh para sultan di negeri melayu dengan meminta nasihat agama dari para ulama dan mengajarkan akan hukum hakam yang patut dijalankan. Mengajar pemimpin bukan haram. Tetapi yang haramnya adalah mengkritik tanpa kita sendiri ada idea atau tahu apa yang sepatut atau tepat dilakukan. Bayangkan seorang imam membaca salah surah alfatihah, lalu makmum cuba ingin 'mengajar' imam dengan berkata,"lemah betullah imam ni, alfatihah pun tak betul, tak layak jadi imam",maka terbatallah solat si makmum.

Nak mengajar atau memberi tunjuk ajar, perlulah yang mengajar itu sudah benar-benar yakin dan tahu apa penyelesaian yang lebih betul atau tepat. Itu barulah berakhlak namanya.

Selepas mengingat-ingat akan kebenaran dengan konsep "subhanallah" dan mengajar imam dengan jalan akhlak, mengingat-ingatkan kesabaran juga perlu diadakan. Manusia secara normalnya benci akan ketidaksempurnaan. Benci akan keburukan. Dan benci akan kesilapan atau kesalahan. Apabila manusia membangkit rasa benci, maka marah akan datang. Apabila marah sudah datang, maki hamun akan tiba, lalu jatuhlah akhlak manusia itu. Lihat, bagaimana islam berjuang pada akhlak, bukan saja kita nak orang atau pemimpin yang tersilap kembali menjadi betul dalam akhlak, kita sendiri berwaspada akan diri kita supaya sabar untuk terus menjaga akhlak walaupun benci dan marah timbul. Kelemahan untuk mengawal diri boleh dimaafkan, namun yang tak boleh dimaafkan, apabila seseorang yang sudah jatuh akhlaknya dan mula memakihamun dan mencarut-carut telah disorak oleh jamaah yang lain kerana mendakwa makihamun dan carut-carut adalah halal untuk dilempar pada musuh perjuangan.

Adakah itu yang dilakukan oleh rasulullah dan pejuang-pejuang islam lain seperti salahuddin al ayyubi? Adakah rasulullah menjaja keburukan abu jahal, dan memaki-hamun abu jahal kerana zalim kepada umat islam?Lalu disorak oleh umat islam dalam sorak gempita ketawa hilai riang ria ceria meraikan keburukan akhlak? Adakah salahuddin al ayyubi mencemuh pemimpin tentera salib dengan intonasi mempersenda-sendakan, lalu apa logik salahuddin al ayyubi mengupah doktor untuk musuh?

Maki hamun, carut-carut dan ketawa mempersenda tak ada dalam akhlak islam. Janganlah ditambah semua itu dan didakwa ini adalah akhlak islam. Apabila semua itu dihalalkan, maka apakah lagi boleh didakwa tuan-tuan hamba sekalian ahli-ahli politik kepartian adalah golongan pejuang politik akhlak (kepemimpinan berakhlak)?

Celaru memang celaru. Hal ini bukan saja berlaku kepada pertembungan politik kepartian, namun terjadi juga kepada pejuang-pejuang sunnah sendiri. Di pihak salafi, mereka tidak menegur pejuang semanhaj mereka sehingga ada pejuang semanhaj mereka itu memaki atau mempersendakan pemimpin mereka (tok sheikh mereka),mempersenda tok sheikh yang tak semanhaj tidak mengapa. Begitu juga di pihak ahli tasawwuf atau anti wahabi yang mula terikut-ikut dengan corak akhlak sebegini, sehingga apabila terjadi pertembungan ahli salafi, ahli tasawwuf mula ketawa mempersenda. Ini bukan perjuangan akhlak.

Keburukan akhlak mana-mana pejuang perlu ditegur walaupun dia adalah ahli jamaah kita. Teguran perlu sama dalam akhlak kita antara saudara islam jamaah lain, mahupun jamaah kita sendiri. Apakah nilai akhlak kita, apabila kita menegur pemimpin orang lain dengan bahasa yang mengejek-ejek, namun apabila tiba batang hidung kita, kita mula berdakwah dengan lembut dan insaf. Apa jenis akhlak sebegitu? Padahal jamaah yang berbeza itu sebenarnya bukan antara islam-kafir, tetapi antara umat islam sendiri yang akhirnya bertemu dalam saff yang sama di dalam masjid hari jumaah menunaikan fardu jumaah secara berjamaah.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:27 am

(kata ganti diri saya digunakan semula mulai artikel ini)

2) POLITIK PENYATUAN (UKHUWWAH)

Sampai lumat, teori politik apa pun jika dibahas, unsur penyatuan telah tidak dapat disangkal lagi sebagai kunci kekuatan. Penyatuan bukan beerti mengumpul kuantiti penyokong yang banyak. Penyatuan bukan soal kuantiti. Dalam lipatan sejarah pertembungan manusia dan ideologi mahupun peperangan yang berlaku, telah terbukti kuantiti tidak pernah menjadi faktor besar dalam menyumbang kekuatan seterusnya kemenangan. Betapa sering kita dengar kelompok yang kecil mengalahkan kelompok yang besar. Perang Badar misalnya contoh terbaik bagaimana 313 mujahidin islam mengalahkan 1000 lebih musyrikin mekah. Sunnatullah atas kuantiti kecil menang kuantiti besar bukan saja tertakluk kepada orang islam dan beriman, malah Perang Rusia-Jepun juga menyaksikan betapa Allah telah mengizinkan kemenangan tentera Jepun yang berbilangan kecil dapat menewaskan Rusia yang lebih besar.

Jelas kepada kita, faktor kuantiti bukan bicara penting penyatuan. Penyatuan bukan ingin cari bilangan banyak supaya kita menang dan kuat di akhirnya. Oleh itu apakah soal sebenar penyatuan?

Jika kita lihat bagaimana islam meletakkan taraf munafik adalah sehina-hinanya , malah golongan ini disytiharkan salah satu golongan musuh yang utama dalam islam. Munafik golongan anti penyatuan. Nifak adalah satu sifat kepura-puraan beriman atau patuh, ertinya sifat ini tak pernah bersatu dalam keimanan,walaupun jasad seorang munafik berada dalam perkumpulan manusia beriman.

Dengan memahami golongan munafik ini, maka akan kita tahu bagaimana penyatuan boleh mendatangkan kekuatan dan kejayaan walaupun kuantiti kita sedikit, apatah lagi jika kuantiti kita adalah majoriti,maka tentu logiknya penyatuan kita akan membuahkan kejayaan dan kekuatan tidak ada tolok bandingnya.

Bangsa melayu islam, jika digabung dengan kelompok-kelompok saudara baru muslim mungkin boleh mencecah 67% atau dalam erti kata lain, 2/3 dari jumlah penduduk Malaysia. Namun mengapakah umat islam antara yang mundur bukan saja dari segi ekonomi, malah pendidikan dan akhlak/sosial. Adakah umat islam kekurangan pejuang-pejuang? Adakah umat islam kekurangan pemimpin-pemimpin? fakta itu mungkin boleh dipersoal kerana rata-rata orang melayu yakni umat islam di malaysia paling banyak dan ramai yang berpolitik saban tahun, maka jika kita fahami politik adalah kepemimpinan,maka tentunya umat islam paling banyak wakil pejuang-pejuang di negara Malaysia.

Lalu, adakah perjuangan pemimpin-pemimpin atau pemain-pemain politik islam ini berjuang dalam perjuangan yang berbeza? Hal itu juga boleh ditepis, atas kerana ketiga-tiga parti politik yang majoriti melayu-islam umno,pas dan pkr mendakwa diri mereka memperjuangkan nasib umat islam atau melayu-islam, malah umno,pas dan pkr masing-masing mencela golongan yang cuba merosakkan akidah umat islam dan merosakkan akhlak muda mudi yakni kebejatan sosial remaja.

Nampak gaya jika difikirkan logik, jika 3 parti politik ini masing-masing bersaing untuk menunjukkan mereka gagah sebagai pejuang umat islam, lalu telah berkejar-kejar membanteras gejala-gejala merosakkan umat, dan memberikan banyak kemudahan dan bantuan untuk umat islam maju dan keluar dari lembah jenayah,maksiat, dan kemunduran, maka mengapakah masalah umat islam makin bertambah dari sehari ke sehari?

Jawapannya pemimpin politik sama-sama bercakap soal perjuangan yang sama, namun gagal bersatu untuk bawa penyelesaian secara bersama. Nifak dalam perjuangan isu adalah jawapan yang lebih tepat dalam memperkatakan elemen anti- politik penyatuan atau ukhuwwah ini.

Kita tak perlu berbicara soal rasuah, yang ketiga-tiga parti bersetuju atas isu itu, namun rasuah makin menjadi-jadi juga. Lebih penting dari itu, adalah soal akidah dan akhlak pelapis negara atau muda mudi yang hampir mencecah majoriti besar penduduk malaysia hari ini. Isu ini lebih penting, malah sudah tidak boleh dielak lagi soal kesepakatan parti-parti politik dalam memperkatakannya. Contohnya isu dadah, umno mendakwa mereka menentang dadah, pkr dan pas juga begitu. Lalu tidakkah mereka berfikir sebagai golongan yang setiap kali pilihanraya menjadi golongan yang mendakwa mereka pemimpin rakyat yang layak diangkat sebagai pemimpin tidak mahu bersatu dalam merangka program bersama dengan tenaga kerja yang ramai jika disatukan ketiga-tiga parti politik ini untuk membanteras dadah dan menyelamatkan penagih dadah berbangsa melayu dan umat islam yang makin ramai di malaysia ini?

Atau isu pelacuran, mat rempit, rosak akhlak di kalangan remaja, bukankah tenaga kerja parti-parti politik yang 3 ini sudah sepakat suara membanteras dan keinginan mereka memperjuangkan umat islam, tidak mahukah menyelamat anak-anak muda ini? Atau kelompok underground muda mudi yang rata-rata sering terdedah kepada kepesongan akidah, tidak bolehkah tenaga kerja parti politik boleh digabung untuk ber'perang' menghapuskan sub-sub budaya yang meracuni gaya hidup anak-anak muda ini?

Jawapannya, parti politik tidak pernah berfikir politik adalah kepemimpinan ertinya memberikan pimpinan, tetapi parti-parti politik berfikir, politik adalah kuasa yang kemudiannya dibelit sebagai mencari kuasa untuk memimpin. Pemikiran apakah yang lebih bodoh dari memikirkan politik adalah mencari kuasa untuk memimpin, melaung-laungkan untuk menyelamat dan memajukan umat, akhirnya masing-masing langsung tak rela untuk bersatu tenaga dalam isu dan niat yang sepakat ini seterusnya memberikan pimpinan atau memimpin anak-anak muda dari terjebak dengan pelbagai gejala rosak?

Bertambah bodoh jika ada pemimpin politik yang sempit menakrifkan politik adalah kuasa, berkata kerana tiada kerusi di parlimen maka usaha memimpin anak-anak muda tak dapat dilakukan. Dan dua tiga kali lebih bodoh jika pemimpin yang berkuasa ada kerusi di parlimen menyerahkan tanggungjawab memimpin anak-anak muda kepada pihak keluarga,sekolah mahupun polis atau jabatan agama semata-mata.

Jika digabungkan semua pihak termasuk parti politik,ibubapa,sekolah,polis,NGO,jabatan agama,keseluruhan tenaga kerjanya mencecah berpuluh juta ramainya, namun gagal menyekat kemaraan pengaruh-pengaruh busuk dari melanda anak-anak muda. Kerana semua pihak di atas bukan saja setakat sepakat dalam slogan semata-mata untuk membanteras gejala sosial dan masalah kemunduran umat, akan tetapi mereka semua tak rela bersatu dalam gerak kerja yang merupakan asas nyata sebuah penyatuan.

Penyatuan hanya memberikan kekuatan,apabila gerak kerja bersama diadakan. Perang badar,atau perang Rusia-Jepun tidak akan berjaya dimenangi puak kecil,jika mereka bersatu dalam slogan semata-mata namun gerak kerjanya nanti mereka bercerai. Nifak perjuangan yang merosakkan penyatuan gerak kerja adalah apabila suara atau slogan yang sepakat akhirnya menghasilkan gerak kerja berlainan. Perang Uhud membuktikan kebenaran bagaimana nifak perjuangan terjadi, apabila awalnya semua mujahidin islam bertekad mahu berperang atas sebab mempertahankan akidah, akhirnya sekelompok berebut mengutip harta rampasan perang yang merupakan gerak kerja bertentangan dan tidak bersama dalam kesatuan itu.

Politik penyatuan (ukhuwwah) bukan sekadar menyeru untuk rakyat berkumpul dan menyokong sesebuah parti supaya kelihatan parti itu kuat kerana punya ahli yang ramai, lebih dari itu, sejauh mana parti-parti politik dapat menjayakan gerak kerja bersama dengan menggerakkan ahli dan penyokong parti samada antara parti politik, mahupun pihak-pihak lain seperti ibubapa,sekolah,polis mahupun NGO untuk menyelesaikan isu yang jelas lagi nyata iaitu kebejatan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Ini suatu yang tidak logik,jika ahli atau pemimpin politik islam dapat bersatu dengan pemimpin bukan islam untuk membantah tol atau demonstrasi banteras rasuah atau menyuarakan tidak puas hati rakyat, akan tetapi gagal untuk bersatu sesama islam untuk menyelesaikan masalah umat islam yang nyata di malaysia iaitu kebejatan sosial dan akhlak, dengan kes dadah, rogol,rompak,bunuh, atau juvana remaja berleluasa melibatkan anak-anak muda pelapis negara.

Saya tak pandang suatu yang lebih dahsyat yang menjadi faktor mengapa parti atau pemimpin politik tidak boleh atau rela untuk menyumbang tenaga menonjolkan kepimpinan masing-masing, bukan setakat mengatakan amilin dengan menjadi penceramah, demonstrasi jalanan, pergi temubual ke satu negara ke satu negara, atau hanya sibuk bermegah-megah dengan projek pembangunan atau kempen slogan semata-mata, tetapi gagal merangka atau menjalinkan kerjasama,bersatu,dan bergerak dalam gerak kerja bersama untuk menyelamatkan isu umat islam malaysia yang sebenar melainkan faktor mentaliti perjuangan politik itu telah dikuasai takrifnya oleh pemain politik sebagai kuasa.

Di pihak kerajaan, apabila politik itu ditakrif sebagai kuasa maka mereka mula sibuk untuk mempertahankan kuasa lalu sibuklah memujuk-mujuk rakyat mengundi dengan buat pelbagai program yang boleh menghiburkan rakyat. Atau pihak pembangkang menakrifkan kuasa maka mulalah semuanya bangkitkan amarah rakyat tentang harga barang itu atau harga barang ini yang naik. Padahal, sementara kedua-dua parti sibuk dengan aktiviti amilin mereka yang kononnya berjiwa besar pemimpin itu langsung tak mahu pimpin golongan yang tak terpimpin selama ini? Apakah pemimpin itu ertinya memimpin konsert atau karaoke, mahupun demonstrasi atau piket? Golongan tak terpimpin terbesar di negara malaysia ialah golongan muda yang semuanya adalah pelapis kepimpinan negara juga.

Apabila diseru cadangan untuk kita perkasakan dakwah bersama dengan tenaga kerja yang ramai , kita turun berbondong-bondong membanjiri jalan-jalan tempat maksiat, lokasi anak-anak muda bermabuk,merempit atau bergaduh, langsung tak diendahkan oleh satu pemimpin pun. Masih sibuk nak cakap soal altantuya, padahal jika gatal sangat nak cakap pasal altantuya,mohonlah pada pihak pendakwaan kes mahupun pembela kes untuk menjadi saksi,namun dijawab pula tak layak jadi saksi sebab dia sendiri pun jenis maklumat dapat dari cakap-cakap orang. Apekejadahnya pemimpin politik sibuk dengan isu yang tak ada fakta, sebab kes itu boleh menjatuhkan pemimpin lain lalu kita mendapat kuasa,bolehlah kita perbanyakkan rumah kos rendah?

Begitu juga dengan pemuda atau puteri umno, dari sibuk dari rumah ke satu rumah boleh berpeluh untuk mengajak rakyat mendaftar mengundi, ape ke susah untuk memanfaatkan program mengajak dan memimpin anak-anak muda ke masjid untuk program membina sahsiah, pergi dari rumah ke rumah, dari disko ke disko, dari ceruk-ceruk jalan ke celah-celah bangunan, selamatkan anak-anak muda yang tidak terpimpin, dan pimpinlah ke jalan yang lurus. Adakah kerana tidak cukup program agama atau penceramah di masjid? Bukankah pemuda dan puteri pas boleh membantu kerana ramai antara mereka lulusan agama, lalu apakah ego pemuda dan puteri umno untuk bekerjasama dalam program memimpin? Kerana takut bila bekerjasama dengan ahli pas maka ahli pas akan lebih membasuh anak-anak muda menjadi penentang kerajaan? lalu apakah masalah orang pas pula asyik nak minta menentang kerajaan, jika boleh diadakan program bersama kerajaan menyelamatkan anak-anak muda yang tak terpimpin yang semakin ramai ini?

Atau adakah pemuda,puteri atau putera umno sendiri adalah ahli-ahli kebejatan sosial? lalu pemimpin veteran, pemimpin dewasa dan belia, tidak adakah program tarbiyah untuk mendidik pelapis-pelapis umno sendiri supaya kukuh akidah dan akhlak mereka? Tidak cukupkah program tarbiyah umno? Jika tak cukup,boleh gabungkan saja tarbiyah pas dengan umno. Sama-sama melatih pelapis kepimpinan secara bersama. Kerana takut program tarbiyah bersama itu nanti akan mematikan perjuangan umno? Apakah perjuangan umno dan pas itu berbeza? Adakah umno benci untuk menguatkan akidah dan akhlak islam di kalangan anak-anak muda? Adakah pas benci untuk menanamkan rasa cinta pada negara umat islam untuk dipertahankan? Kerana kedua-dua parti memandang ideologi mereka tak sama. Matlamat mereka mungkin dengar sama, tetapi kedua-duanya sanggup untuk tidak membersamakan gerak kerja kerana masing-masing mahu kekalkan pengikut dan ahli untuk satu arah iaitu kemenangan kerusi di pilihanraya umum. Lalu kita jangan berasa hairan jika pas sudi bekerjasama untuk membiarkan dap yang langsung tiada hati nak perjuangkan islam dan umat islam ,untuk beberapa kerusi pilihanraya, dan pas bertanding kurang dari 2/3 kerusi di parlimen untuk menuju matlamat mengubah perlembagaan negara kepada al quran dan sunnah,manakala umno terus menjalinkan kerjasama dengan astro atau kapitalis lain menyokong tentera hedonis dilahirkan lebih ramai dan masuklah sub-sub budaya agenda zionis ke malaysia membiakkan lagi kebejatan sosial remaja, dengan slogan membangunkan modal insan.

lihat juga dr asyraf dusuki yang rajin menulis di utusan dalam rancangan halaqah:
Perubahan dari ikhtiar dan tawakkal
http://www.youtube.com/watch?v=mwiVa0sawfs
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Sat Aug 04, 2007 8:28 am

3) POLITIK DAKWAH

Bagaimana Islam didakwahkan, begitulah bagaimana politik dakwah dijalankan.Kata-kata itu telah cukup untuk merungkai pertanyaan penyokong-penyokong politik kepartian kepada saya, tentang apakah itu politik dakwah. Dan betapa dalam dakwah tidak boleh dipisahkan dengan bilhikmah. Maka persoalan hikmah tak hikmah tindakan 'politik' seseorang pemimpin politik itu pula akan muncul untuk didiskusikan.

"Hikmah itu bukan lembut saja," itulah kata-kata pemain-pemain politik membalas apabila saya menegur kaedah mereka berpolitik yang tidak hikmah (mengandungi carut dan marut). Saya pernah bergelumang dengan kajian memikirkan apakah benar hikmah mengasari boleh membangkitkan dakwah islam. Saya telah cuba menerangkan islam dengan cara yang keras, tidak ada satupun yang berjaya. Lalu barulah saya faham, "benar, hikmah itu bukan lembut saja, dan lembut itu bukan lembik saja".

Ramai orang tidak memahami erti berlembut. Tidak hairan jika orang yang sama tidak kenal erti lemah lembut. Adakah lemah lembut bererti berperawakan pondan? betapa sempitnya pemikiran mereka tentang lembut.Benarlah kata-kata guru saya, seseorang yang tidak memahami bahasa tidak dapat merungkapkan jiwa.

Benar, kita mesti tegas dalam setengah hal, dan ini dijelaskan di dalam al quran sendiri bagaimana orang beriman itu berkasih sayang dengan saudaranya dan keras dengan orang kafir. Keras di sini bukannya merusuh. Keras di sini bukannya membakar bendera. Keras di sini bukannya membanjiri jalan-jalan raya hingga situasi menjadi tegang dan rakyat jelata menjadi takut. Islam tidak menakutkan sesiapa. Islam lah mengeluarkan manusia dari ketakutan atas kezaliman. Benar, Islam promosikan takutkan Tuhan, dan itulah kunci bagi melahirkan manusia yang berani di dunia ini. Hanya kerana dirinya cuma takutkan Tuhan, dia tidak akan takutkan manusia lain, tidak takut kegagalan, musibah atau ujian yang menimpa kerana dia tahu Tuhan mahukan dia tabah, kerana dia tahu Tuhan mahu dia sangka baik, kerana dia tahu selagi dia beriman dan mengharap pada kekuatan Tuhan yakni Allah, Allah akan menjaganya.Kerana dia takut Allah murka jika dia alpa,jika dia lemah,jika dia takut selain Allah.

Hikmah tidak membuahkan takut selain kepada Allah. Dan suatu kezaliman jika kita menunjukkan kekerasan dalam menyebarkan agama Allah sehingga orang menyangka agama Allah itu adalah kekerasan dan keganasan. Inilah zalim namanya. Zalim kepada perjuangan Islam.Maka terorisme tertolak dalam melahirkan politik islam. Politik islam tidak memerlukan seorang hitler.

Lalu keras kita kepada orang kafir itu bagaimana? Keras kepada orang kafir ertinya tidak tunduk kepada tekanan orang kafir. Apabila orang kafir meminta kita membuka tudung, maka kita berkeras mahu memakainya.Apabila orang kafir menyuruh menyembah berhala atau dunia, maka kita berkeras hanya tunduk kepada Allah. Apabila orang kafir menawarkan kita pelbagai habuan dan maksiat untuk berlazat-lazat , maka kita berkeras menolaknya kerana mahu menjauhi maksiat dan berlazat-lazat dengan ibadah.Inilah keras kita kepada orang kafir.

Sewaktu perang sekalipun, walaupun kita sedang diperangi dan kita bersiap untuk memerangi semula orang kafir, kita tak boleh membunuh semua orang kafir. Hanya yang menjadi tentera kafir dalam peperangan sahaja boleh dibunuh, sedangkan perempuan, anak-anak kecil, orang tua tidak boleh dibunuh, malah rumah ibadat kafir tidak boleh dimusnahkan atau dirosakkan. Begitu konsep keras kita. Kerana islam yang dibawa rasulullah itu ingin membawa rahmah ke seluruh alam, bukan ingin bawa keganasan yang menakutkan. Islam yang ingin didakwah dan disebarkan ini membaiki kerosakan bukan melakukan kerosakan atas muka bumi. islam masuk ke negara-negara kafir untuk membaiki kerosakan yang dibuat oleh orang kafir, hasilnya keamanan, kebebasan jiwa, dan ketenangan suasana dicapai.

Begitulah bentuk hikmah dakwah islam. Keras itu dipergunakan untuk melembutkan. Keras bukan digunakan untuk menghancur,membenci, bersengketa, atau merosak memusnahkan.

Analogi marah,keras dan tegas yang berhikmah adalah bagaimana seorang ayah mendidik anak-anaknya. Marahnya terkandung sayang. Kerasnya terkandung suatu yang mengharu dan menginsafkan.Tegasnya terkandung disiplin untuk membentuk jiwa anak-anak menjadi lembut dan terbuka menerima hidayah Allah, bukan menutupnya.

Akhirnya hikmah itu menuju kelembutan. Tidak hairan jika orang melayu akhirnya menakrifkan hikmah sebagai berlembut atau berlemah lembut atau akhirnya disebut berhemah. Lemah lembut bukan semestinya perlu ceria ketawa kepondan-pondanan, sememangnya tidak logik dalam usaha tarbiyah bersifat begitu. Apakah logik jika anak kita enggan bersolat lalu si ayah dengan melenggok-lenggokkan bontot,dan berlembik-lembikkan tangan menasihatkan si anak dengan suara yang aww aww ketawa barang sedikit-dikit, tentunya si anak akan termuntah!

Lembut bukan lembik. Lemah lembut bukan bererti lemah tak bermaya. Lemah lembut atau berlembut ertinya usaha tarbiyah yang menyentuh jiwa, terkesan di hati, membuka ruang hati untuk terbuka menerima hidayah, suara yang tinggi jika digunakan di tempat yang sesuai masih boleh diertikan sebagai berlemah lembut. Hikmah adalah usaha yang tegas atas pendirian, keras menolak sebarang kemungkaran, marah yang sayang, lembut yang menyentuh jiwa, yang menggunakan kebijaksanaan menghadapi psikologi golongan yang ditarbiyah. Kerana itu sering diingatkan betapa Rasulullah tidak berdakwah pada golongan berlainan psikologinya dengan cara yang sama. Itulah hikmah Rasulullah. Hikmah paling tepat menerangkan dakwah islam adalah sunnah Rasulullah. Kerana itu majoriti ahli tafsir menafsirkan al hikmah di dalam al quran sebagai pemahaman mendalam akan sunnah Rasulullah, atau diertikan terus sebagai as sunnah.

begitulah bagaimana untuk berkepemimpinan dakwah (politik dakwah) dalam medan politik islam.Usaha menerangkan dakwah yakni ideologi politik islam iaitu ajaran islam itu sendiri perlulah dalam keadaan yang hikmah, perlu dalam keadaan mendidik dan bukan menghukum. Jika dijalankan hukuman, umpamanya hukuman mahkamah dikuasa pemerintah, perlulah juga hukuman yang mendidik,dan bukannya hukuman yang menyeksakan. Ya, hudud potong tangan mahupun rejam sekalipun, konsepnya ketat, kerana bagi memastikan akhirnya tarbiyah akan berjalan sesudah hukuman. Bukan sekadar sebatang tangan semata-mata dipotong tanpa ada apa-apa kesudahan baik sesudahnya itu. begitulah konsep ibadah atas perintah Allah, ia dijalankan dengan syarat-syarat tertentu dan bukan pakaimuat. Sebagaimana solat itu mencegah kemungkaran, bukan sekadar melaksanakan solat tanpa jiwa, tapi solat dimulakan dengan niat. Niat lari maka solat menjadi tidak sah. Ramai orang bersolat tetapi tetap melakukan kemungkaran. Kerana solat dijalankan pakaimuat.Lemah dalam menjalankan ibadah boleh dimaafkan, namun yang tak boleh dimaafkan apabila tiada usaha membaiki dalam setiap ibadah yang dijalankan kelemahan sama berulangkali.

Bolehkah islam tersebar dengan mengutuk dan mengeji ajaran agama lain? Islam melarang kita mengeji ajaran agama lain. Kita boleh menerangkan kelemahan dalam iktikad suatu ajaran dengan syarat kita berhujah secara berlapang dada dan atas persetujuan bersama dialog di antara agamawan berbeza agama. Jika agamawan itu tak bersetuju untuk membangkitkan kelemahan iktikad agamanya, maka kita tak perlu takut islam tak boleh disampaikan. Kerana pakej ajaran islam itu sempurna seperti telah disebut dalam al quran sendiri bahawa islam itu telah disempurnakan Allah dan diredhai menjadi satu-satunya agama buat umat manusia akhir zaman.Islam tetap boleh bermegah dengan kesyumulan dan ketepatan kebenarannya atas ajaran islam itu sendiri.

Jika begitu bentuk dakwah islam, maka apakah pula penyakit politik islam perlu berbentuk berbeza dari teknik dakwah islam? Adakah kita ingin memisahkan antara dakwah islam (ajaran islam) dengan politik islam (perjuangan kepartian)? Pastinya itu sudah termasuk elemen sekularisme dalam perjuangan.

Adakah politik islam wajar dimenangkan dengan mengeji individu-individu yang dianggap musuh politik? Dengan mengatakan si anu itu rasuah, si anu itu pencuri, si anu itu pembunuh, si anu itu penidur, pemaksiat, peminum, dan sebagainya yang semuanya dakwaan yang patut dihantar ke pihak penguasa atau kehakiman, namun dijadikan hujah utama untuk dimenangkan politik islam (walaupun dakwaan kita belum terbukti benar)? Kerana jahil akan perjuangan politik islam, kerana sempitnya politik islam yang dianuti, kerana politik islam telah bercampur unsur sekularisme yang membahagi-bahagikan amalan ajaran agama dengan perjuangan politik, maka hari ini politik islam dihalalkan akhlak buruk, dihalalkan pelbagai kejian untuk mempromosikan politik islam.Pentas politik islam telah dibezakan dengan pentas tarbiyah dakwah islam . Politik islam yang ditakrif sebagai kepemimpinan islam tidak boleh berpisah dari elemen politik dakwah. Kerana kesyumulan islam itu bukan tersekat atau terhad kepada isu rasuah, isu altantuya, isu pengundi hantu, isu baling botol, isu entah apa lagi. Tapi lebih dari itu politik islam yang punya elemen politik dakwah lebih banyak mempromosikan islam itu sendiri. Mempromosi pakejnya yang syumul,indah,maju,dan betapa islam boleh memerintah, islam boleh menjadi cara hidup, islam boleh membahagi ekonomi secara adil, islam boleh memberi tempat kemuliaan buat siapa saja tidak kira apa keturunan, kerana mulia di sisi Allah hanya taqwa. Keimanan dan ketaqwaan merupakan dasar pertama yang patut dipromosikan oleh politik islam yang punya elemen politik dakwah.

Dakwah islam membawa pada awalnya adalah keimanan, dan puncak cita-citanya adalah ketaqwaan. Begitulah politik islam harus bawa. Betapa manifesto politik islam, projek-projek politik islam yang ditawarkan, betapa idea-idea mahupun dasar-dasar negara yang ingin dibentangkan oleh politik islam adalah akhirnya memperkenalkan keimanan kepada Allah, dan membawa ketaqwaan menjadi cita-cita yang dikejar.

itulah yang wajar kedengaran dari mulut politik islam untuk dipromosikan jika diberikan pentas buat mereka untuk berkempen. Politik islam bukan meminta-minta diangkat mana-mana pihak menjadi pemimpin, akan tetapi mendidik rakyat yang dikempen supaya menjadi pemimpin-pemimpin yang ditanam idea keimanan dan cita-cita ketaqwaan. Bukannya mendidik pendengar-pendengar ceramah politik islam, menjadi pengumpat,pencela, pengejek, mempersenda-senda atau merendah-rendahkan golongan sauadara islam lain.Dahulu, Rasulullah dicaci ketika berkempen islam di tengah-tengah masyarakat mekah, hari ini pemain-pemain politik islam mencaci untuk meminta masyarakat mengangkat islam menjadi pemimpin.

Ramainya umat islam hari ini, bukan kerana telah didakwah oleh pendakwah islam dengan cara mengeji individu agama lain supaya manusia bersimpati dengan Rasulullah lalu mereka menjadi penganut islam. Akan tetapi pendakwah menerangkan kebenaran islam hingga setiap hati-hati manusia terbuka melihat betapa syumul dan tepatnya kebenaran yang dibawa oleh islam. Dakwah islam tak bergantung pada buruknya perangai paderi kristian, atau keganasan rabai yahudi, akan tetapi betapa indahnya tauhid,kepimpinan,akhlak dan cara hidup yang diperkenalkan Rasulullah s.a.w.

baca juga:
Pedagang Dari Venice (1) oleh Tawel sensei
http://hembusan.blogspot.com/2007/06/pedagang-dari-venice-1.html



.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
Sponsored content




PostSubyek: Re: KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA   Today at 8:05 pm

Kembali Ke Atas Go down
 
KE MANA AKHIRNYA POLITIK KITA
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Kenangan kita berdua
» Mana Lebih Sehat, Toilet Duduk atau Toilet Jongkok?
» Bila Wanita Meminang Pria
» 10 Negara dengan Jumlah Perokok TerTinggi di Dunia
» Penting Mana Tujuan Pra Sekolah Anak: Untuk Bermain atau Belajar?

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: