MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 KISAH ORANG-ORANG MUDA

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: KISAH ORANG-ORANG MUDA   Thu Aug 30, 2007 2:31 am

seorang tua

Pada waktu ini umur saya sudah pun 22 tahun dan 19 hari.Umur itu boleh dikatakan muda jika mengikut tafsiran orang-orang muda zaman sekarang. Namun kalau diikutkan pada zaman kini umur 40 tahun pun masih dianggap umur pemuda!

Saya tidak termasuk dalam golongan yang berkepercayaan seperti itu atas sebab kesedaran akan keadaan diri saya sekarang. 22 tahun itu waktu yang amat panjang. Jika seseorang lelaki membiarkan rambutnya tanpa dipotong selama 22 tahun, kemungkinan rambutnya mencecah kaki atau lebih akan terjadi.

Saya percaya diri saya sudah tua walaupun tidak setua mana, dan apa yang pasti saya bukan saja sudah mampu menilai buruk baik suatu pekerjaan malah sudah ada dalam pengetahuan saya akan situasi dunia lampau dan kini serta mampu pula menganalisis dan merancang situasi akan datang. Jika keupayaan itu sudah dipunyai oleh seorang lelaki seperti saya maka saya menganggap sudah cukup untuk digelar seorang tua yang bila-bila saja akan bertemu ajalnya.

tanggungjawab orang tua 22 tahun

seorang tua berumur 22 tahun seperti saya sebenarnya punya tanggungjawab yang lebih berat berbanding pemuda 40 tahun yang masih keanak-anakan.Jika seorang pemuda 40 tahun yang keanak-anakan membuat keputusan atau tindakan yang tidak matang, maka kita masih boleh memaafkan mereka kerana mereka masih orang muda. Tetapi tidak bagi seorang tua 22 tahun seperti saya. Jika saya membuat keputusan atau tindakan yang tidak matang maka saya sebenarnya telah menzalimi diri saya sendiri atas kerana seorang tua sepatutnya menunjukkan contoh yang matang kepada orang muda.

adalah bersalahan dari segi hukum rasionalnya seorang tua berumur 22 tahun bertindak bagai orang muda yang tidak matang kerana tindakan tidak matang hanya terhasil dari pemikiran yang cetek pengetahuan dan tidak cukup terlatih dengan pengalaman. Lalu apa yang akan diperkatakan jika seorang tua berumur 22 tahun masih kurang pengetahuan dan tidak melatih dirinya dengan pengalaman? tentu sekali itu adalah orang tua berumur 22 tahun yang tidak sedar diri! Orang tua berumur 22 tahun itu perlu sedar dirinya bahawa dia sudah terlalu tua untuk menjadi seperti orang muda!

kata yang terpalit

salah satu perkara yang saya perlu akui adalah banyaknya kata-kata saya yang sedar diri sudah tua tetapi bertindak atau meletakkan diri seperti orang muda. Situasi ini sering digelar orang sebagai cakap tak serupa bikin, atau lebih tepat sudah terpalit kata-kata saya pada diri saya atas sebab perbuatan dan tindakan saya.

atas kesedaran itulah maka saya mengarang karangan ini, untuk menceritakan pada saya kisah orang-orang muda yang sering saya sendiri lakukan yang perlu dibuang dan ditinggalkan segera selepas siapnya tulisan ini.

orang muda yang teruja

orang muda sememangnya cepat teruja.logiknya kerana orang muda belum berpengalaman akan situasi yang baru sahaja dihadapinya itu maka hatinya memberontak keterujaan, girang segirangnya seakan itu satu-satunya pengalaman yang sangat besar dalam seluruh hidupnya.

tidak hairan apabila orang muda teruja bercinta, seorang lelaki muda bisa saja meluahkan kata-kata manis pada wanita muda dengan bahasa yang menjangkaui batasan, seperti "aku cinta padamu setulus hatiku," "cinta kamu sampai mati" "akan sehidup semati" "lautan api akan ku renangi" "tidak dapat melupakan mu sehingga makan tak kenyang mandi tak basah" dan sebagainya.

Namun seperti yang sering digelar masyarakat akan cinta muda teruja ini ialah cinta monyet. Cinta khayalan, cinta fantasi yang tidak berpijak di bumi nyata. jika ditanya untuk apa mencintai dan dicintai, rata-rata orang muda tidak dapat menjawabnya dengan baik dan sering sajalah mereka menjawab, "aku tidak tahu, aku hanya mencintai" atau "aku tak mengerti aku sudah jatuh cinta, adakah ini dinamakan cinta..oh!"

peralihan muda kepada tua adalah kefahaman tujuan

setiap perkara perlu ada tujuan. perkara yang tidak ada tujuan dipanggil perkara sia-sia. Pernah ditanya kepada seorang pelajar sekolah menengah atas tujuan apakah dia mula menghisap rokok, jawapannya ialah," kawan lain hisap rokok". Jelas , perbuatan menghisap rokok pada waktu awal adalah tanpa tujuan, jika ada tujuan pun itu bukanlah kefahaman tujuan tetapi alasan. Alasan untuk jadi seperti kawan, alasan mahu berlagak macho dan dewasa, alasan mahu memanaskan badan dan sebagainya.Namun, alasan itu tidak membuktikan apa-apa akan tujuan menghisap rokok menyentuh mekanismenya.

Jika alasan ingin memanaskan badan digunakan, atas faktor asap rokok itu punya haba dan haba akan dipindahkan ke seluruh badan apabila asap melalui ruang paru-paru maka tujuan itu jelas tidak habis difahami. Faham tujuan perlu menghabiskan setiap perkara itu hingga ke titik akhirnya. Maka jika seorang remaja atau orang muda merokok dengan memberi alasan mahu memanaskan badan seharusnya difikirkan tujuan itu hingga ke proses akhir asap rokok itu yang akhirnya mendatangkan kerosakan paru-paru atas sebab faktor tar dan narkotin.

Oleh itu seorang remaja yang faham akan merokok membahayakan kesihatan adalah remaja yang sudah di ambang peralihan kepada usia tua walaupun umur mereka masih muda.Manakala seorang tua yang tidak faham bahawa merokok membahayakan kesihatan sehingga mereka tidak menolak untuk terus merokok, si tua itu belum lagi tua dalam erti kata sebenar. mereka masih muda yang keanak-anakan.

Begitu jugalah dalam soal cinta tadi. Jika seorang remaja atau orang muda memahami bahawa cinta itu naluri manusia biasa yang diwujudkan bertujuan untuk menghubungkan satu manusia dengan manusia yang lain, dan mendorong seorang lelaki untuk hidup dengan wanita dengan mendirikan rumahtangga dan keluarga demi melangsungkan fitrah manusia dalam keadaan suci supaya kehidupan manusia diredhai Allah, maka pemikiran itu sudah pun berada pada tahap peralihan usia tua.Jelas di sini bahawa faham tujuan adalah sifat yang perlu ada pada seorang individu yang mahu beralih dari usia muda kepada usia tua.Jika tidak ada faham tujuan maka individu itu masih lagi muda keanak-anakan.

Ramainya pemuda yang tidak tua

Tujuan yang paling penting untuk difahami oleh seorang muda ialah tujuan hidup. Tanpa faham tujuan hidup maka orang muda itu akan terus bergelumang dengan hal-hal remeh yang sia-sia sehingga yang kecil dirasakan besar, yang besar diperkecilkan, dan yang mana penting tidak penting tidak dapat dibeza. Tujuan hiduplah yang akan membuahkan matlamat dan perjuangan. Dan matlamat dan perjuanganlah yang akan menjadi landasan hidup manusia untuk menuju kepada titik akhir yang nyata iaitu kembali pada Allah.

Allah s.w.t tidak menjadikan manusia dan hidupkan mereka ke dunia ini dengan sia-sia atau main-main. Tidak manusia itu dijadikan melainkan untuk beribadah pada Allah. Dan Allah s.w.t memberikan ujian kepada manusia untuk menilai ibadah itu satu ibadah yang ikhlas dan taqwa atau ibadah yang kosong. Ujian Allah lah yang akan menapis manusia-manusia itu sama ada manusia yang diredhai atau dimurkai. Yang diredhai akan selamat dari azab Allah dan diberikan ganjaran selayaknya iaitu syurga Allah. Manakala yang dimurkai akan dicampak ke dalam neraka dan ada yang menjadi bahan bakar api neraka. Semoga kita dijauhkan dan berlindung dalam rahmat Allah.

Tujuan hidup yang hakiki ini jika tidak ada pada hati dan sanubari orang muda maka orang muda itu tidak akan melangkah ke alam tua. Jika mereka kembali pada Allah dalam keadaan yang serba jahil dan jijik kerana bersifat keanak-anakan walaupun sudah berkedut-kedut muka dan beruban kepala pastinya tiada malu yang lebih besar dari malu menghadap Allah sebegitu.

Ramainya orang muda yang terpesong tujuan hidup mereka. Ada yang menggilai harta benda, mahu kereta mewah, rumah mewah, hidup yang lazat melazati, yang jika difikirkan tujuan itu tidak satupun yang menghubungkan ke titik akhir yang nyata.Maka tujuan keduniaan mereka itu bukti mereka tidak memahami tujuan sebenar hidup. Mereka masih belum ada faham tujuan.

Namun, jika orang muda mengumpul harta untuk dibelanjakan di jalan Allah dengan matlamat untuk meraih kasih sayang dan redha Allah maka orang muda sebegitu sudah menghubungkan tujuan hidupnya ke titik akhir dan dia sudah pun menjadi orang yang tua dan matang.

Perjuangan orang muda yang telah tua

Kita sering melihat sejarah orang-orang muda di dalam lipatan sejarah terkenal dengan sifat yang mahu berjuang. Sifat memberontak, menongkah arus, cuba bangkit mengubah sistem yang ada merupakan antara sifat-sifat orang muda yang digambarkan. Namun, seperti yang saya nyatakan tadi jika tindakan berjuang, memberontak, menongkah arus,dan sebagainya itu tidak punya tujuan yang jelas maka perjuangan itu adalah satu perjuangan kosong dan retorik semata-mata.

Tidak hairan jika kebanyakan orang muda yang meluap-luap semangat di alam universiti menjadi malap dan layu apabila masuk ke dalam masyarakat.

Berjuang yang memahami tujuan perlulah dirangka dengan strategi yang tersusun dan sifat yang tenang membutirkan setiap langkah dan tindakan dan tidak melulu, melatah, meluap-luap marah tanpa arah, menonong membabi buta hingga tidak kisah lagi apa rancangan dan apa plannya, hanya mahu menuju dan bertindak, itu semua adalah sifat keanak-anakan dan tidak matang. Tidak menganalisis situasi secara berhati-hati dan menetapkan pendirian yang jelas antara sindrom-sindrom yang lahir dalam sebuah perjuangan tidak matang.

mustahilkah seorang muda untuk menjadi tua dan matang? tidak mustahil. telah diberitakan tadi bahawa seorang muda yang tua perlu memahami tujuan dengan faham tujuan yang jelas sejelasnya. Dengan kekuatan itu, maka dengan sendirinya orang muda itu akan kukuh matlamat dan pendirian mereka dalam berjuang. Matlamat dan pendirian yang kukuh akan membuahkan rancangan-rancangan serta strategi-strategi yang hikmah.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: KISAH ORANG-ORANG MUDA   Thu Aug 30, 2007 2:31 am

Hikmah dalam berdakwah

Berdakwah merupakan perjuangan rasulullah.Ia disambung oleh para sahabat, tabiin, ulama-ulama silam hingga kepada pejuang-pejuang muda di zaman kini. Berdakwah dengan hikmah merupakan dakwah yang paling bererti dan bermakna.

Hikmah itu mungkin diterjemahkan sebagai kebijaksanaan, dan perkataan hikmah yang ada dinyatakan di dalam al quran pula sering diterjemah sebagai as sunnah (rasulullah s.a.w) atau kefahaman yang mendalam terhadap al quran.

Rasulullah berdakwah dengan hikmah. Sunnah rasulullah adalah berdakwah dengan hikmah. Namun bukan semua diberikan hikmah sebagaimana Allah s.w.t mengurniakan hikmah kepada Rasulullah dan orang-orang yang dikehendakiNya. Maka beruntunglah sesiapa yang dapat hikmah dalam berdakwah, dan bersyukurlah.

Rasulullah menyampaikan risalah ajaran islam kepada penduduk mekah dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Golongan bangsawan, golongan cendikiawan, golongan miskin atau golongan jahil menerima gaya dakwah yang berbeza dari rasulullah. Orang yang jahil mungkin Rasulullah mengajak mereka berfikir akan alam-alam yang nyata di hadapan mereka, sedang golongan intelektual mahukan kepuasan akal logik mereka, maka Rasulullah berikan hujah-hujah yang bernas yang mematahkan hujah logik mereka sehingga tidak seorang dapat menafikan kebenaran ajaran islam seterusnya memeluklah islam kesemua mereka.

Dengan kata yang lebih ringkas, asas hikmah itu meletakkan sesuatu di jalan yang selayaknya mengikut keadaan dan tahap situasi masing-masing. Apabila seorang lelaki memakai baju di kakinya, pasti kita akan panggil lelaki itu tidak bijak atau bodoh, kerana tempat yang layak dan sesuai baju diletakkan ialah di badan dan bukan di kaki. Yang di kaki itu seluar namanya.

Begitulah hakikat hikmah dalam berdakwah.

Orang muda berdakwah

Pernah terjadi segolongan muda yang mahu berjuang dan berdakwah dengan cara memaki hamun puak yang dianggap melakukan kesilapan atau kejahilan. Mereka terlupa atau tidak tahu bahawa TUJUAN dakwah adalah untuk membawa yang sesat ke pangkal jalan dan menyebarkan kebenaran untuk diamalkan , malangnya mereka yang berdakwah sendiri menjadi sesat dan jahil.

Mereka mengatakan itulah hikmah. Iaitu menunjukkan ketegasan yang disertakan dengan kekerasan dan akhlak buruk untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

Rasulullah s.a.w mengajar di sebaliknya.Apabila ada seorang Badwi kencing di masjid, yang terang-terang merupakan suatu yang mungkar dan dimurkai Allah s.w.t namun Rasulullah tidak pula bangkit dan memaki hamun si Badwi dengan kalimah " barua kau badwi", "kau ni memang bodoh nak mampus" "kurang ajar kau, Allah laknat kau" " kau ni kambing ker apa" "kau memang tapir lah Badwi" " kau letak otak kat mana, kat lutut?" dan sebagainya dan sepakat oleh kita bersama bahawa semua kata-kata itu tidak pernah diajar oleh Rasulullah dalam sunnah peribadi baginda dalam berdakwah.

Akan tetapi Rasulullah membersihkan kencing Badwi itu dan tentunya selepas itu Rasulullah akan menegur dan memberitahu bahawa perbuatan si Badwi itu suatu yang salah. Ini kerana kesedaran Rasulullah akan pemikiran si Badwi yang sememangnya kaum yang agak liar perilakunya berikutan hidup mereka yang merantau di padang pasir.

Dan diperlihatkan kepada kita juga apabila dakwah Rasulullah ditentang hebat oleh kafir quraisy sehingga melakukan pelbagai percubaan membunuh Rasulullah, tidak pula Rasulullah membiarkan diri dibunuh dan ketika kafir quraisy mencetuskan perang badar, rasulullah menyusun barisan para sahabat untuk berperang mempertahankan akidah islam.

Dua situasi ini membuktikan betapa perlu meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai. Berhadapan dengan seorang jahil yang melakukan mungkar, dengan sekumpulan kafir yang memerangi islam perlulah dengan tindakan dan langkah berbeza.

Namun ada sesetengah pihak cuba menggunakan nama Saidina Umar dalam tindak-tanduk mereka yang tidak berhikmah dalam berdakwah seolah-olah menggambarkan saidina Umar itu orang yang kasar dan berakhlak buruk. Sememangnya Saidina Umar dikenali sebagai seorang yang tegas dan keras tetapi tidaklah kasar atau berakhlak buruk.saidina umar adalah sahabat Rasulullah yang dididik oleh Rasulullah dengan hikmah, maka tentu saja didikan hikmah Rasulullah menjadikan saidina umar hikmah juga.

Banyak sekali kisah Saidina Umar yang digambarkan berhati sangat tulus dan lembut, kasih sayang umar pada umat islam, dan bagaimana saidina umar seorang yang terbuka, rendah diri dan sedia menerima pandangan orang lain terhadapnya serta sedia mengakui kesalahan diri. Sifat-sifat yang lebih utama ini tidak mahu diteladani oleh pihak-pihak itu, akan tetapi gambaran umar di waktu jahiliyah pula yang diangkat-angkat dan dicontohi. Ketahuilah saidina umar amat menangisi akan zaman jahiliyah beliau.

Penutup

Rasulullah diutuskan ke dunia bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Turunnya baginda menghapuskan kesemua tangan-tangan yang melakukan kerosakan di muka bumi sama ada kerosakan dalam bentuk maksiat dalam diri manusia atau kerosakan fizikal dunia ini. Ajaran Islam disebarkan Rasulullah, dan baginda berjuang untuk menerapkan akidah dan ajaran islam ke dalam hidup manusia. Rasulullah menyeru manusia untuk bersama-sama menjadi umat baginda yang berada di jalan lurus. Rasulullah mempersaudarakan mereka. Rasulullah berbuat baik kepada semua manusia secara adil, untuk menarik manusia supaya menyukai akan kebenaran dan keindahan islam.

Islam tersebar ke seluruh dunia. Umat islam yang mengaku beriman diiktiraf oleh Allah s.w.t sebagai bersaudara. Seorang arab islam dengan seorang india islam adalah saudara. seorang india islam dan cina islam adalah saudara. seorang cina islam dan melayu islam adalah saudara. Kita dituntut menghargai persaudaraan ini dan dilarang bercerai berai. lalu kita menggalas tugas dakwah yang dirintis rasulullah. Dakwah ini pastinya untuk menambahkan lagi bilangan saudara kita dan memperluaskan lagi kesatuan yang diikat dengan penuh kasih sayang ini.

Namun hari ini, ada orang berdakwah dalam masa yang sama mengecilkan bilangan umat islam. Seperti kisah seorang lelaki yang bangkit mahu berjuang dan berdakwah dan mendapati seorang dari saudaranya melakukan kemungkaran, lalu pantas sahaja dia meluahkan "kau kafir!". lalu saudara yang dituduh kafir berkata, " tapi aku masih mahu beriman kepada Allah, aku masih mahu jadi islam". Lelaki itu membalas, " tidak, kau sudah kafir, kau sudah tidak beriman!". Maka dibalas lagi, oleh lelaki yang dituduh itu, " tidak bolehkah aku memohon taubat dan maaf atas kesilapan aku kerana melakukan kemungkaran". Lelaki yang berdakwah berkata, "tidak, kau tidak boleh dimaafkan. kau musuh islam. kau kafir. kau mungkar."

lihat dan bandingkanlah lelaki yang berdakwah itu dengan dakwah hikmah rasulullah. Rasulullah berusaha bermati-matian mengajak manusia menjadi saudara, mengajak menjadi islam, tetapi ada di kalangan kita membuang saudara, dan menghalau manusia dari islam padahal itu bukanlah cita-cita dakwah islam.

Fikirkanlah, jika kita terlihat kemungkaran dilakukan oleh saudara kita yang mereka itu masih mahu pada islam cuma mungkin atas kejahilan atau atas sifat mereka yang belum capai tua, atau masih muda keanak-anakan yang tidak ada faham tujuan, wajarlah dikembalikan saudara kita itu ke jalan yang benar, mengajar dan mengajaklah pada islam dan bukan membuang mereka dari islam malah mengeji mereka sehingga bermusuhan kita semua.

Melainkan datangnya satu golongan yang terang-terang menyeru, "islam adalah musuh kita, perangi dan hapuskanlah islam", maka wajarlah kita memerangi mereka.

semoga kita menjadi orang muda yang tua dan matang yang sentiasa beringat akan kematian yang sudah terlalu hampir akan tiba.

selamat berjuang.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
 
KISAH ORANG-ORANG MUDA
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Orang-orang Tak di Kenal
» orang-orang ini mengaku pernah dibawa ke Neraka
» Orang-orang yang Memiliki Mata Paling Aneh Sedunia
» Orang Tua Vs Kekasih, Pilih Siapa?
» Kisah Orang Batak naik Pesawat

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: