MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 PENYATUAN & PERPADUAN

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: PENYATUAN & PERPADUAN   Thu Aug 30, 2007 2:23 am

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Walillahil hamd.

Dengan nama Allah Yang Pengasih dan Penyayang,Yang Melihat dan Yang Menilai. Selawat dan puji bagi Rasulullah s.a.w.

Yang dimuliakan encik Iman, encik Islam, encik Ihsan, dan encik Ikhlas. Yang dihormati tangan yang menaip,mata yang melihat, hati dan fikiran yang berbicara dan berfikir.
Juga tidak dilupakan buat penjenguk blog ini yang datang secara sengaja atau tidak sengaja. Ahlan wa sahlan.

Islam agama yang menyatukan hati-hati umat.

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103,

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni`mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni`mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."

saudara/saudari sekalian,

sifat suka bermusuh-musuhan sesama saudara seislam adalah sifat yang jahil dan tidak terdapat dalam akhlak islam.Islam adalah sebuah agama penyatuan dan perpaduan dan sesungguhnya umat islam yang beriman itu bersaudara sebagaimana firman Allah,

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."(Al hujurat:10)

Hari ini 1 syawal 1427H kita umat islam telah dikurniakan kemenangan atas usaha kita mentarbiyyah jiwa kita melawan nafsu pada bulan ramadhan yang lalu. Di dalam bulan ramadhan antara dosa yang boleh menjejaskan puasa kita ialah dosa mengumpat dan memfitnah. Sekiranya kita mengumpat dan memfitnah di bulan ramadhan,dalam masa yang sama kita berpuasa maka puasa kita itu akan menjadi sia-sia belaka dan dapatlah kita penat,lapar dan dahaga semata-mata. Sesungguhnya ramai sekali manusia yang berpuasa dan mereka hanya mendapat penat,lapar dan dahaga sahaja.

Di dalam bulan ramadhan yang lalu juga apabila ada mana-mana orang yang mahu membangkitkan persengketaan dengan kita atau melakukan provokasi untuk mencetuskan kemarahan kita,kita dianjurkan untuk membalas dengan ungkapan,"saya sedang berpuasa". Dan tidaklah pula setelah kita mengungkapkan ungkapan itu maka kita menanamkan pula niat dendam untuk membalas pada hari kita tidak berpuasa. Nilai yang terkandung di dalam ungkapan itu yang mahu disemai ke dalam jiwa orang berpuasa ialah nilai SABAR. maka orang-orang yang sabar itu tidak berdendam tetapi melupakan segala keburukan orang pada kita. Orang yang bersabar juga bersikap pemaaf dan berserah pada Allah.

Allah berfirman dalam surah Al baqarah ayat 153,

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Sebagai seorang insan,kita tentunya sering sahaja lupa dan lalai untuk bersabar. Nafsu sememangnya suka kepada perkara-perkara yang rakus,tidak peduli sebarang akibat,membabi buta, dan bebas tanpa sempadan. Sesungguhnya hal-hal seperti itu sebenarnya bukanlah jalan orang-orang yang beriman yang berpegang kepada petunjuk Ilahi. Orang-orang beriman pastinya menahan diri dari terpedaya dan tergoda dengan nafsu,dan sesungguhnya latihan menahan diri itulah yang telah dididik sepanjang bulan ramadhan yang lalu.

Oleh itu orang yang mendapat hadiah atau 'eid' pada 1 syawal ini pastinya ialah orang-orang yang telah menyempurnakan puasa mereka dengan sifat sabar. Mereka tidak mengumpat,tidak memfitnah,bertenang dan tidak terbawa-bawa dengan provokasi atau kemarahan. Semua perkara ini sebenarnya menjadi kunci kepada menjaga silaturrahim dan ukhuwah sesama saudara seislam.

firman Allah dalam surah Al a'sr ayat 1-3

"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran."

perpaduan dan penyatuan umat islam merupakan asas kekuatan umat islam dan ini telah dibuktikan dalam peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 ramadhan di mana umat islam telah diberikan kemenangan dan dibantu oleh Allah walaupun bilangan pihak musuh quraisy lebih ramai dari umat islam ketika itu.

Rasulullah ketika berhijrah ke madinah antara perkara awal yang dilaksanakan oleh baginda ialah mempersaudarakan kaum Aus dan khazraj serta kaum Muhajirin dan Ansar, dan wajarlah tindakan baginda ini direnungi umat islam pada hari ini yang mahukan negara islam yang baik untuk mendahulukan penyatuan dan perpaduan di kalangan mereka. Rasulullah mempersaudarakan umatnya dahulu sebelum memerintah negara islam madinah.

tidakkah kalian merasakan penyatuan dan perpaduan merupakan kunci kekuatan umat islam? tidakkah kita mahu melihat umat islam kembali kuat? tidakkah kita mahu mencari kekuatan umat islam? maka mengapa kita mengabaikan perkara sepenting ini?

kanak-kanak bergaduh.

apabila kita melihat adik-adik kita bergaduh atau anak-anak kecil berkelahi,kita kadang kala tidak memandang perkara itu seberat mana,kerana kita beranggapan anak-anak kecil yang tidak matang tentu sekali tidak dapat membezakan antara baik dan buruk dan sering saja mementingkan diri dan tidak dapat mengawal emosi masing-masing.

Adalah biasa bagi kita apabila adik perempuan kita yang berusia lapan tahun untuk merengek pada kita atau merajuk untuk kemahuan mereka dipenuhi.

tetapi itulah asas nafsu yang ditonjolkan akibat iman dan ilmu masih belum mantap untuk mengawalnya.

Perlahan-lahan kita melihat perkembangan dan tumbesaran adik-adik kita dari tahun ke tahun akan berubahlah perangai mereka. Mereka sudah tidak lagi bersikap keanak-anakan dan sekiranya mereka dididik dan diasuh dengan cara betul,maka kita akan melihat mereka bersikap tenang dan hikmah. Semua itu adalah berkat iman dan ilmu yang berjaya mengawal nafsu. Adakah nafsu itu sudah lenyap? Tidak, nafsu itu masih ada di dalam hati mereka, mereka boleh sahaja untuk merengek dan merajuk tetapi kerana iman dan ilmu maka mereka mengawal nafsu itu.

Bulan Ramadhan telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada manusia yang beriman dan umat nabi Muhammad mendapat suatu keistimewaan yang tidak pernah diberikan pada umat terdahulu, iaitu malam lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan.Allah mengurniakan pelbagai ganjaran di bulan mulia itu supaya hamba-hambaNya bersungguh-sungguh beramal ibadat dan mentarbiyyahkan diri supaya dapat mengawal nafsu.

Oleh itu tidakkah kita nampak mengawal nafsu itu suatu yang mulia di sisi Allah?

Kita maklum, tidak semua insan diberikan kekuatan oleh Allah untuk mengawal nafsu mereka. Maka tidaklah kita hairan apabila seorang perempuan yang dewasa merengek-rengek manja atau merajuk kepada teman lelakinya untuk kehendak diri mereka dipenuhi persis tindakan anak-anak kecil yang tidak tahu mengawal nafsu.Atau si lelaki merengek-rengek gatal untuk nafsunya dipenuhi, sesungguhnya itu adalah petunjuk tidak berjaya mengawal nafsu.

Maka jika ada dua orang lelaki dewasa yang berbadan tegap keduanya sedang bertumbuk-tendang kerana krisis dan konflik, padahal kedua-duanya adalah umat islam yang bersaudara janganlah kita berasa aneh,kerana mereka itu orang-orang yang tidak berjaya mengawal nafsu.

Atau jika kita bertemu dengan dua lelaki tua yang lanjut usia saling bertikam lidah,carut mencarut, berkata-kata nista sesama sendiri, maka kita juga tidak perlu berasa pelik. Mereka juga adalah orang-orang yang tidak berjaya mengawal nafsu.

Oleh itu, samada seorang perempuan atau lelaki itu sudah dewasa atau tua tetapi sekiranya mereka bergaduh,bersengketa,bertengkar, berkelahi tanpa memperlihatkan kematangan maka ketahuilah oleh kita mereka itu umpama anak-anak kecil yang bergaduh yang tidak berjaya mengawal nafsu atas sebab tidak kuatnya iman dan ilmu.

maka apakah makna kemenangan di 1 syawal jika usaha mengawal nafsu yang dilakukan di bulan ramadhan tidak berhasil membentuk diri yang lebih bersabar? dan tidak pula mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim sesama saudara?

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Walillahil Hamd.

Pada hari ini, kita sering melihat umat islam di Malaysia berkunjung mengunjung dan berziarah ke rumah sanak saudara atau sahabat handai. Ini dapat dibuktikan apabila warga kota berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sehingga menjadi sesaklah jalan dengan kenderaan dan menjadi lenganglah kota dan bandar.

Kita juga sering melihat umat islam akan bermohon maaf sesama sendiri pada hari ini,dan sesungguhnya ini merupakan amalan yang sangat baik dan mulia di sisi Islam.

maka celakalah mereka yang menjadikan 1 syawal sebagai titik permulaan pesta maksiat, joget kencang, lahap haloba makanan, bazir membazir, putus saudara, umpat mnegumpat, gosip-gosip panas, carut mencarut, keji mengeji, sesat menyesat, kafir mengkafir dan sebagainya.

Di manakah letaknya usaha kita untuk beramal soleh dengan lebih baik setelah bertarbiyyah di bulan ramadhan? di manakah usaha kita untuk menasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran? adakah penyatuan dan perpaduan islam ini tidak ada erti bagi kita?

Adakah mustahil untuk bersatu?

Apabila kita dihidangkan dengan berita pembunuhan antara puak syiah dan sunni di iraq,kita tentu sekali akan berasa sedih,dan mulalah bertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila kita mendengar kumpulan Fatah dan Hamas berperang sesama sendiri, kita yang sering menderma dan memanjatkan doa kepada Allah untuk rakyat Palestin pasti terluka, dan mulalah kita bertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila kita melihat suatu keasyikan dan kehangatan antara puak wahabi/salafi/la mazhabi dan puak sufi/mazhab sunni berkrisis dan menghamburkan pelbagai dakwaan sesama sendiri, kita mula berasa tidak selesa dan kecewa dan mulalah bertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila segala usaha pembangunan dan seruan-seruan kebaikan yang dibuat kerajaan dipandang oleh pembangkang sebagai muslihat dan munafik, serta segala usaha pembangkang dilihat kerajaan sebagai ekstrimis dan pemecah belah, kita pasti garu kepala kerana selalu mendengar bahawa kedua-dua pihak mahu membawa pembangunan dan kebajikan rakyat maka kita bertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila usaha pertemuan Pak Lah dan Dr M telah diusahakan Mubarak untuk mencari titik pertemuan dan penyelesaian, dan kemudian usaha itu tidak diberatkan dan disia-siakan, kita kembali bermenung dan bertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila Zaid Akhtar dan Faisal tehrani atau Nisah Haron menegur kelompok pengkarya novel popular kerana tidak menitikberatkan estetika makna dalam karya dan kemudian dipertahankan oleh Ahadiat Akashah bahawa karya yang ringan boleh ditapis oleh iman pembaca,kemudian sindir menyindir terjadi dalam setiap karangan antara dua pihak, maka kita tertanya mustahilkah untuk bersatu?

Apabila Mawi mengatakan beliau tidak akan berlakon sekiranya ada adegan pegang-pegang antara lelaki-perempuan bukan muhrim, disanggah pula oleh Rosyam Nor yang berkecil hati dengan penyataan itu dan kemudian terbitlah pelbagai pendapat jahil (yang sebenarnya memang kita sudah ketahui ramai artis Malaysia jahil-tahu hukum tapi abaikan-) dari artis-artis lain,maka kita tergeli hati dan menitiskan air mata, mustahilkah untuk bersatu di tali Allah? mustahilkah kita untuk bersama-sama menyokong amalan kebaikan? mustahilkah kita untuk bersatu beramal soleh?

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Walillahil Hamd.

Syukur kepada Allah s.w.t. kerana kita dapat menyambut 1 syawal sebagai hari kemenangan umat islam melawan nafsu dan mengawal nafsu sepanjang bulan Ramadhan, dengan suasana yang aman dan damai.

Kita perlu sedar saudara kita di banyak tempat di dunia tidak bernasib baik seperti kita,maka amatlah digalakkan kita membantu saudara kita di dunia ini.

Kadang kala kita sering fikir saudara kita yang jauh-jauh,tetapi kita tidak sedar ada saudara kita yang sedang 'tenggelam' dalam 'kesusahan' berdekatan dengan kita.

Maka jenguklah saudara-saudara kita yang berdekatan. Dan bantulah jika kita mampu. Islam itu tidak pernah membebankan penganutnya, ingatlah senyum itu juga sedekah. Binalah ukhuwah. eratkanlah silaturrahim. Mohonlah maaf,berilah maaf.sebarkan salam. mulakanlah langkah baru setelah lahir semula kepada fitrah ini dengan niat yang suci iaitu untuk mencapai hikmah dalam berdakwah,dan redha Allah dalam berjuang.

Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Walillahil Hamd.

Taqabbalallahu minna wa minkum
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
 
PENYATUAN & PERPADUAN
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Membuat kombinasi warna web yang harmonisi
» Tampil Modis dengan Padu Padan Tanktop

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: