MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Thu Aug 30, 2007 2:18 am

REMAJA GAGAH merupakan himpunan idea yang dicetus oleh penulis iaitu MFR Ibn Mukhtar (bukan nama seperti dalam IC) sejak tahun 2000 selepas usianya menjangkau 15 tahun dan menjelang Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun yang sama. Kebanyakan ideanya itu kemudiannya dicanang ke dalam beberapa misinya selepas memasuki SERATAS iaitu Misi Revolusi @ Revolusi Empayar Islam Abad ke 21 dan Misi Alhikmah @ Jamaah Alhikmah.

Kedua-dua misi itu memperlihatkan beberapa aspek dalam idea REMAJA GAGAH yang rata-rata tidak disusun dengan baik cuma memfokuskan pendirian politik dan beberapa idea perubahan masyarakat dan sistem oleh penulis yang telah mendapat beberapa kritikan dari teman-teman sebaya, guru-gurunya mahupun beberapa individu dari pelbagai parti politik di Malaysia. Cuma anggapan sesetengah mereka yang diajak berbincang akan idea REMAJA GAGAH cuma memberikan beberapa kesimpulan mudah bahawa :

1)penulis masih belum matang maka ideanya tidak matang.
2)penulis banyak baca komik maka ideanya fantasi lagi tidak berpijak di bumi nyata dan cuma lucu-lucuan.
3)penulis masih muda maka penulis hanya mengikut darah muda.
4)penulis berasal dari sauk berdekatan dengan bukit jenalek maka ideanya sama dengan idea al maunah.
5)penulis tidak pandai dalam pelajaran malah bukanlah pelajar yang pintar di dalam kelas.Sering juga tidak menyiapkan kerja sekolah,maka segala ideanya juga adalah idea seorang pemalas.
6)penulis tidak berakhlak mulia maka ideanya tidak mulia.
7)penulis tidak pandai bergaul maka ideanya tidak hikmah dan tidak bijak.
8)banyak sekali peribadi dan aib yang ada pada penulis maka ideanya juga aib dan memalukan.
9)penulis tidak hensem maka ideanya juga tak hensem.=p

Disebabkan kebanyakan kritikan itu menjuruskan kepada umur penulis ketika itu maka penulis akur kerana umur tidak mampu digerakkan dengan pantas dan umur itu kurniaan dari Allah.Walaubagaimanapun ramai antara teman-teman rapat penulis amat arif akan idea ini cuma mungkin mereka tidak mendengarnya secara teliti kerana zaman mereka ketika itu tak mengizinkan iaitu kebanyakan temannya menyebut kepada penulis bahawa,"Hang ni cakap lebih-lebih pun hang bukan PM,bukan boleh buat apa-apa,hang cuma budak sekolah menengah yang SPM pun tak lepas,dan bukan boleh mengundi lagipun,hang ada 6 tahun lagi untuk layak mengundi,ceh! baik hang blah ngan idea kosong hang tuh!"

Kritikan itu diakui kebenarannya oleh penulis sehinggalah kini pada tahun 2006,penulis bukan lagi berumur 15 tahun,walaupun hanya warganegara Malaysia yang tidak punya pengaruh dan pangkat mahupun harta,namun dengan umur 21 tahun pada tahun ini,penulis rasakan sudah tiba idea yang kebanyakannya masih sama dengan dulu wajar diketengahkan kembali untuk sama-sama kita kongsi strategi demi kemajuan dan kekuatan umat.

Penulis dalam beberapa peristiwa pernah mengutarakan beberapa ideanya. Pada tahun 2000 penulis berbincang dengan seorang gurunya berkenaaan dengan idea pendidikan berteras agama.

idea itu antara lain menyebut pendidikan bukan soal untuk menjawab peperiksaan. Maka sistem penilaian ilmu bukan diiktiraf berdasarkan peperiksaan.Penulis menyambung,setiap manusia yang lahir iaitu kanak-kanak dan remaja membesar bersama bakat-bakat tertentu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Bakat-bakat ini wajar dikesan oleh guru-guru dan kemudian digilap untuk dijadikan setiap kanak-kanak dan remaja itu wira dalam bidang-bidang kritikal yang memerlukan pejuang.

Antara bidang yang kritikal memerlukan pejuang boleh dipecah dalam beberapa kumpulan seperti:

1)politik iaitu pejuang yang memperjuangkan kepimpinan melalui teladan,kepimpinan yang berteraskan taqwa,kepimpinan yang menurut kaedah ajaran al quran dan sunnah rasulullah juga teladan dari para sahabat baginda.(penulis akan perincikan idea politik penulis dalam bab lain).

2)ekonomi iaitu pejuang yang memperjuangkan keadilan ekonomi dengan jurang si kaya dan miskin dirapatkan berteraskan prinsip-prinsip ekonomi dalam islam.Pejuang yang mampu menyelamatkan umat islam dari bergantung kepada kemakmuran ekonomi orang bukan islam samaada kawan lebih-lebih lagi musuh.Jika ini berlaku maka umat islam sebenarnya meletakkan leher mereka di mata pedang musuh.(akan perincikan dalam bab lain).

3)dakwah dan pendidikan iaitu pejuang yang memperjuangkan pendidikan berteraskan al quran dan sunnah dan kemudian berdakwah,mentarbiyah dan mendidik bagi melahirkan barisan pejuang pelapis.Bakat dan keistimewaan setiap individu dihargai dan digilap demi membangunkan individu islam yang menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah sebaik mungkin.

4)budaya iaitu pejuang yang meresap dalam kebudayaan masyarakat untuk membawa budaya itu kembali kepada al quran dan sunnah rasulullah. Yang akhirnya mampu mencipta budaya yang indah dengan dijadikan pengagungan Allah teras matlamat budaya.Bidang ini meliputi hiburan,sastera dan lain-lain(akan perincikan dalam bab lain).

5)sains dan teknologi iaitu pejuang yang memanfaatkan ilmu sains dan teknologi yang ada pada dunia sekarang untuk membawa dunia ke arah keamanan dan kesejahteraan.Bidang ini juga meliputi persenjataan dan strategi peperangan juga meliputi perindustrian dan aplikasi bagi memanfaatkan sumber alam.(akan perincikan dalam bab lain).

6)sosial dan alam sekitar iaitu pejuang yang mengadakan biah solehah,sebuah suasana yang dapat memberi ruang hati dan jiwa masyarakat menyembah Allah selayak-layaknya dan beribadat jua berjuang dengan jalan perjuangan yang tersusun dan teratur. Membaiki kerosakan alam sekitar dan membawa alam kembali indah dan permai tanpa kemusnahan.(akan perinci dalam bab lain).

7)Kesihatan dan keharmonian iaitu pejuang yang berusaha mengkaji dan membekalkan ubat-ubatan yang halal buat merawat penyakit dengan disertakan tawakkal kepada Allah.Bidang ini penting untuk menyelamatkan sekalian umat Islam yang dilanda penyakit akibat perubahan cuaca dunia dan persekitaran yang tidak sihat.(akan perincikan dalam bab lain).

Penulis telah berbicara dengan panjang lebar akan bidang kritikal yang perlu diberi perhatian untuk diisi para pejuang,dan dari manakah para pejuang itu datang,tentulah bermula sejak dari kanak-kanak atau remaja.

Cikgu yang mendengar bertanya,bagaimanakah mahu dilaksanakan satu sistem pendidikan kebangsaan yang tidak punya peperiksaan dan hanya fokus untuk mengisi bidang kritikal dengan pejuang.Bagaimana industri di Malaysia mahu menerima sistem begini yang akan membekalkan mereka pekerja mahir dan separuh mahir.

Lalu penulis menjawab,sistem ini melibatkan sistem-sistem lain iaitu sistem industri dan pengeluaran yang sebenarnya mereka tidak perlukan pekerja yang mendapat keputusan hebat dalam peperiksaan atau ijazah-ijazah yang bergulung-gulung semata-mata.Pihak majikan sedar mereka hanya perlukan pekerja yang boleh buat kerja.Untuk permulaan pejuang-pejuang yang dilahirkan dalam sistem ini semestinya perlu bekerja dalam bidang industri tertentu untuk menyara hidup maka,barisan pejuang pertama sebagai pioneer sistem pendidikan tanpa peperiksaan ini hanya perlu diberikan tumpuan khusus untuk bidang yang bakal mereka ceburi.

Namun penulis sedar kebimbangan cikgunya hanya ke arah macam mana sistem pendidikan yang diubah ini mampu digerakkan bersepadan dengan sistem ekonomi sekarang,akan tetapi cikgu itu lupa bahawa penulis bukan berbicara soal ekonomi tetapi penulis berbicara 7 bidang kritikal yang masing-masing punya lapangan yang berbeza.

Kemudiannya cikgu berkenaan meminta penulis memperincikan kaedah pendidikan tersebut.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Thu Aug 30, 2007 2:19 am

Pendidikan itu bermula dengan mengenalkan tentang Allah s.w.t. Konsep tauhid dan akidah yang tepat diberikan sejak kanak-kanak memasuki sistem pendidikan ini.Mereka dinilai bukan sahaja dari hafalan-hafalan tertentu tetapi mereka dinilai dengan interview atau perbincangan untuk lihat kefahaman mereka benar-benar berada di landasan tauhid dan akidah yang sebenar. Dari tauhid ini kemudiannya berkembang kepada subjek meneroka Al quran dan sunnah.

Mereka diuji dengan meletakkan mereka dalam situasi seakan-akan situasi sebenar,dan apabila mereka berada dalam situasi berkenaan apakah yang akan mereka lakukan? adakah mereka akan mengharapkan pada Allah atau mereka lupa diri dan berputus harap. Mereka dididik dengan banyak sekali latihan praktikal .Di sekolah terdapat pelbagai macam kemudahan untuk tujuan praktikal tauhid,mereka diasuh dan ditarbiyah bukan sahaja dalam sekolah tetapi jua ke dalam masyarakat.

Pendidikan ini bukan sahaja melibatkan golongan yang disasarkan iaitu kanak-kanak yang mahu dilahirkan sebagai pejuang tetapi pendidikan ini juga melibatkan masyarakat. Peranan masyarakat dalam sistem pendidikan ini wajar diberi perhatian serius,oleh itu sebarang individu dengan pengaruh buruk tidak wajar berada dalam persekitaran pendidikan maka wajar dikeluarkan dari masyarakat dalam sistem pendidikan ini.

Maka usaha pendidikan ini melibatkan penguatkuasa.Dan tentu sekali kawasan pendidikan mestilah dikhaskan dan fokus ke dalam masyarakat yang benar-benar bertanggungjawab sahaja. Kanak-kanak dididik pada peringkat awal dengan menjaga mereka sehingga tidak benarkan ada individu mahupun pengaruh luar memasuki minda mereka maka usaha menanamkan tauhid dan keyakinan yang utuh dengan kefahaman yang mendalam dapat dicapai.Boleh diadakan kajian berapa tahunkah mereka wajar diberikan kefahaman ini sehingga mereka menguasai bukan sahaja tauhid,malah akhlak,ibadah,muamalah yang semuanya bersumberkan al quran dan sunnah di samping mereka diajar membaca al quran,membaca kitab-kitab hadis dan diajar juga kemahiran asas dalam bahasa pelbagai membaca,menulis,mengira,berfikir dan bertindak.

Berikutnya mereka ke arah fasa kedua dengan diberikan mereka kefahaman tentang dunia dan sejarah tamadun manusia sehinggalah kepada zaman mereka.Mereka memahami bagaimanakah dunia berubah akibat tiadanya pengharapan dan pengagungan Allah maka manusia binasa dan bercelaru.Dan apabila manusia mengikut adab-adab lalu taat akan perintah Allah maka manusia berjaya mambina tamadun yang indah.Tamadun boleh sahaja dibina tanpa ketaatan dan ketaqwaan namun hasilnya manusia bukan hidup lebih bahagia tetapi menderita.

Dalam fasa ini bakat mereka mula dikesan.Mereka sewajarnya diuji untuk melihat kecenderungan mereka. Ke arah manakah bakat dan keistimewaan yang Allah telah kurniakan kepada mereka wajar diselidiki oleh guru-guru sistem pendidikan ini.Kemudian bakat itu akan diserapkan kepada projek 7 bidang kritikal yang dibincangkan sebelum ini,dan dalam projek itu mereka diasuh betul-betul sehingga layak menjadi pejuang bidang masing-masing dalam usia yang muda dan matang.

Namun Allah kurniakan manusia yang lambat untuk dikesan bakat mereka,mungkin disebabkan kelemahan yang sengaja Allah kurniakan buat mereka untuk diuji hidup mereka itu.Guru-guru dalam sistem pendidikan ini memegang prinsip bahawa semua manusia yang diciptakan Allah itu istimewa dan tidak ada satu pun yang yang tidak punya manfaat. Bakat dan kebolehan merupakan senjata yang Allah lahirkan bersama-sama jasad manusia ketika keluar dari rahim. Senjata itu mampu berfungsi jika bergabung dengan senjata-senjata lain yang dikurniakan pula kepada individu yang lain.

Sistem pendidikan ini percaya dan yakin bahawa Allah mengurniakan bangsa yang beriman itu kumpulan manusia yang punya senjata yang mengimbangi antara satu sama lain dan apabila digabung kumpulan senjata itu menjadi satu senjata yang amat digeruni oleh pihak musuh. Senjata-senjata itulah yang wajar digilap dan dihebatkan oleh para guru dan akhirnya pejuang-pejuang itu akan keluar dari sistem pendidikan ini dengan masing-masing punya fokus dan matlamat yang jelas. Iaitu berjuang mencari redha Allah memakmurkan dunia menunaikan amanah sebagai khalifah dunia.

Sistem pendidikan dalam projek-projek bidang kritikal mestilah disusun berdasarkan matlamat setiap bidang kritikal.Boleh merujuk bahagian sebelum ini menyenaraikan bidang kritikal dan matlamatnya.

Pendidikan mementingkan kefahaman dan bukan hafalan.Peperiksaan yang mendatangkan perasaan takut,gerun,cuak,gubra,dan usaha-usaha dibuat dalam keadaan tertekan dan bukan atas kecintaan ilmu. Sistem pendidikan seperti ini bukan sistem pendidikan yang mendidik untuk memahami dengan daya kecenderungan untuk mencintai ilmu seterusnya memahami sebuah ilmu tersebut.Ini sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan. Sistem pendidikan yang menghasilkan manusia penghafal nota dan buku teks,pendidikan yang menghasilkan jaguh-jaguh penjawab soalan peperiksaan. Mungkin boleh melahirkan graduan-graduan universiti pemegang ijazah namun bukan melahirkan jaguh-jaguh yang berupaya mewujudkan kepemimpinan dalam bidang kritikal mereka. Jaguh-jaguh cuma mampu dilahirkan andai jaguh-jaguh ini berada dalam matlamat yang jelas sejak bermula pendidikan lagi.

Bilakah bermula pendidikan? Pendidikan bermula di rumah yang berharmoni dengan masyarakat. Itu sekolah yang utama. Sekolah kehidupan. Sekolah kedua yang mengandungi guru-guru cuma sebagai landasan atau pentas penggilapan senjata ilmu dan bakat yang ada pada setiap kanak-kanak,remaja mahupun pemuda pemudi yang belia.Inilah hubungan pendidikan yang meletakkan anak-anak generasi baru Islam sebagai golongan sasaran atau golongan yang dididik. Keluarga,masyarakat dan guru-guru sebagai pemain tanggungjawab pendidik. Di sini dilihat pemimpin,penguasa,dan ahli penyokong sistem hidup (seperti pengilang untuk mengeluarkan barangan keperluan,peniaga untuk memperdagangkan barangan,doktor untuk meninjau kesihatan,bomba dan penyelamat untuk kecemasan dan sbg nya) adalah sebuah unit-unit pengawal sistem pendidikan ini supaya tidak diganggugugat sehinggalah anak-anak generasi islam ini berjaya dibentuk menjadi golongan pejuang,golongan khalifah,golongan yang meneruskan pimpinan dunia supaya berada di tangan orang-orang soleh.

Pendidikan adalah suatu yang indah dan menarik. Ia mendidik bukan sahaja menyalurkan ilmu dari kajian manusia pencinta ilmu seperti saintis-saintis islam yang menyusun ilmu fikiran manusia yang mengkaji fitrah alam juga sunnatullah yang membawa kepada penggunaan konsep lalu tercetusnya ciptaan-ciptaan bagi kemudahan manusia( ilmu sains dan teknologi) malah ilmu-ilmu sebegitu mendekatkan diri pengkaji dan penuntut ilmu untuk lebih dekat dengan Allah.Pendidikan suatu yang tidak menyeksakan tetapi ia membuka minda manusia untuk menjadi lebih selesa dan lega dalam memahami alam,mengurus alam,dan memelihara alam.

Pendidikan itu bermula dari mengenal akan Allah s.w.t dan berakhir dengan pengharapan kepada keredhaan Allah s.w.t.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Thu Aug 30, 2007 2:20 am

pendidikan itu bukan sahaja memerlukan infrastruktur seperti kemudahan bangunan sekolah dan peralatan pembelajaran dan guru-guru sebagai penyokong proses pembelajaran tetapi persekitaran masyarakat sebagai sebahagian dari warga pendidik.

Inilah beza pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dengan pendidikan bagi melahirkan pejuang agama Allah.

Mari kita semak dengan lebih mendalam aspek-aspek perbezaan ini.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini bahawa tulisan ini membicarakan cadangan penulis di awal tahun 2000 yang telah dikemaskini pada tahun ini iaitu 2006.Pada asasnya cadangan yang asal cuma memberikan gambaran secara kasar dengan belum diberikan penelitian secara mendalam oleh penulis.Namun dalam entri kali ini penulis ingin membawa pembaca melihat cadangan ini dengan lebih mendalam.

Apa itu pendidikan berorientasikan peperiksaan?

katika penulis berbicara dengan guru penulis akan cadangan pendidikan ini,penulis beranggapan bahawa sistem pendidikan negara ketika itu (tahun 2000) merupakan pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.

Peperiksaan umum yang diadakan seperti yang kita sedia maklum ialah UPSR (ujian penilaian sekolah rendah),PMR (peperiksaan menengah rendah),SPM (sijil pelajaran malaysia),STPM (sijil tinggi pelajaran malaysia),dan sijil matrikulasi sebelum diberikan penilaian untuk masuk ke universiti atau institut pengajian tinggi.

Bagi menjayakan sistem pendidikan ini soalan-soalan peperiksaan dikaji dan disusun secara bersungguh-sungguh oleh panel pembuat soalan mengikut garis panduan kementerian pendidikan malaysia. Walaupun kadang kala dasar kerajaan malaysia berubah,namun panel pembuat soalan dianggap cekap menyesuaikan diri bagi sentiasa menyediakan soalan yang mampu mencapai hasrat kerajaan bagi melahirkan rakyat yang berpengetahuan.

kita sedia maklum akan falsafah pendidikan negara.

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu

usaha berterusan kearah memperkembangkan

lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu

untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani,

emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada

tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang

berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,

bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai

kesejahteraan diri serta memberi sumbangan

terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara”

falsafah pendidikan negara di atas tidak lari jauh dengan hasrat,objektif dan matlamat pendidikan yang dicadangkan oleh penulis. Cuma penulis lebih menumpukan kepada asas yang benar-benar asas dalam perlaksanaan pendidikan iaitu

"bermula dengan memperkenalkan Allah berakhir dengan pengharapan kepada keredhaan Allah"

dan penulis lebih melihat keperluan pendidikan sebagai suatu persediaan dan misi yang penting yang menjadi sebahagian daripada perjuangan umat Islam.

Misi perjuangan umat islam ini dilihat oleh penulis sebagai misi bersama dan bukanlah suatu misi kelompok atau cita-cita kumpulan.Maka dalam melaksanakan misi perjuangan ini,penulis telah merangka cadangan,plan dan strategi sebagai sebuah usaha menyumbang kepada kekuatan umat.Maka dalam misi ini pendidikan merupakan salah satu aspek yang dititikberatkan.Sebagai penegasan,penulis tidak pernah menyebut tulisan ini merupakan sebuah langkah wajib namun ini merupakan cadangan yang dapat difikirkan oleh penulis.Penulis percaya islam mengajar umat islam untuk terus berfikir dan merencanakan strategi dan langkah selagi mana strategi dan langkah itu masih menurut batasan-batasan dan kehendak ajaran islam.

Penulis beranggapan bahawa sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan tidak mampu memenuhi falsafah pendidikan negara secara sempurna,maka penulis mencadangkan pendidikan yang telah dibincangkan dalam entri sebelum ini degan harapan akan dapat memenuhi falsafah tersebut dengan lebih baik,malah yang lebih penting menyediakan pendidikan yang mampu mencapai cita-cita umat islam secara bersama.

Mengapa pendidikan berorientasi peperiksaan lemah?

Penulis percaya pendidikan yang sempurna bukan melahirkan penjawab soalan peperiksaan tetapi melahirkan pejuang.Bagi melahirkan pejuang ,aspek yang perlu dititikberatkan bukan sekadar peperiksaan,maka amat tidak wajar jika pelajar-pelajar sekolah ke kelas untuk belajar ilmu dan akhirnya fokus mereka ialah peperiksaan yang akan berikan penilaian tahap mereka. Akhirnya mereka dibeza-bezakan dengan gred yang merujuk kepada markah yang mereka peroleh dari peperiksaan tersebut.

Penulis percaya bahawa manusia yang diciptakan Allah tidak lahir dengan kebolehan dan kecenderungan yang sama.Manusia yang lahir ke dunia ini punya kebolehan dan kecenderungan yang berbeza akan tetapi mereka lengkap melengkapi.

Peperiksaan umum telah menjalankan suatu sistem yang melawan fitrah ini.

Sebagai contoh, pelajar yang mendapat A akan dipandang tinggi atau dianggap sebagai bijak. Manakala pelajar yang mendapat F akan dipandang rendah atau dianggap tidak bijak.

Peperiksaan menjalankan suatu piawai dalam menilai manusia,padahal manusia tidak boleh dinilai dengan suatu piawaian sebegitu.

Mari kita lihat apa yang terjadi kepada seorang pelajar yang mengikuti sistem pendidikan sebegini.

Bermula dengan tadika atau pra sekolah,seorang pelajar akan diajar asas pendidikan.Di sini akan diperkenalkan abjad-abjad dan huruf-huruf bagi memudahkan menanam kemahiran 3M iaitu membaca,menulis dan mengira.Bagi tadika aliran islam akan diajarkan asas-asas seorang muslim mungkin seperti doa-doa harian,cara-cara bersolat atau kemahiran membaca al quran.

kemudian kanak-kanak ini akan masuk ke sekolah rendah dan mengikuti pembelajaran.Guru akan mengajar mengikut sillabus. Sillabus adalah sistem pecahan tajuk atau bab dalam satu-satu subjek yang akhirnya akan dinilai kefahaman dan penguasaan pelajar dalam subjek tersebut dengan diadakan ujian kecil,ujian bulanan,peperiksaan penggal sehinggalah menuju ke peperiksaan umum iaitu UPSR sebelum mereka menamatkan sesi persekolahan sekolah rendah.Semua pelajar akan belajar perkara yang sama dan dinilai dengan piawai yang sama.

Kemudiannya apabila ke sekolah menengah,mungkin sudah dimulai pecahan aliran pendidikan,di peringkat ini ada aliran agama dan vokasional dan juga beberapa sistem pakej peperiksaan yang pelajar-pelajar boleh memilihnya bergantung kepada sekolah samada sekolah itu ada menyediakan kelas subjek berkenaan jika tidak,pelajar yang ingin menambah subjek ke dalam peperiksaan umum perlu belajar dengan inisiatif sendiri seperti mengambil kelas tuisyen atau mengupah guru mengajar.

Akhirnya proses ini akan menuju kembali kepada peperiksaan umum. Dengan kata lain pelajar yang memasuki sistem ini perjuangan ilmu mereka difokuskan kepada mengejar gred terbaik di dalam peperiksaan umum.Dalam sistem ini demi mencapai cabaran peperiksaan umum tersebut pelajar-pelajar akan bergelumang dengan nota dan latihan soalan,jika ada praktikal pun ia tidak cukup untuk mengasah bakat dan kecenderungan melainkan pelajar itu sendiri yang mengambil inisiatif berani untuk membina diri.

Pembinaan diri adalah inisiatif sendiri dan bukan merupakan fokus yang menjadi matlamat akhir sistem. Matlamat akhir sistem adalah gred di dalam peperiksaan umum.

Mungkin akan ada pelajar yang aktif dalam bidang sukan,unit beruniform,pertandingan-pertandingan bahas,pidato,syarahan, atau aktiviti-aktiviti inisiatif sekolah seperti ceramah,kem motivasi dan lain-lain. Namun semua itu diadakan tanpa menjadikannya fokus penilaian utama sistem ini.Dan mungkin ada merit yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang menyertai pelbagai aktiviti ko kurikulum ini.Namun masih belum cukup untuk memenuhi falsafah pendidikan negara.

Bukti utama kelemahan sistem ini ialah apabila pelajar-pelajar ini ke universiti dan mengikuti sistem universiti pula,dan apabila diberikan mereka soalan SPM yang pernah mereka duduki misalnya untuk mereka jawab,pastinya mereka sudah hilang kemahiran menjawab soalan tersebut.Adakah ini bermakna mereka sebenarnya adalah manusia yang tidak layak untuk mengikuti pelajaran ke universiti?

Dan sesudah mereka menamatkan pengajian di universiti dan mula untuk mencari pekerjaan dan katakanlah mereka telah bekerja dalam tempoh setahun atau dua tahun,cubalah diberikan pula mereka soalan peperiksaan yang diadakan di universiti dahulu,pastinya situasi yang sama akan berlaku.Mereka tidak akan menunjukkan prestasi menjawab soalan yang memuaskan melainkan kes-kes terpencil.

Apatah lagi jika diberikan soalan peperiksaan SPM pada mereka untuk mereka jawab,teknik menjawab soalan yang mereka belajar dahulu pastinya telahpun mereka lupa kerana telah meninggalkannya dengan tempoh yang lama.Kemungkinan untuk mereka dapat gred F jika menjawab soalan SPM tersebut juga adalah besar.

Jika seorang yang berkelulusan universiti dan telah bekerja dua tahun berisiko untuk mendapat F dalam SPM,maka adakah pelajar yang mendapat F dalam SPM adalah manusia bodoh yang tidak berguna?

Itu belum dinilai lagi keintelektualan bekas pelajar yang mengikuti sistem ini,apabila dilihat kepada keadaan masyarakat pada hari ini.Penglibatan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan dalam kegiatan yang rosak akhlak dan sia-sia adalah angka yang tidak boleh diketepikan.

Akhirnya pembinaan bangsa yang ingin diadakan sejak zaman berzaman dilihat masih sukar untuk mencapai kejayaan walaupun ada sedikit kemajuan namun masyarakat islam masih berada di tahap yang tidak kukuh sama ada di bidang ekonomi mahupun pencapaian di bidang lain.

Fokus pendidikan mesti diubah dari fokus peperiksaan kepada fokus dalam usaha mempertingkatkan segala kebolehan dan kecenderungan semulajadi yang penulis anggap sebagai senjata kurniaan Allah sehingga mencapai tahap pejuang dalam bidang-bidang khusus yang penulis sebut bidang-bidang kritikal dalam entri yang lepas.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Thu Aug 30, 2007 2:21 am

3 entiti Penggerak Pendidikan

Dalam mana-mana sistem pun,infrastruktur,kemudahan,tapak,persekitaran semuanya mestilah dalam keadaan yang kondusif untuk menyokong kelancaran pendidikan. Dalam entri yang lepas kita telah memahami fokus sistem pendidikan pejuang bukanlah didasarkan dengan piawai peperiksaan. Tetapi pengasahan dan penggilapan senjata kurniaan Allah yang ada dalam diri setiap individu yang dikenali sebagai bakat,kebolehan,dan kecenderungan sehingga dapat dikeluarkan membentuk diri individu menjadi pejuang yang berjuang itulah yang menjadi fokus kepada pendidikan ini. Usaha itu pula mestilah tidak lari dari tujuan pendidikan yang asas iaitu bermula dengan mengenali Allah dan berakhir dengan pengharapan kepada keredhaan Allah. Sumber dan dasar rujukan pendidikan itu mestilah berteras kepada al quran dan sunnah. Dan seterusnya disokong dengan pencapaian kepakaran dalam bidang-bidang kritikal secara khusus.

Dalam entri kali ini,penulis ingin bawa pembaca kepada elemen yang terpenting dalam sistem ini iaitu entiti penggerak pendidikan.

Penulis berpendapat entiti penggerak sistem pendidikan ini punya 3 entiti yang penting. Ini berbeza dengan sistem pendidikan sekarang yang mengutamakan 1 penggerak sahaja iaitu golongan guru.Walaupun ada kempen dari kerajaan untuk para ibu bapa dan masyarakat mengambil peranan dalam mendidik tetapi peranan itu bukanlah suatu peranan yang dimasukkan dalam penilaian sistem seperti yang dibuktikan oleh penulis dalam entri yang lepas bahawa fokus sistem pendidikan sekarang ialah peperiksaan.

3 entiti penggerak pendidikan dipecah mengikut 3 zon yang merupakan posisi harian seorang penuntut ilmu yang digerakkan di dalam sistem pendidikan pejuang ini.

3 zon tersebut ialah:

1)zon rumah/kediaman-keluarga
2)zon sekolah-medan latihan pejuang
3)zon persekitaran-sekitar kediaman dan sekolah

dan 3 penggerak yang berada di setiap zon tersebut ialah:

1)ibu bapa/penjaga yang beramanah
2)guru-guru/golongan berilmu
3)masyarakat-jiran tetangga dan golongan penyokong sistem seperti pemimpin,polis,bomba,doktor,peniaga dan lain-lain.

Dalam sistem pendidikan pejuang 3 entiti penggerak mestilah berada secara langsung dalam misi pendidikan melahirkan pejuang ini.

Di sini dapatlah kita fahami bahawa elemen terpenting dalam sistem pendidikan ini mestilah dibina untuk bersedia berperanan dahulu sebelum perjalanan pendidikan pejuang dapat berjalan dengan lancar.

Sebelum penulis menerangkan bagaimana sistem pendidikan pejuang digerakkan dan apakah isi kandungan pendidikan ini dalam mencapai tujuan dan matlamat bidang-bidang kritikal yang disebutkan sebelum ini,sewajarnya penulis menerangkan dahulu apakah strategi untuk menyediakan 3 entiti penggerak untuk berada dalam keadaan bersedia berperanan.

Entiti 1:Ibu Bapa/penjaga yang beramanah.

Gelaran seseorang menjadi ibu atau bapa apabila dua insan yang telah bernikah secara halal dikurniakan zuriat.Manakala dalam kes-kes yang lain zuriat itu mungkin juga tidak dijaga oleh ibu atau bapa sendiri akan tetapi dijaga oleh insan yang bukan ibu atau bapanya samada ibu bapa angkat,bapa saudara atau ibu saudara,nenek atau datuk,abang atau kakak dan sebagainya yang digelar penjaga.Sebetulnya penjaga ini mestilah difahamkan bahawa dia diamanahkan untuk menjaga ertinya bertindak dalam memelihara segala kebajikan dan menyokong proses tumbesaran seorang zuriat atau kanak-kanak tersebut. Maka penulis suka untuk menekankan istilah penjaga beramanah kerana penjaga itu bukan sekadar menjaga tetapi ada amanah yang dipikul bersama.

Demi membentuk entiti penggerak yang boleh bertindak sebagai penggerak pendidikan pejuang entiti pertama ini mestilah dalam keadaan yang cukup bersedia dan berkemahiran kerana entiti pertama inilah golongan yang akan memulakan langkah pertama dalam 'sillabus' pendidikan pejuang.

Sebelum itu,sukacita ingin penulis menerangkan bahawa untuk menyediakan pasangan ibu bapa yang bersedia dan berkemahiran,perlulah kita bermula dari permulaan institusi keluarga itu dibentuk.

Sebelum pasangan itu dipanggil sebagai ibu atau bapa,mereka lebih dikenali sebagai suami atau isteri. Mereka mendapat kelayakan gelaran itu apabila telah berlangsung suatu majlis yang dipanggil sebagai majlis pernikahan.Majlis pernikahan ini mestilah dijalankan oleh seorang wali yang berkelayakan dari pihak perempuan dan disaksikan oleh bilangan saksi yang tertentu yang semuanya menurut hukum pernikahan yang digariskan oleh islam.Penulis tinggalkan dulu bicara mengenai proses pernikahan ini kerana telah masuk di dalam bab yang lain.

Akan tetapi ingin ditekankan oleh penulis bahawa pasangan suami isteri itu sebelum dinikahkan mestilah faham apakah tujuan pernikahan dan perkahwinan dan apakah tanggungjawab dan amanah yang perlu mereka pikul selepasnya.

Sememangnya pada masa sekarang telah dijalankan kursus perkahwinan yang wajib disertai oleh pasangan tersebut sebelum bernikah akan tetapi penulis meminta supaya kursus yang diadakan pada masa sekarang menekankan lagi suatu bentuk tarbiyyah yang lebih berkesan untuk menyediakan pasangan dengan kefahaman dan pegangan yang tepat dalam niat untuk bernikah.

Oleh itu dalam menyediakan entiti pertama yang dipanggil ibu bapa ini,mungkin kita boleh memulakan bicara dengan topik kursus perkahwinan.Kursus Perkahwinan sepatutnya dijadikan medan terakhir dalam pentarbiyyahan pasangan yang mesti dan wajib menyediakan pasangan dengan kefahaman yang benar-benar mapan.Bilakah pentarbiyyahan yang awal? Tentulah pentarbiyyahan yang awal adalah terkandung dalam sistem pejuang itu sendiri ketika pasangan dalam keadaan kanak-kanak lagi.Akan tetapi pasangan yang tidak berada dalam sistem pejuang dan hanya berada dalam sistem berorintasikan peperiksaan perlulah mengikuti kursus yang lebih panjang dan mendalam.

Ada dua pilihan dalam hal ini.

Pilihan pertama,jika mahukan kursus perkahwinan yang mudah dan pendek,pentarbiyyahan perlu diadakan secara berterusan sebelum,semasa,dan selepas perkahwinan.

Pilihan kedua,kursus perkahwinan yang panjang dan mendalam dan mencukupkan secara pasti pasangan dengan persediaan ilmu dan kemahiran,kefahaman dan sikap yang betul dalam membina rumah tangga dan keluarga.

Pilihan pertama penulis akan bincangkan selepas habis berbicara kesemua entiti kerana pilihan pertama ada kaitan dengan misi penyatuan gerakan dakwah seluruh aliran.

Pada entri kali ini,penulis cuma akan bincangkan sebuah cadangan dari pilihan kedua.

Kursus perkahwinan yang panjang dan mendalam ini mungkin boleh diadakan sama ada dalam bentuk kem kesedaran yang memakan masa berhari-hari secara berturu-turut.Ertinya individu dari pasangan perlu bermalam dan menghabiskan masa dengan barisan pentarbiyyah yang diberi modul yang menekankan kepada praktikal mendidik dengan ilmu dan kesedaran. Modul itu bukanlah semata-mata sesi ceramah atau kuliah tetapi merupakan modul praktikal dengan menyediakan individu tersebut dengan latihan dan ujian secara praktikal yang bukan dinilai dengan markah lulus tetapi dinilai dengan sikap menghayati ilmu,dan kesedaran mengamalkan ilmu.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Thu Aug 30, 2007 2:22 am

Mengelak masalah keluarga

Kursus perkahwinan yang mantap dapat membekalkan bukan sahaja ilmu di alam perkahwinan tetapi kesedaran akan tujuan dan matlamat perkahwinan. Dan sudah tentulah kita fahami bahawa perkahwinan itu sunnah rasulullah yang merupakan sebuah ibadah yang cukup mulia di sisi islam. Konsep ibadah perlulah difahami dengan jelas oleh bakal suami atau isteri di mana tidak lain tidak bukan niatnya cuma satu untuk menjadi hamba Allah yang diredhai oleh Allah.

Kita sering terlepas pandang ilmu yang disertai kesedaran untuk beribadah dan kesanggupan memikul tanggungjawab dan amanah itu adalah jauh lebih utama untuk ditanamkan dari menekankan kelebihan perkahwinan.Kita fahami semua ibadah-ibadah khusus di dalam islam punya kelebihan,hikmah malah fadhilat yang besar jika dikaji dari sudut bidang ilmu apapun,namun jangan ditekankan sangat sampai ia menjadi tujuan lebih-lebih lagi dalam konteks perbincangan kita ini iaitu ibadah perkahwinan.

Penulis cuma ingin menyatakan kebimbangan apabila sering disebut perkahwinan itu merupakan jalan ke arah menghalalkan hubungan,menjaga nafsu dan kesucian diri,seolah-olah pasangan hanya memikirkan soal kebahagiaan nafsu sebagai matlamat perkahwinan.Sememangnya perkara-perkara itu harus diketahui namun,banyak terjadi kes-kes perceraian suami isteri terutama dewasa ini yang kadang kala perkahwinan itu baru berusia setahun jagung,atas sebab suami tidak puas dengan isteri,isteri tidak puas dengan suami, tiada keserasian, tiada kefahaman, semua itu alasan-alasan parah yang menunjukkan mentaliti pasangan yang berkahwin mencari kebahagiaan nafsu dalam perkahwinan.Perceraian yang banyak boleh merosakkan sistem masyarakat,apatah lagi pastinya akan menjadi punca kegagalan sistem pendidikan pejuang!

Ketidakpuasan itu amat jelas merujuk kepada faktor nafsu yang mendambakan kemahuan diri dipenuhi,tidak kisahlah samada dalam konteks hubungan kelamin atau kasih sayang lahiriah atau hal-hal yang berkaitan dengannya.Walaupun keserasian itu agak penting dan mungkin boleh dipertimbangkan perceraiannya,namun jika sudah fahami faktor-faktor ini boleh membawa kepada perceraian,maka amat wajar faktor-faktor ini telah tersedia di dalam modul kursus perkahwinan untuk ditanamkan betul-betul di dalam sanubari pasangan agar sentiasa mengelakkan perceraian dengan langkah-langkah toleransi dan bertolak-ansur,jua sifat-sifat mahmudah seperti berlapang untuk memaaf dan meminta maaf,dan mengembalikan segala permasalahan kepada ajaran Allah dan redha dengan sifat penuh ketaqwaan.

Penulis menekankan perkara ini untuk diambilkira di dalam kursus perkahwinan kerana perceraian boleh merosakkan sistem pendidikan pejuang.Sudah tentu kita tidak mahu, segala usaha dan langkah yang mantap telah diambil akhirnya berkecai dan rosak atas faktor perceraian keluarga semata-mata. Penulis beranggapan perceraian keluarga mampu merosakkan jiwa anak-anak,malah membawa kesan ke atas masyarakat,dan suasananya, oleh itu faktor ini mestilah dijadikan sasaran untuk dielakkan bukan saja semasa di alam perkahwinan tetapi sejak dari awal sebelum berkahwin lagi.

Kita boleh lihat bagaimana sistem pendidikan sekarang tidak mampu mengawal permasalahan ini apabila perceraian keluarga terjadi.

Pelajar yang dirugikan

Mari kita renung masalah seorang pelajar A.

A adalah kanak-kanak yang berdisiplin dengan mengikut peraturan sekolah. Segala aturan dalam sistem berorientasikan peperiksaan diikuti dengan penuh sifat taat dan bersungguh-sungguh. Namun, satu hari,keluarganya bercerai. Katakanlah dia akhirnya dipelihara oleh ibunya sahaja,dan bapanya berkahwin lain cuma sebulan sekali menjenguknya.
Adakah anda fikir A boleh mengawal emosinya dengan baik ketika ini? pastinya sebagai seorang yang masih muda A pasti berasa tidak selesa dalam keadaan keluarganya bercerai. Sikapnya akan sedikit sebanyak berubah,dan mula berasa rendah diri kerana berada di dalam keluarga yang tidak sempurna.

Anggapkan A telah terjejas emosinya. Bolehkah A memberi perhatian yang baik di dalam kelas? Katakanlah kawan-kawan membantunya dan ada guru kaunseling di sekolah memberikan perhatian, tetapi kes-kes yang terjadi di malaysia, seorang pelajar yang punya masalah keluarga akan cenderung untuk keluar dari sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dan mula bergaul dengan golongan liar dan mencari ketenangan dengan cara salah.

Masalah ponteng, gangsterisme, vandalisme, dadah, dan sebagainya terdedah kepada mereka. Kita anggaplah kes A tidak sampai kepada tahap itu, tetapi A juga cenderung untuk lari dari sistem berorientasikan peperiksaan. Sebab kenapa penulis katakan begitu? Kerana sistem ini memerlukan para pelajar duduk dalam keadaan waspada memastikan diri berada di posisi betul dalam piawai pendidikan.

Contohnya,di dalam kelas bukan sahaja nota di papan hitam perlu disalin malahan masih ada kerja rumah yang perlu disiapkan.Ini merupakan tahap pertama. Kemudiannya apabila sampai kepada ujian,pelajar-pelajar dikehendaki menghafal nota-nota atau berupaya membuat soalan-soalan latihan dengan baik sebagai persiapan untuk menjawab peperiksaan. Walaubagaimana awal dan rapinya persiapan seseorang pelajar itu,pastinya perasaan berdebar-debar menunggu hari peperiksaan akan dirasakan. Apatah lagi jika pelajar itu jenis yang lambat faham konsep,pastinya sukar untuk menghafal sesuatu ilmu atau mahir dalam ilmu subjek tertentu itu. Dan apa pula yang anda fikirkan akan terjadi kepada A? Pastinya A akan sedikit terjejas, jika tidak banyak pun sedikit.

Kita anggapakan sedikit sahaja A terjejas mungkin markah ujian bulanannya turun 10%. dan kita anggapkan juga A diberikan galakan oleh kawan-kawan,malah guru-guru memberikan pertolongan. A sendiri kita anggapkan seorang yang tenang dan berupaya mengurus emosi dengan baik. Mungkin dia menyertai kem-kem motivasi untuk menjana semangat dirinya.

Tetapi, apa yang terjadi pada dirinya selepas ini adalah bukti penulis yang amat jelas bahawa sistem berorientasi peperiksaan bukan menyediakan seorang pejuang tetapi penjawab soalan peperiksaan.A akan memfokuskan perjuangannya untuk mendapat gred yang baik di dalam peperiksaan. Nah,lihat! ini cuma anggapan jika A seorang pelajar berinisiatif tinggi. Tetapi bagaimana dengan pelajar yang menurut saja sistem ini?Mereka akan lebih menumpukan tujuan ke sekolah adalah untuk sekadar mendapat markah baik dalam peperiksaan.Dan jika pelajar itu bermasalah,pastinya kecenderungan untuk mengelak dari sistem ini amat besar kerana sistem ini menuntut pelajar berada dalam keadaan fokus markah yang dijadikan piawai untuk membeza-bezakan tahap kemampuan pelajar.

Pelajar yang telah terjebak dalam kancah masalah disiplin yang cuba menentang sistem atau lari dari sistem akan menerima hukuman dari pihak sekolah,dan langkah terakhir hukuman ialah buang sekolah!! Lihatlah!! sistem berorientasikan peperiksaan terpaksa menjalankan sistem hukuman sebegini kerana mereka menuntut pelajar berada dalam keadaan piawai dan tahap kemampuan pelajar dibeza-bezakan dengan piawai itu! Sejauh mana piawai itu membuktikan keintelektualan pelajar adalah amat samar-samar ,dan penulis telah buktikan dalam entri bahagian ketiga yang menyebut kes seorang pekerja yang dikehendaki menjawab soalan SPM bole mencapai piawai yang sama dengan pelajar bermasalah.

Tentunya pembaca sekalian akan tertanya-tanya, bagaimanakah perlaksanaan sistem pejuang yang tidak menekankan kepada kerja rumah,ujian bulanan,peperiksaan umum, kemudian tidak ada pula hukuman buang sekolah dan sebagainya mampu menyediakan pejuang malah pejuang yang dapat memanfaatkan bakat,kebolehan diri,dan kecenderungan menjadi suatu senjata yang digunakan untuk berjuang. Tetapi percayalah sistem ini punya jalan sebegitu.(akan diperincikan dalam bahagian yang lain).

Maka dapatlah kita fahami, masalah keluarga seperti perceraian merupakan faktor yang boleh mengganggu sistem pendidikan, maka sistem pendidikan pejuang menekankan kesedaran ibu bapa dari sebelum berkahwin lagi untuk mengelakkan diri dari bercerai malah memupukkan lebih banyak kasih sayang dan membina keutuhan keluarga kerana telah memahami dan sedar akan tujuan berkeluarga itu,dan tahu akan amanah dan tanggungjawab yang akan dipikul termasuklah tanggungjawab menjadi entiti penggerak yang sempurna bagi memulakan sistem pendidikan pejuang.

Sistem pendidikan pejuang bermula dari rumah

Apabila kursus perkahwinan mampu menyediakan bakal pasangan suami dan isteri maka berlangsunglah perkahwinan pasangan tersebut dengan aturan yang dikehendaki syarak. Dengan pertalian yang suci dan mulia itu telah terbina maka bermulalah peranan entiti penggerak ini untuk bertindak sebagai pemula sistem pendidikan pejuang.

(TULISAN MFR INI ADA SAMBUNGANNYA, TAPI BELUM DIKESAN)
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
Sponsored content




PostSubyek: Re: REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG   Today at 1:52 pm

Kembali Ke Atas Go down
 
REMAJA GAGAH & PENDIDIKAN PEJUANG
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Remaja yang Tidak Merokok Hidupnya 5 Kali Lebih Bahagia
» Sinetron, Remaja dan Cinta
» Renungan sehari-hari
» BIOGRAFI LUNA MAYA
» Remaja Gampang Halusinasi Jika Kurang Vitamin D

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: