MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 AKU,JAMAAH DAN HIKMAH

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: AKU,JAMAAH DAN HIKMAH   Thu Aug 30, 2007 2:32 am

Hidup bersendirian bukan merupakan sunnah Rasulullah. Namun, ada waktu dan tempohnya manusia perlu bersendiri untuk mencari dan mendalami akan diri dan hati sendiri. Kisah Imam Al Ghazali berpergian bersendirian mencari makna diri dan jiwanya terhadap hakikat kehidupan seorang manusia dan keTuhanan, benar-benar memberikan kesan pada jiwa aku. Aku menjunjung usaha Imam al Ghazali dalam bermuhasabah diri, dan aku benar-benar mahu menjadi sepertinya untuk sama-sama menjumpai apa yang dikatakan sebagai HIDAYAH ALLAH itu. Hati dan jiwa aku sakit. Memang benar, ia sakit atas konflik jiwa, perasaan, diri dan pemikiran aku sejak aku kecil lagi. Pertembungan diri aku dengan suasana masyarakat dan negara benar-benar memberi kesan pada diri aku. Tatkala itu aku menetapkan usaha uzlah bagi mencari kebenaran selama 5 tahun (2005-2010) itu sering saja disalahfahami orang.

Siapa pula yang mengatakan aku menolak hidup berjamaah? Aku menolak untuk menggabungkan diri dengan organisasi atau gerakan jamaah tertentu atas kerana menggabungkan diri pada mereka mengikat aku pada komitmen dan suasana berfikir mereka, lalu bagaimana dengan jiwa aku yang sakit ini? Apa mereka benar-benar sering memberikan aku ruang untuk memulihkannya atau mereka menyesakkan aku lagi?

Aku telah menimbang banyak perkara, dan aku sukakan dakwah menjadi perjuangan aku sehingga menemui kematian nanti yang sudah tidak lama lagi kan muncul, namun sering saja jiwa aku yang menagihkan hikmah berdakwah itu meronta-ronta dan sering bertentangan dengan sikap dan pegangan sesetengah ahli jamaah dalam beberapa organisasi yang ada.

Mengapa aku tolak UMNO

aku mengaku, orang UMNO (bukan semua) punya citarasa untuk maju berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Mereka mahukan anak-anak melayu miskin seperti aku menjadi orang yang dihormati dan tidak dihina apabila berhadapan dengan bangsa lain yang sudah maju di dunia. Soalnya, mereka tidak mahu aku dan bangsaku diperlekehkan. Sejarah ketika British menduduki tanah melayu , dan bagaimana melayu dilayan oleh bangsa Inggeris benar-benar memberikan pengajaran pada mereka. Mereka mahukan ketuanan melayu, atas sebab sakitnya jiwa mereka melihat diri mereka menjadi kuli dan hamba di negara mereka sendiri.

aku bukan asing dari kesedaran itu malah, orang-orang tua di kampung aku juga banyak bercerita soal itu, soal kisah lalu. Aku memang suka mengikuti bicara mereka. Mereka bercerita, jika ada tuan Inggeris mengupah si melayu menjadi drebar pun, melayu dah terasa banggga. Dapat mengelap kereta si tuan Inggeris pun dah rasa glamor. Melayu mula rasa berpakaian kampung itu kolot. melayu mula merasakan berpemikiran akan jin dan hantu itu kampung. Malangnya, mereka tolak terus segala yang baik dari tradisi budaya melayu.

apatah lagi imam-imam di kampung itu tidak tahu berbahasa inggeris atau mahir akan ilmu sains atau mampu berbisnes membina harta, fikir mereka. Mereka pandang kekayaan itu satu kemuliaan. Sehingga timbul satu zaman, melayu juga punya kasta. si miskin di kampung tidak setaraf dengan si kaya di bandar. Apa yang ada pada si miskin? siapa itu kassim selamat? majistret, loyar, doktor, enjinia? lalu ada melayu mula memberontak pada zaman itu dengan menjadi ahli muzik. seni dijadikan jalan buat mereka tunjuk mereka juga mampu glamor.

Glamor dan imej luaran jadi ukuran. di satu pihak melayu memikirkan imej maju itu adalah mampu berbahasa inggeris, kuasai ilmu sains, dan berbisnes menjadi kaya raya. golongan ini menjadi golongan liberal, politikusarap, dan kapitalis keparatis. pada pihak yang satu lagi, imej maju adalah dengan mengubah dan menyerapkan budaya popular barat, yang mudah untuk dibina tanpa perlu bersusah payah bekerja dan menuntut ilmu, hanya bermodalkan sedikit bakat dan rupa, mereka ketengahkan pop yeh yeh, jazz, rock dan sebagainya. Golongan ini akhirnya berkembang menjadi sekularisme artis.

Ketika kesedaran untuk merdeka muncul, para pemimpin yang lahir timbul dari ceruk ceruk dan celah-celah budaya pemikiran imej moden dua golongan di atas sedang berkembang. UMNO juga telah diserapi dan ditunjangi oleh kedua-dua golongan ini, walaupun hakikatnya ada ulama, ada patriot, ada perwira bangsa yang wujud dalam UMNO. Namun dari setahun ke setahun, generasi ke generasi, dua golongan ini segar tumbuh dan diraikan perkembangannya.

Sehinggalah segalanya berkecamuk apabila pertembungan barat dan timur, moden dan islam, menyebabkan pemikiran islam dipecah sebagai "melampau dan sederhana" berakar kukuh dalam UMNO. Pemikiran inilah yang telah meraikan golongan liberal, politikusarap, kapitalis keparatis, dan sekularisme artis terus mendapat tempat mulia di dalam negara. Aku menolak untuk menggabungkan diri dalam UMNO kerana aku tak mampu mengubah dan melawan UMNO dari kepompong pemikiran ini dari dalam, dan aku menganggap strategi yang lebih berkesan aku lawan kelompok ini tanpa diri aku terikat dengan disiplin dan perlembagaan UMNO.

Mengapa aku tolak PAS

Ia soal cinta pada Islam, maka golongan yang menolak proses kebaratan merasakan perlunya menentang dengan berjuang dengan ideologi Islam itu sendiri. PAS pada asalnya dirancang untuk menjadi agen islah atau proses islamisasi UMNO, namun akhirnya keluar berdiri sebagai entiti tersendiri bagi menjadikan Malaysia sebagai Daulah Islam buat orang melayu dan islam.

Walaupun PAS bergerak berdasarkan rentak pemimpin berpengaruh yang datang dan pergi mereka, namun PAS menjadi lambang akan kewujudan satu lagi kelompok dalam masyarakat melayu dalam melihat proses penjajahan dan kemerdekaan di tanah melayu. Mereka mungkin satu kelompok yang kuat menentang penjajahan atas perjuangan mempertahankan akidah dan jihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi malaysia.

Namun, atas sebab kelompok mereka terhimpun dari golongan yang punya kemahiran sehala iaitu berdasarkan ilmu islam semata-mata, maka PAS gagal memperlihatkan imej sebuah kumpulan pemimpin yang mampu memandu pelbagai bidang di malaysia yang diketahui bukan dalam soal syariah semata-mata tetapi turut melibatkan ekonomi, perancangan bandar, diplomasi luar negara dan sebagainya. Namun hal itu ditampung sejak kebelakangan ini apabila wujudnya krisis dan kebobrokan UMNO sehingga ada ahlinya yang punya kemahiran moden menyerap dalam PAS.

Akan tetapi dalam proses penyerapan itu, PAS terlepas pandang apabila unsur politikusarap juga turut dibawa masuk dalam PAS. Politikusarap mungkin seakan fenomena natural yang melanda pada sesebuah organisasi politik yang menyertai sistem demokrasi berpilihanraya, atas sebab prinsip dan aturan sistem itu meraikan pertumbuhan pemikiran politikusarap maka PAS juga turut tidak terkecuali dari unsur ini. Sifat paling ketara adalah apabila PAS membiarkan ahli menjadi taksub pada perjuangan menentang musuh politik hingga sering saja melanggar aspek adab dan akhlak islamiyah. Perkara ini telah memberikan imej agak buruk pada PAS atas sebab sikap ahli penyokong yang hanya terdidik untuk berjuang dalam islam akan tetapi mengabaikan aspek syumulnya islam yang indah dalam membentuk keperibadian muslim.

Ahli yang terbiar dengan imej itu sebenarnya dibela oleh golongan politikusarap dalam PAS. Mereka membiarkan ahli tidak terdidik dengan aturan didikan islam mirip sepertimana Rasulullah mendidik para sahabat hingga membentuk jamaah islam yang syumul dan indah. Politikusarap bertanggungjawab dalam kelemahan ini.Dan atas sebab lompang ini maka unsur khawarij, wahhabi, salafi,eksklusivisme melebar dalam jamaah ini.

aku menolak untuk menggabungkan diri dalam PAS kerana unsur inilah, dan perkara ini bukan teori lagi apabila aku dihina apabila tidak bersama PAS, dan apabila aku menegur atau mengajak pada hikmah golongan politikusarap tidak malu-malu menonjolkan sifat mereka dengan kata-kata makian yang hina hingga mengkafir aku yang sebenarnya tidak pernah diajar oleh dakwah rasulullah dan para sahabat. Islam tidak akan tersebar di seluruh dunia dengan sikap politikusarap tidak beradab ini.aku tidak mampu mengubah PAS dan berlawan dengan unsur ini dari dalam dan aku lebih merasakan strategi dari luar mampu membawa perjuangan lebih suci dan bermakna.

Mengapa aku tolak PKR-Anwarisme

parti ini asalnya parti keadilan yang ditubuh atas faktor Anwar. Anwar Ibrahim satu ikon yang aku kagum pada asalnya. perjuangannya dalam Abim tiada siapa dapat menyanggah bahawa telah mencatatkan satu fenomena islamisasi masyarakat dengan perjuangan dakwah yang unggul. Walaupun sudah menyertai UMNO, seruannya pada islamisasi seperti wacananya mengenai masyarakat madani itu masih lagi aku persetujui.

Namun, apabila parti ini mengambil kaedah demonstrasi jalanan, aku telah mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.Apatah lagi istilah 'reformasi' mula menggema. Aku mengakui, zaman timbulnya parti keadilan inilah merupakan titik tolak buat aku mengkaji politik tempatan dengan lebih mendalam iaitu sekitar tahun 1998.

Reformasi yang pada asalnya ditimbulkan di indonesia oleh mahasiswa kristian yang disokong pope dan melebar hingga menjadi pergerakan mahasiswa secara menyeluruh menjadi titik tolak berjayanya suharto ditumbangkan, seolah-olah menjadi rujukan parti ini. Apatah lagi keahliannya dibuka kepada semua aktivis penegak demokrasi liberal, pejuang hak asasi manusia yang hujah-hujah mereka berkiblatkan barat atau amerika, buat aku lebih curiga.

Strategi perang saraf melalui risalah-risalah propaganda yang mengutuk peribadi pemimpin atau musuh politik mereka dalam UMNO yang dijalankan semasa zaman reformasi 1998/1999 itu turut tidak selari dengan jiwa aku yang mendambakan hikmahnya dakwah seperti mana dakwah rasulullah yang mendidik jiwa.Ia bertentangan dengan banyak prinsip dakwah termasuk yang diperjuangkan Anwar dalam Abim sendiri.

Apatah lagi parti ini akhirnya menerima pergabungan dengan parti rakyat yang rata-rata unsur sosialis yang punya agenda tersendiri itu aku fikirkan banyak menghalang kebangkitan islamisasi syumul.

akhirnya aku tolak bulat-bulat PKR atau Anwarisme untuk menjadi wadah perjuangan aku.

mengapa aku tolak Hizbut Tahrir

Aku sukakan impian dan cita-cita parti ini. Malah aku pernah punya impian itu,aku merasakan seluruh umat islam punya impian yang sama juga. Konsep merobohkan sempadan semua negara islam menjadi suatu empayar besar dengan diketuai seorang khalifah sememangnya amat dicita-citakan oleh seluruh umat islam apatah lagi di zaman ini umat islam tertindas dan tidak terbela.

Konsep intelektualisme yang menghuraikan kepimpinan islam secara ilmiah juga kadang kala memikat hati aku pada jamaah politik ini. Namun, penumpuan kepada usaha mengambil alih kepimpinan sahaja, membuatkan aku tertanya-tanya, apakah konsep mengislah masyarakat itu atau dakwah islamiyah itu hanya selepas tertegaknya daulah islamiyah atau empayar islam ini? Dan bagaimana khalifah yang seorang itu bakal dilantik, atas kategori apa dan siapa?

Mungkin atas sebab aku tidak begitu mendalami kelompok ini, maka aku masih keliru dan begitu banyak sekali tanda tanya. InsyaAllah, aku akan cuba memahami mereka, namun setakat ini aku menolak untuk terus menggabungkan diri tanpa tahu konsepnya bagaimana.

Mengapa aku tolak Rufaqa

Bagi sesiapa yang tidak mendalami kumpulan ini mungkin berpendapat Rufaqa benar-benar hanya sebuah kompeni yang menjalankan perniagaan. Atau jika ada yang mendalami pun, setakat menganggap cuma satu kumpulan ajaran sesat yang sudah tidak bermaya.

Bagi diri aku yang punya sejarah tersendiri dengan kumpulan asal rufaqa iaitu al arqam, pastinya punya perspektif berbeza melihat mereka.

Aku sukakan konsep dakwah al arqam, yang rata-rata teorinya menepati jiwa aku yang mengkehendakikan dakwah hikmah dan renassaince islam. Konsepnya mudah iaitu dalam diri manusia ada hati dan hati ini mengawal segala tingkah laku manusia. Mendidik hati ke arah jalan islam mampu membina keperibadian unggul seorang manusia bergelar muslim. Dari pada manusia ini nanti mereka membentuk keluarga. Pastinya sesiapa yang mengikuti perkembangan al arqam pasti mengingati imej al arqam suatu masa dahulu yang dipandang sebagai jamaah poligami kerana asaari menggalakkan poligami di kalangan ahlinya.

Dari keluarga ini akan dibinakan setiap insan di dalamnya ke arah suasana islam. Dan antara keluarga akan membentuk jiran tetangga yang akhirnya membentuk sebuah kampung atau bandar. Asaari bercita-cita untuk membawa konsep ini dalam membawa malaysia ke arah daulah islamiyah. Dari bandar itu akan membentuk entiti negeri dan seterusnya negara. Konsep dakwah yang mengajar dari hati kepada manusia kepada keluarga kepada jiran kepada kampung kepada bandar kepada negeri seterusnya negara ini benar-benar aku rasakan sebuah konsep yang hikmah.

NAMUN, hal itu tidak berlegar kepada konsep itu semata-mata di dalam arqam dalam hayatnya yang terakhir. Ada konsep daulah kepimpinan imam mahdi dan pemuda bani tamim telah menjadi lebih ulung daripada konsep yang asalnya. Dari konsep itu maka timbulnya pemujaan ke atas asaari dan gelincirnya iktikad dan kepercayaan ahli dalam perjuangan hingga membuatkan aku merasakan jamaah ini tidak akan diredhai oleh Allah s.w.t.

Oleh itu jiwa aku bukan saja mengkehendaki hikmah, tapi yang lebih penting adalah redha Allah. suatu konsep yang dipandang hikmah tetapi melalui jalan yang tidak diredhai akan membuahkan satu perjuangan yang tidak bermakna. Maka aku menolak mereka, menolak asaari, seterusnya apabila sedikit demi sedikit dakyah asaari dan para pemimpinnya kini memperlihatkan pada aku mereka benar-benar bukan jamaah kebenaran malah mungkin membawa kepada kesesatan.

Aku amat percaya asaari masih lagi menjulang impian daulah, apabila rufaqadaily sering saja mempropagandakan konsep mendapatkan daulah yang pernah ditekankan dalam arqam dahulu. Rufaqa mungkin dari luar adalah sebuah entiti perniagaan namun hakikatnya mereka punya cita-cita politik tersendiri.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: AKU,JAMAAH DAN HIKMAH   Thu Aug 30, 2007 2:33 am

Mengapa aku tolak tabligh

jamaah tabligh bukan gerakan politik. konsep daulah juga jarang diperkatakan sesama mereka. Mereka adalah kumpulan yang cuba membaiki diri supaya nanti menjadi asbab suasana umat islam berubah. Dari perubahan itu nanti bukan saja daulah malah kekuatan umat akan tersedia kuat dan perkasa kerana teras perjuangan mereka adalah meningkatkan iman. Iman diyakini oleh mereka menjadi modal terpenting buat manusia muslim.

Konsep ini juga amat menepati jiwa aku yang mahukan hikmah. Hikmah juga berteraskan iman. Allah s.w.t tidak mengurniakan hikmah melainkan kepada yang beriman kepada Allah s.w.t. Aku bersetuju bahawa iman merupakan modal utama perjuangan. Aku yakin setiap pejuang jamaah lain juga meyakini perkara sama atas sebab Rasulullah sendiri diutuskan untuk menyebarkan keimanan kepada Allah s.w.t dan hal-hal ghaib yang lain. Berjuang atas nama islam semata-mata tanpa usaha iman juga adalah perjuangan yang kosong.

Namun, sesetengah ahli tabligh yang benar-benar menggabungkan diri dalam jamaah ini secara aktif rata-rata meyakini bahawa tiada usaha dakwah lain yang lebih berkesan melainkan dengan cara dan kaedah jamaah tabligh semata-mata. Atas konsep inilah maka ia tidak menepati jiwa aku yang lebih merasakan konsep renassaince iaitu penyerapan dan kebangkitan dakwah islam dari segenap sudut kehidupan perlu diwujudkan.

Ertinya dakwah terlaksana oleh seorang pelukis yang melukis, seorang doktor yang merawat, seorang guru yang mengajar, seorang penyanyi yang menyanyi, seorang pensyarah yang bersyarah, seorang blogger yang berblog, seorang petani dan nelayan yang bekerja. Dakwah disampaikan dalam segenap cara dalam setiap masa. Bukan mesti keluar 3 hari atau 40 hari dengan metod jamaah tabligh , walaupun aku menyetujui metod mereka amat penting dan berkesan.

aku menolak untuk menggabungkan diri namun, beberapa kali juga aku mengikuti dakwah mereka dan menyertai mereka atas sebab aku menyetujui ada kesannya pada jiwa dan hati aku dengan tarbiyah mereka. Namun untuk mengatakan semata-mata kaedah itu yang dipanggil sebagai dakwah islam, adalah tidak wajar, dan aku tolaknya untuk tidak menghalang usaha penyerapan dakwah renassaince hikmah.

Mengapa aku tolak wahhabi, salafi, arisme

aku tidak berbicara hal ini kerana telah banyak di dalam entri sebelum ini.


Mengapa aku tidak berpersatuan

Begitu jugalah dalam jamaah-jamaah yang lain yang ada di malaysia sama ada tareqat seperti naqsyabandi yang sibuk dipromosi secara senyap-senyap melalui emel, atau jamaah islah malaysia yang diserapi unsur salafiyyah tidak dapat untuk aku bersama atau menggabungkan diri.

Aku tidak berpersatuan kerana persatuan memerlukan komitmen dan aku mempunyai komitmen dalam misi aku memulihkan jiwa dan pencarian aku kepada HIDAYAH ALLAH dalam tempoh ini. Apatah lagi, aku merasakan banyak kebaikan yang timbul apabila aku tidak berpersatuan kerana ini memudahkan aku untuk bebas mempunyai pendirian dan gerak kerja tersendiri.

aku menolak persatuan buat masa ini hanya kerana ada faktor yang menghalang, dan faktor itu sedikit demi sedikit akan hilang jua. Aku merasakan pengalaman di sekolah dahulu cukup menjadi bekal buat aku dalam membina idealisme dan jatidiri.

Fitrah Perkasa

Konsep gerak kerja dan dakwah jamaah ini lebih aku senangi. Rata-rata penggerak Fitrah Perkasa adalah ahli-ahli bekas arqam, tentunya gerak kerja mereka amat menepati jiwa aku dengan konsep arqam yang aku terangkan sebelum ini. Mereka menyerap masuk dalam segenap pertubuhan untuk memimpin modal insan. Aku menyokong usaha jamaah ini walaupun tidak menggabungkan diri dalam jamaah mereka, kerana mereka sendiri bukanlah gerakan yang terbuka keahliannya tetapi sebagai kumpulan consultant perniagaan yang menawarkan perkhidmatan dakwah.

Apatah lagi ikon dalam Fitrah Perkasa iaitu ustaz hasrizal sendiri mempunyai pengaruh tersendiri dalam jiwa generasi muda yang mahukan jalan perjuangan yang sederhana. Namun aku tidak menolak serba sedikit ada konsep salafiyyah dalam Fitrah Perkasa, namun bukanlah hal itu begitu penting untuk tidak menyokong usaha dakwah mereka yang hikmah.

Konsep jamaah aku seterusnya?

Aku memilih jamaah terbesar umat islam yang mampu menyatukan semua jamaah di atas iaitu firqah ahlus sunnah wal jamaah. Aku masih belum punya ilmu yang cukup mengenainya namun aku akan terus berusaha menguasai ilmu dan pegangan firqah ini kerana aku yakin firqah inilah mampu membawa ke syurga dan diredhai Allah s.w.t.

Konsep jamaah aku seterusnya dapat dilihat pada peranan masjid dan hari jumaat. Masjid tempat yang menyatukan kerana di dalam masjid orang islam dari pelbagai jamaah akan solat berjamaah.Apabila solat berjamaah mereka mestilah merapatkan barisan , bahu membahu seterusnya rukuk dan sujud pada kiblat yang sama.

Pada hari jumaat pula, mereka akan mendengar satu dakwah yang sama dari seorang khatib, dan akan mengikuti dengan taat seorang imam menunaikan solat fardu jumaat.

Inilah konsep jamaah yang rata-rata telah terlaksana dan bukan teori atau retorik. Konsep ini terlaksana dengan jayanya di serata dunia islam apabila setiap hari jumaat umat islam dari pelbagai jamaah akan meraikan konsep jamaah masjid dan solat fardu jumaat.

Cuma ada segelintir menolak konsep ini dengan berpuak-puak bersolat dalam jamaah sendiri dan masjid sendiri. Mereka yang menolak konsep ini, aku memandang sebagai orang yang cuba memisahkan diri dari kesatuan umat islam.

Daripada konsep inilah maka timbulnya idea redha Allah centric dan politik penyatuan dan perpaduan itu. Adakah benar konsep dan idea aku ini cuma retorik dan teori semata-mata, ia akan menjadi teori apabila semua jamaah menolak untuk bermuhasabah dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan kesatuan umat islam yang berpadu. Banyak sekali faedah yang akan diperolehi termasuklah dapat menjayakan renassaince hikmah islam dengan lebih lancar.

Akhirnya aku tidak menggabungkan diri dalam mana-mana jamaah namun menyokong usaha jamaah masjid dan penyatuan kesatuan umat islam. Lalu konsep "bertolong-tolonganlah dalam kerja kebajikan" membuatkan aku menyokong setiap seruan dan cadangan dari pelbagai jamaah yang mengarahkan kepada kebajikan dan sanggup bekerjasama dan bahu membahu bersama mereka tidak kira dari UMNO, PAS, PKR, dan lain-lain bagi merancakkan renassaince hikmah islam.

Aku percaya rakan-rakanku yang rata-rata meraikan pemikiran aku ini, yang berada dalam UMNO, PAS, PKR, HT, dan lain-lain akan merancakkan renassaince hikmah islam dalam dunia politik tanah air dan dalam parti masing-masing. Mereka dapat berbuat perubahan yang aku tidak mampu melakukannya.

Manakala aku menumpukan pada golongan yang melarikan diri dari perjuangan iaitu mereka yang hidup hanya untuk hidup, mereka ini bilangannya tidak kurang ramainya dan tenaga mereka perlu dibersamakan dalam usaha ini, dalam perjuangan ini. Akhirnya akan bertemulah kita pada titik kesatuan umat islam iaitu jamaah terbesar yang menyatukan.

Dan aku benar-benar berharap ini bukan suatu teori mahupun retorik dan aku tidak akan tenggelam dalam dunia fantasi, tetapi aku benar-benar sedang menyiapkan pelan gerak kerja bukan untuk setahun dua tapi satu perancangan panjang yang jika diizinkan Allah akan terlaksana insyaAllah. Cuma aku perlukan kekuatan dan istiqamah. dan itu hanya dari Allah sahaja dapat ku harapkan. ameen.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: AKU,JAMAAH DAN HIKMAH   Thu Aug 30, 2007 2:34 am

Aku masih ingat dalam kursus atau kem motivasi yang aku sertai di zaman sekolah rendah sering diingatkan akan rahsia menghadapi peperiksaan iaitu 2 perkara. Pertama, peri pentingnya menghasilkan peta minda. Kedua, peri pentingnya belajar berkumpulan.

Kumpulan itu lebih baik dari berseorangan. Seekor kambing yang berkumpulan sukar diserang oleh serigala, manakala kambing yang bersendirian akan mudah diterkam dan diserang. Dua kepala lebih baik dari satu kepala. Dan sebatang lidi itu rapuh, tapi segenggam lidi itu ampuh.Menunjukkan betapa kita sememangnya memahami berjamaah itu satu keperluan dan bukan satu pilihan semata-mata. Mahu atau tak, kita perlu berjamaah.

Asas hidup berjamaah dalam islam itu adalah persaudaraan. Sebab itu selepas berhijrah ke madinah, jika rasulullah tidak mensaudarakan aus dan khazraj, muhajirin dan ansar, maka masjid nabawi itu tidak akan penuh dan imarah dengan solat jamaah.Atas sebab bersaudaralah maka orang islam boleh berdiri bahu membahu dalam saf solat, rukuk dan sujud menghadap kiblat yang sama.

Tidak hairan jika Imam Hassan Al Banna dalam membentuk jamaah dakwahnya iaitu ikhwanul muslimin menekankan akan konsep bersaudara ini dan menjadikan usrah sebagai teras dalam usaha tarbiyyah ahli-ahlinya. Kalimah 'ikhwan' itu sendiri bermaksud 'bersaudara'.

Oleh itu selaras dengan perintah Allah agar umat islam tidak bercerai berai dan bersatu di tali Allah, maka Allah s.w.t juga menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin itu bersaudara. Bererti orang-orang yang beriman yang peluk sungguh-sungguh tauhid Islam ini maka kita perlu akui kita adalah bersaudara, tidak boleh bercerai berai, tidak boleh bersengketa, perlu bersatu, dan kita adalah satu jamaah.

Sebab itu firqah ahlus sunnah wal jamaah mementingkan hubungan persaudaraan dan tidak mudah bagi kita mengkafirkan saudara kita sendiri. Berbeza dengan firqah lain yang begitu mudah melihat firqah selain mereka sebagai kafir, malah mengkafirkan sejumlah bilangan para sahabat Rasulullah sendiri.

Mungkin penggunaan 'islam' pada nama organisasi atau kumpulan dibenarkan dalam undang-undang Malaysia, namun sesetengah ahli masyarakat begitu senang untuk mentakrifkan kumpulan atau jamaah mereka saja yang islam atas sebab nama islam tertera dengan jelas didaftarkan pada jamaah atau kumpulan mereka.

Agak aneh sekiranya seorang ahli atau penyokong kumpulan yang berlabel islam secara nyata dan jelas sekadar berbangga dengan perjuangan jamaahnya yang berlandaskan islam namun tidak pula meletakkan diri mereka sendiri dalam landasan atau jalan islam.

Berbangga menjadi ahli jamaah islam dan menganggap diri mereka sudah berjamaah, namun nilai persaudaraan dan kepentingan impian bersatu dan berpadu bagi orang beriman tidak dihayati langsung padahal persaudaraan dan impian bersatu itulah teras jamaah islam yang dibina oleh rasulullah di kalangan para sahabat.

Mentaliti orang-orang sebegini menjadi bertambah keliru apabila kita berkata pada mereka,"aku tolak untuk menjadi ahli jamaah kamu", maka dengan pantas mereka akan anggap kita tidak berjamaah. Dengan pantas mereka akan membayangkan kita tidak berdakwah. Dengan pantas mereka akan anggapkan kita sebagai tidak memahami peri penting berjamaah.

Padahal, jika ditanya pada mereka, setelah mereka itu menjadi ahli jamaah yang mereka sertai itu, apakah amalan jamaah yang mereka telah laksanakan, sesetengah mereka tidak lakukan apa-apapun melainkan hanya menghebahkan diri saja sebagai ahli jamaah. Ada juga yang jawab dengan pantas mereka berbangga bahawa mereka solat berjamaah, mereka mengikuti ceramah dan usrah, mereka berdakwah dan perjuangkan islam. Lalu apabila kita berkata pada mereka, kita juga solat berjamaah, kita juga mengikuti ceramah dan usrah, kita juga perjuangkan islam,lalu kita tetap dianggap tidak berjamaah. Oleh itu seakan mentaliti golongan sebegini berfikir bahawa berjamaah itu adalah dengan mendaftarkan diri pada sesebuah organisasi?

Atau apabila berfikrah seperti mereka baru dikira berjamaah? Atau jika kita diikat dengan baiah baru dikira berjamaah? Atau jika kita menjadi pekerja bagi satu-satu kumpulan baru dikira berjamaah? Lalu orang-orang yang selain dari itu semuanya adalah ditakrifkan sebagai hidup bersendiri, nafsi nafsi, dan tidak berjamaah walaupun orang-orang itu solat berjamaah, sentiasa mementingkan ukhuwah, pererat hubungan kekeluargaan dan silaturrahmi, ziarah menziarah sesama keluarga, jiran , sahabat handai, menjalankan dakwah dalam pelbagai cara, sentiasa menulis, bercakap, mendengar akan ayat-ayat Allah, menuntut ilmu dari para ulama, sebarkan ilmu pada keluarga dan masyarakat,dan menyeru agar muslim bersatu dan berpadu?

Mengadakan kumpulan-kumpulan kecil dengan tujuan mengadakan fokus dalam perjuangan itu satu strategi yang baik, namun untuk mendewa-dewakan kumpulan kita itu sehingga merasakan kumpulan kita itulah satu-satunya kelompok yang Allah redha dan sayang merupakan satu jenayah mentaliti.Malah ada juga yang mencanangkan menjadi ahli jamaah mereka saja sudah dijanjikan syurga.

Dalam entri sebelum ini, sengaja saya tuliskan istilah 'tolak jamaah' supaya diperlihatkan pada saya siapakah golongan bermentaliti sempit seperti di atas.Namun jika ada orang yang meneliti tulisan saya dan memahaminya (maaf jika bahasa saya aneh-aneh hingga buat kalian tak faham) pastilah orang yang memahami itu dapat menangkap maksud entri sebelum ini adalah seruan supaya muhasabah, perbaiki kelemahan, dan bergabung serta bekerjasama.

Saya katakan saya tolak satu-satu jamaah dalam erti tidak mahu menggabungkan diri dalam organisasi jamaah itu, bukanlah atas sebab jamaah itu tidak baik, akan tetapi kerana ada unsur-unsur yang menentang aspirasi jamaah muslim.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
Sponsored content




PostSubyek: Re: AKU,JAMAAH DAN HIKMAH   Today at 8:04 pm

Kembali Ke Atas Go down
 
AKU,JAMAAH DAN HIKMAH
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Profil Mereka (teroris)
» Zarmina, Planet 'Kembaran' Bumi

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: