MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 AKU DAN PERJUANGAN

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: AKU DAN PERJUANGAN   Thu Aug 30, 2007 2:35 am

Aku MFR. Ya, itulah nama yang aku gunakan sejak berusia 7 tahun secara rasmi merujuk kepada karya komik aku yang pertama bertajuk " Street Fighter MFR" di Methodist English School Ayer Tawar (sekarang mungkin namanya SRK Methodist Ayer Tawar) Perak Darul Ridzuan.

Komik itu dilukis atas buku garis satu,yang ada baris ,dilukis menggunakan pensel dan tidak lebih dari 6 orang membacanya.Dan kesemua mereka adalah murid tahun satu sebaya denganku.Komik itu akhirnya dipinjam oleh seorang rakanku,dan dia tidak memulangkan semula sehingga ke hari ini. Itu kisah pada tahun 1992.

Sejak kecil aku cuba mencari erti hidup. Aku masih ingat bagaimana setiap hari dunia aku berulang-ulang pada satu rutin yang sama. Aku bangun pagi, kadang kala aku solat subuh, kadang kala aku tak solat.Mandi, dan bersiap-siap memakai baju sekolah dan menunggu bas bersama-sama abang,kakak,adik aku, dan dan anak-anak jiran yang lain di Taman Dindings Ayer Tawar.Kadang kala umi aku akan sediakan telur separuh masak diletak kicap dan lada putih untuk setiap seorang anaknya sebagai sarapan. Kadang kala umi aku tak sempat sediakan sarapan dan membekalkan kami dengan sandwich sardin untuk bekal.Abi aku akan memberikan pesanan yang hampir sama setiap hari selepas kami bersalam dengan abi untuk mendapat restu ke sekolah, dengan pesanan "belajar rajin-rajin".

Ya, itu perjuangan aku yang pertama buat aku dalam hidup aku. Tapi aku begitu percaya bahawa 'belajar rajin-rajin' bukan satu-satunya perjuangan dan matlamat manusia. Pernah suatu pagi apabila menaiki bas yang konduktornya ialah seorang perempuan tua india yang kami panggil 'aunty' bercerita dengan aku perihal dirinya, "kamu semua ini untung, dulu aunty masa kecil tak ada peluang pergi sekolah, aunty mahu belajar, tapi tak ada peluang. Sampai sekarang aunty boleh baca sikit-sikit saja tulisan melayu, tulisan tamil pun kadang-kadang aunty keliru.belajarlah rajin-rajin".

Aku cuba memahami apakah perjuangan manusia sebenarnya di sebalik misi belajar rajin-rajin itu. Aku sering menoleh ke tingkap bas melihat pakcik-pakcik tua cina pagi-pagi lagi sudah bersenam taici di pekan ayer tawar itu, sambil yang lain sudah bersiap-siap membuka kedai. Apa pula misi dan perjuangan pakcik-pakcik itu semua? Mereka tidak mahukah turut serta dalam perjuangan aku ke sekolah ini?misi belajar rajin-rajin?

Aku semakin yakin bahawa ada satu misi perjuangan yang masih dirahsiakan dari pengetahuan aku oleh orang-orang dewasa. Aku tak dapat nak menghuraikan kenapa aunty menjadi konduktor bas sekolah, kenapa pakcik cina bersenam taici,atau membuka kedai di pekan, dan apa pula misi abi dan umi ku sendiri, dan apa misi keseluruhan manusia di dunia ini?

Aku melihat setiap hari kawan-kawan aku ke sekolah dengan beg-beg yang berat, membuka buku ketika guru mengajar dan mengambil ujian di setiap bulan. Sebenarnya untuk apa semua ini dilakukan? Seorang guruku seorang perempuan berbangsa cina bernama cikgu yeoh sering mengingatkan aku supaya mengejar gred yang baik supaya nanti boleh berjaya dalam peperiksaan. Ketika aku bertanya, ke manakah aku akan pergi selepas berjaya dalam peperiksaan itu, maka cikgu yeoh memberitahu bahawa selepas peperiksaan itu akan ada peperiksaan lagi. Mula-mula UPSR, PMR, dan kemudian SPM. Dari SPM boleh ke menara gading. Itulah kemuncak kejayaan misi belajar rajin-rajin iaitu melayakkan diri ke menara gading.

Tapi aku tak berpuas hati. Aku masih rasa itu bukan perjuangan yang dapat menjelaskan kenapa manusia berhempas pulas bekerja selepas keluar universiti, tidak dapat menjelaskan kenapa perlu ada perdana menteri menguruskan sebuah kerajaan, tidak dapat menjelaskan kenapa ada pembangkang politik, ada musuh seperti amerika syarikat, serbia, atau bosnia yang dizalimi. Jika masuk universiti merupakan perjuangan yang agung, mengapa manusia masih terus berhempas pulas mengharungi hidup selepas keluar? Manusia berjuang ke mana akhirnya?

Aku mencari dan mencari. Di samping aku keliru. Aku sukakan lukisan. Street Fighter merupakan satu fantasi yang pertama buat aku teruja. Dengan 12 watak yang punya kuasa tersendiri, bangsa tersendiri, negara tersendiri, mereka bertempur dan berjuang. Aku begitu menggilai Street Fighter. Pernah sekali aku memandang kawan-kawan aku dengan beberapa pelajar tahun 3 dan 4 sedang bermain video game dalam sebuah pusat permainan video dari luar cermin. Abi memang tidak izinkan kami adik beradik mendekti budaya bermain video games yang sedang menular di kalangan pelajar-pelajar di zaman itu. Abi katakan itu budaya rosak, itu budaya hina dan keji. Tapi aku sukakan watak-watak dari permainan video itu.

Aku kaji kepelbagaian watak dan cerita mengenai Street Fighter. Aku begitu mahu mendalami dan mengetahui kisah di sebalik watak-watak itu. Akhirnya aku buat keputusan di pertengahan tahun 1991 untuk menerbitkan sebuah komik aku sendiri dan jalan cerita aku sendiri mengenai Street Fighter. Maka lahirlah Street Fighter MFR dari aku yang ketika itu berumur 7 tahun.

Kisahnya perihal sekumpulan watak baik melawan watak jahat. Perjuangan manusia aku takrifkan sebagai perjuangan kebaikan melawan kejahatan. Apa itu baik? Apa itu jahat? masih belum dapat aku kupas dengan baik. Tapi itulah kesimpulan awal yang aku dapat berikan terhadap konflik diri aku untuk kenal erti hidup. Perjuangan kebaikan melawan kejahatan.

Misi belajar rajin-rajin adalah satu proses berjuang. Pelajar yang baik adalah yang belajar rajin-rajin. Manakala pelajar yang jahat adalah yang tidak belajar rajin-rajin. Maka aku menganggap hidup aku bagaikan sebuah cerita yang panjang.Hari ini aku belajar di sekolah rendah,kemudian di sekolah menengah, dan kemudian ke universiti. Selepas itu aku akan ke alam pekerjaan, perkahwinan, dan alam menemui kematian. Setiap alam perjuangan , perlulah aku menjadi watak kebaikan yang melawan watak kejahatan. Tapi siapakah yang baik? siapakah yang jahat?

Sehinggalah aku mula membongkarkan rahsia misi perjuangan manusia dengan mencuri-curi dengar perbualan orang-orang tua dalam keluarga dan keturunanku. Semakin aku mendengar, semakin aku berminat untuk membongkar. Sehinggalah datukku meninggal pada satu masa, lalu aku bertanya pada umi ku, "mengapa orang ramai berkumpul pada hari ini?". Umi menjawab,"hari ini datuk kamu meninggal, dan kita semua bersedih".aku juga turut menangis walaupun aku tidak pernah menyayangi datukku. Aku tidak begitu kenal siapakah orang tua yang nazak itu, cuma Abi memberitahu itulah Abi kepada Abiku.Datuk ku lumpuh dan nazak pada saat-saat akhir hinggalah beliau meninggal pada masa itu. sewaktu aku masih mencari erti sebuah kehidupan.

Sebuah kehidupan itu ertinya pada sebuah kematian. Itulah yang aku dapat rasakan. Dan membuatkan aku berfikir begitu panjang. Untuk apa manusia berjuang melawan kejahatan dan akhirnya setiap manusia itu pasti meninggal? Untuk apa? Untuk ke mana? Berjayakah seorang manusia yang sudah menjadi mayat? Berjayakah seorang manusia yang menemui ajal? Aku semakin hampir kepada satu jawapan.

Abi bercerita, dunia ini hanya tempat olok-olok. Setiap sesuatu itu bukan kekal abadi dalam dunia. Allah datangkan pemandangan dan segala macam kehidupan di dunia hanya untuk sebuah ujian. Ujian untuk manusia membuktikan pada Allah bahawa mereka adalah hamba yang baik, mereka adalah hamba yang taat, mereka adalah hamba yang cinta Tuhannya.

Lalu adakah kebaikan itu ialah Tuhan dan apa pula kejahatan? Abi bercerita, musuh manusia ialah syaitan, itulah musuh yang nyata.Tidak ada selindung. Tidak ada percanggahan. Kerana syaitan sendiri sudah mengisytiharkan akan memusuhi anak adam ini, membawa anak adam masuk dalam lembah kedurjanaan dan azab api neraka bersama-sama mereka. Lalu itulah unsur kejahatan yang perlu aku lawan dalam hidup ini.

Syaitan musuhku. Abi bercerita, manusia ada satu kelemahan namanya nafsu. Nafsu itu satu nikmat, tapi nafsu itu sifatnya suka meminta tanpa cukup. Oleh itu nafsu sering tergoda dengan janji dan hasutan syaitan. Nafsu sering menipu manusia. kerana nafsu sendiri mudah tertipu.

Aku sering bertanya, apakah bentuk-bentuk menunjukkan nafsu sedang menipu manusia? Abi bercerita, semua perasaan manusia terhasil dari nafsu. Manusia sedih, marah, suka,gembira, cinta, sayang, sakit, pilu, putus asa, lemah, kuat semangat dan sebagainya semuanya datang dari nafsu. Manusia tertipu dengan nafsu apabila manusia tidak dapat mengawal dan mengurus perasaan itu ke tempat yang sepatutnya. Manusia bersedih hingga meronta-ronta, menangis tanpa henti menepuk-nepuk dada adalah tertipu dengan nafsu. Manusia marah mencarut-carut, memaki hamun, memukul-mukul dan berhempas-hempasan adalah tertipu dengan nafsu. Manusia suka bersukaan, gembira hingga ketawa terbahak-bahak, tanpa henti, menepuk-nepuk lantai, berdekah-dekah adalah tertipu dengan nafsu. Manusia cinta dan sayangpada makhluk hingga sering memuja-muja, angau, dan lalai serta khayal dengan fantasi adalah tertipu dengan nafsu. Manusia sakit, pilu, lemah semangat berputus asa hingga tidak berusaha menghadapi masalah adalah tertipu dengan nafsu. Manusia bersemangat meluap-luap, hingga meluru pada sesuatu tanpa memikir panjang, tanpa merancang adalah tertipu dengan nafsu. Manusia tertipu dengan nafsu apabila manusia lalai pada petunjuk Allah.

Petunjuk Allah memberikan panduan. Dan panduan untuk manusia di akhir zaman ialah Al quran. Al quran diberikan pada nabi Muhammad s.a.w yang merupakan contoh teladan yang baik ditinggalkan untuk manusia bernama sunnah rasulullah. Berpegangnya manusia pada kedua-dua petunjuk ini kelak tidak akan sesatlah manusia itu terleka dengan nafsu dan syaitan.

Itulah perjuangan manusia. Manusia berjuang di dunia untuk tidak terlalai dengan syaitan dan nafsu, dan berlawanlah manusia yang beriman pada kedua-dua petunjuk Allah iaitu alquran dan sunnah rasulullah dalam menghadapi ujian yang datang dari musuh. Manusia yang tersesat akhirnya akan membentuk manusia jahat. Manakala manusia yang beriman adalah manusia baik.Lalu apakah manusia baik tugasnya menghapuskan manusia jahat?

Tidak kata abi.Abi bercerita, Rasulullah diutuskan bukan untuk membunuh manusia jahat. Dalam manusia yang jahat itu, ada manusia yang mampu menjadi baik. Sahabt-sahabat rasulullah juga ada pada asalnya merupakan musuh baginda, namun Rasulullah tidak berjuang membunuh mereka tetapi membaiki mereka,hingga mereka menjadi pembela Rasulullah yang pertama.Rasulullah ditugaskan untuk menyampaikan. Untuk membaiki apa yang rosak. Untuk memimpin dan memandu. Maka itulah tugas umat Rasulullah yang mencintai Rasulullah. Dakwah. Itulah perjuangan manusia baik. Manusia baik berdakwah.menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan.

Lalu aku tanyakan pula, bagaimana berdakwah?Abi senyum dan ajarkan,"berdakwahlah dengan hikmah, kerana itulah dakwah yang Allah redha".

Aku tanyakan, "apa penting keredhaan Allah?". Abi senyum lembut, "itulah impian setiap manusia baik. Iaitu mahukan keredhaan Allah. Cukup redha Allah dalam setiap usaha dan perjuangan. Tidak manusia baik itu mengharapkan ganjaran keduniaan".

Lalu, adakah itu tujuan sekalian manusia dijadikan? Untuk berkejar-kejar menjadi hamba Allah yang diredhai. Abi mengangguk,"tidak Allah jadikan manusia dan jin melainkan untuk mengabdi padaNya". Abi menyambung,"Allah menciptakan dunia ini berpasang-pasangan. Ada hitam ada putih. ada lelaki ada perempuan. begitu juga kebaikan dan kejahatan.Oleh itu manusia yang baik adalah manusia yang memilih kebaikan.Dan menjadi manusia yang baik adalah berdakwah. Iaitu mereka sendiri taat pada Allah dan mereka mengajak orang lain untuk taat sama. Maka mereka serukan kepada kebaikan, membaiki apa yang rosak, menunjukkan apa yang betul, memimpin dan memandu, menjadikan diri mereka contoh panduan untuk diteladani.Tapi manusia yang memilih kejahatan sering memilih 'tuhan' yang lain untuk taat. Sebahagiannya sedar, sebahagian lagi tidak sedar. kadang kala manusia ber'tuhan'kan dunia, ber'tuhan'kan nafsu, ber'tuhan'kan syaitan, semuanya adalah manusia yang sesat dan perlu dikembalikan pada petunjuk Allah. Maka manusia yang baik yang berdakwah tadilah perlu berjuang membawa segala kejahatan ini kepada kebaikan hingga terhapuslah segala kejahatan."

"manusia yang baik akan sering diuji. Mengajak kepada kebaikan dan melawan akan pengaruh dunia, pengaruh nafsu, dan pengaruh syaitan akan buat manusia yang tersesat selalunya tak suka.Kerana itu sebelum Nabi Muhammad diutuskan lagi sudah ada nabi sebelum baginda yang sering diuji dengan mereka yang mendengar akan dakwah akan mengeji dan melabel-label serta mengecop sebagai ahli sihir atau orang yang gila.Padahal nabi-nabi itu semuanya utusan Allah, yang berjuang berdakwah, tiada lain dikejar melainkan mengharap kepada keredhaan Allah s.w.t semata-mata.Sesungguhnya manusia yang tertipu dengan dunia, nafsu dan syaitan adalah serta menolak akan dakwah kebenaran adalah manusia-manusia yang melampaui batas.Maka berpalinglah dari mereka, sesungguhnya kita tidak akan tercela. jangan mengikut sikap dan rentak mereka. walaupun mereka menjerit mengatakan kita celaka, sesungguhnya kita bukan orang celaka."

"Dan tetaplah memberikan peringatan, jangan berputus asa.Tetaplah berjuang berdakwah. tetaplah berdakwah di jalan hikmah. tetaplah menyeru manusia dan memberikan pesanan, kerana peringatan, seruan dan pesanan itu amat bermanfaat bagi manusia yang beriman. kita tidak tahu siapa yang beriman dan siapa yang tidak. Maka terus terusan berdakwah, kerana dakwah sangat berguna untuk orang-orang yang beriman yang menerima dakwah kita.Itulah tujuan kita ke dunia. itulah ibadah kita pada Allah. abdikan diri dalam perjuangan di jalan Allah adalah dengan perjuangan ini. berdakwahlah dengan hikmah, berjuanglah demi redha Allah"

Itu pesanan abi buatku. Buat aku menyedari bahawa hidup ini adalah menuju kematian. Dan kematian yang menemui kemenangan hanyalah mati sebagai hamba Allah yang diredhai. maka aku mahu menjadi orang berjuang. Mahu menjadi orang di jalan kebenaran.

Lalu dengan cara dan strategi apa pula dapat aku gunakan nikmat Allah dalam perjuangan ini?
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
 
AKU DAN PERJUANGAN
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: