MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 HIMPUNAN IDEA DAN STRATEGI

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: HIMPUNAN IDEA DAN STRATEGI   Thu Aug 30, 2007 2:45 am

berblog

Walaupun aku mula berblog pada tahun 2004, namun entri-entri sewaktu itu tidak benar-benar berani mengutara dan menghebahkan idea, strategi dan pendirianku selama ini. Hanya selepas tahun 2006, aku menjenamakan beberapa laman aku dan akhirnya, aku memilih sistem blog untuk aku tumpukan segala idea dan strategi selama ini supaya senang untuk aku merujuknya di kemudian hari.

Aku tidak tahu apakah akan terjadi 'internet blackout' hingga terhapus semua data dalam internet atas sebab saratnya maklumat yang terkumpul selama ini. Aku juga tak pasti jika ada yang bimbang akan hal ini pasti berlaku, namun yang pasti belum ada yang benar-benar serius untuk berdiskusi hal ini berikutan ramainya pengguna internet tidak tahu benar-benar bagaimana internet berfungsi atau boleh berfungsi.

Walauapapun, atas sebab keyakinan aku akan ajal yang pasti tiba tidak lama lagi, maka usaha perkongsian idea mesti dimanfaatkan,apatah lagi pengguna internet warga malaysia kebanyakannya remaja dan belia.Aku yakin penggerak utama mana-mana gelombang di dalam dunia adalah dari kalangan remaja dan belia.Oleh itu, jika aku benar-benar serius mengimpikan sebuah gelombang yang me 'revolusi'kan segala bentuk sistem dan keadaan supaya menggerakkan umat dan masyarakat ke arah pembentengan kehancuran yang direncanakan musuh,maka usaha menulis di dalam blog mesti diteruskan.

idea dan cita-cita

Teringat aku, kata-kata Dr Asmadi pada kami peserta MAP di Ipoh pada tahun 1999 dahulu,

lebih kurang berbunyi,
"mengejar matlamat dan cita-cita bukan bertanyakan diri ,'apa yang aku perlu buat untuk jadi apa yang aku cita-citakan', akan tetapi bertanyakan diri 'apa yang aku belum buat untuk jadi apa yang aku cita-citakan'.."

dan sebuah lagi kata-kata Dr Asmadi dalam menerangkan tentang hal cita-cita ini,

"matlamat perlu didefinisikan sebagai suatu sasaran atau target yang menghantui kita setiap hari"

memang aku tidak dapat melupakan jasa Dr Asmadi sampai bila-bila, kerana atas kata-kata beliau di ataslah membuatkan aku terfikir, mengapa tokoh-tokoh di zaman silam tidak takut untuk bekerja kuat mengejar matlamat mereka, bukanlah kerana mereka mahu mencari nama atau mahu dipanggil sebagai tokoh, tetapi kerana mereka sedar pentingnya matlamat mereka dijayakan.

lihat saja saintis-saintis yang bereksperimen bagai nak mati, bukanlah mahu mencari glamor atau popular, malah sering saja sebelum penciptaan mereka itu berjaya, teori mereka untuk menjayakan penciptaan itu saja sudah dikecam atau dicaci sebagai gila atau sewel.

agaknya, sebelum ada lampu atau kapal terbang, apabila diutarakan idea bahawa "malam di kota boleh terang benderang seperti siang" atau "manusia boleh terbang dari barat ke timur dengan besi yang berat" pastinya dianggap teori menggila atau tidak siuman. Apatah lagi jika ada orang yang memandang rendah atau remeh dengan mendakwa kita yang mengutarakan suatu idea atau cita-cita merupakan seorang yang retorik atau mengejar fantasi semata-mata.

Dr Asmadi membuatkan peserta MAP menjadi berani dari dibelenggu rasa takut untuk berkreatif dan berani untuk mengutarakan idea,atas banyak nasihatnya. Tidak salah aku menyebut jika Dr Asmadi lebih hebat dari Anwar Ibrahim, lebih hebat dari Dr Mahathir, lebih hebat dari Dr Fadhilah Kamsah, atau lebih hebat dari Dr Asri atau Ustaz Hasrizal dalam hal 'tajdid'.Sekurang-kurangnya dari kaca mata aku, dan jika Allah izinkan aku berjaya dalam hal cita-citaku, tentunya guruku Dr Asmadi lah yang akan mendapat kredit yang paling besar.

Aku pilih perjuangan islam

Ketika hari pembentangan 'cita-citaku' di majlis penutup MAP, aku antara peserta MAP yang diberikan peluang untuk berucap di depan peserta lain dan para ibubapa termasuk ayah dan adikku yang juga salah seorang peserta MAP.

Itu kali pertama, aku berucap dengan penuh keyakinan untuk tidak lagi toleh ke belakang, akan tetapi akan terus ke depan tanpa takut lagi akan dikecam atau diejek-ejek, dan Dr Asmadi buat aku jadi bangga dan bersyukur menjadi seorang Muhammad Fakhrul Razi atau MFR.

Dr Asmadi bukan sekadar mengajar teknik-teknik belajar berkesan atau hal menetapkan cita-cita sebenarnya. Akan tetapi jauh dalam sudut hati Dr Asmadi jelas terpancar kerisauannya tentang hal umat islam terutamanya orang melayu. Oleh itu, apabila peserta MAP disuruh mencari cita-cita yang paling tinggi, aku memilih untuk jadi pejuang islam,dan aku rasa tiada yang lebih mulia menjadi pejuang islam yang menghabiskan hidupnya untuk berdakwah dan memajukan umat.


Aku penentang sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan

Sebenarnya, walaupun Dr Asmadi adalah seorang yang hebat dari kaca mata aku, namun hasil didikan Dr Asmadi itu akhirnya membuatkan aku tidak mudah menerima apa-apa teknik-teknik atau tips-tips tertentu dari sesiapa melainkan aku sendiri mengusahakan teknik dan tips diri aku sendiri. Oleh itu, akhirnya aku bukan saja tidak amalkan apa yang Dr Asmadi ajarkan walaupun aku akui kebenaran teknik dan tips Dr Asmadi,malah akhirnya teknik belajar menghadapi peperiksaan yang aku inovasikan dari teknik Dr Asmadi menemukan aku pada satu hakikat. Iaitu kepincangan matlamat peperiksaan itu sendiri.

Setelah bereksperimen dan menjalankan analisis yang pelbagai menggunakan diri aku sendiri sebagai 'tikus makmal'nya, maka aku telah memahami bahawa sistem berorientasikan peperiksaan menghancurkan pendidikan manusia. Aku akhirnya bertekad menghapuskan sistem pendidikan ini dan akan bersungguh-sungguh merangka pendidikan yang aku panggil sebagai 'pendidikan pejuang' untuk dijadikan sebagai ganti.

Beza tara yang paling besar antara 'pendidikan berorientasikan peperiksaan' dengan 'pendidikan pejuang' tentunya dari matlamatnya sendiri iaitu pendidikan pejuang itu bermula dengan 'mengenal Allah' dan berakhir dengan 'mencari redha Allah', sedang pendidikan berorientasikan peperiksaan itu bermula dengan 'membaca, menulis dan mengira' dan berakhir dengan peperiksaan dan sijil atau ijazah.

Dan dari segi konsepnya juga punya perbezaan yang ketara iaitu, pendidikan pejuang meraikan bakat dan kebolehan seorang manusia yang pelbagai dan pengisian pendidikan adalah memfokuskan kepada usaha mengasah dan menggilap bakat dan kebolehan itu supaya akhirnya terbentuk seorang manusia yang berjuang. Akan tetapi pendidikan berorientasikan peperiksaan menetapkan jalan-jalan piawai untuk membezakan manusia cemerlang dan kecundang dari sudut piawai peperiksaan yang dipanggil sistem markah,gred atau pointer yang akhirnya melahirkan seorang penjawab soalan peperiksaan yang cemerlang atau penulis ilmu yang gemilang. Untuk melahirkan pekerja berkualiti mahupun seorang pejuang, seorang manusia itu perlu mencari jalan di luar sistem dan lebih dikenali sebagai inisiatif diri. Sedangkan inisiatif diri banyak bergantung pada suasana tarbiyah dalam keluarga dan suasana masyarakat sekeliling atau setempat. Dan amatlah parah jika sistem keluarga adalah pincang, masyarakat pula amat songsang, maka pendidikan berorientasi peperiksaan bukan saja tidak menjamin lahir individu pejuang malah mungkin membarahkan lagi umat manusia yang lahir darinya.

Ini dapat dikesan dari penghayatan ilmu dalam kedua-dua sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dan sistem pendidikan pejuang itu. Pendidikan pejuang membuatkan peserta sistem gembira dan berkejar-kejar untuk mengutip ilmu atas sebab sistem menggalakkan fokus kepada minat dan kecenderungan manusia.Sedangkan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan menetapkan piawai peperiksaan hingga melahirkan suasana tekanan menjelang peperiksaan, fenomena ponteng (atau ditakrif sebagai lari dari sistem sebagai refleks kebobrokan sistem) dan juga piawai yang menghasilkan produk yang mengelirukan (merujuk kepada banyak kes seorang yang diiktiraf bijak oleh sistem belum tentu seorang yang bijak dalam perjuangan atau kehidupan).

atas sebab hal di atas, aku memilih menjadi penentang kuat sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan, walaupun aku sendiri masih melalui sistem ini sebagai syarat yang masyarakat berikan padaku untuk idea aku benar-benar didengari.

aku berusaha membina diri menjadi pejuang ekonomi pejuang

memang sudah lama aku menjadi anti kapitalis. Apabila sejak kecil aku dari keluarga yang miskin telah melihat sendiri warga kapitalis sering mengabaikan kemanusiaan untuk untung dunia yang mereka kejarkan. Apatah lagi apabila banyak peristiwa melanda ke atas keluarga aku sendiri apabila kerana duit dan harta sanggup persaudaraan diputuskan, sanggup menikam saudara sendiri atau teman rapat sendiri, atas alasan untuk selamat dari jatuh miskin.

aku telah lama merasakan akhirnya sistem ekonomi sebegini bukan saja menghancurkan sistem nilai diri masyarakat, malah turut menghancurkan dunia. Apatah lagi apabila aku menganalisis tindak tanduk Amerika yang golongan kapitalisnya bukan saja menguasai sistem ekonomi malah sistem politik serta dasar-dasar luarnya. Berperang atau membunuh hanya untuk kuasai pasaran atau bahan mentah bukan baru bagi dunia.Maka apabila menjelang zaman millenium, diheboh akan proses globalisasi, aku tidak hairan kerana proses itu pasti berlaku atas sebab kapitalis ketagih kemuncak sistem mereka iaitu pasaran terbuka luas yang meliputi seluruh dunia.

masyarakat melayu yang lemah telah lama bergelumang menjadi bahan mainan warga kapitalis. di depan mata aku sendiri, tidak kira dari aliran parti politik mana, duit dan keuntungan menguasai diri, hingga hanya segelintir umat melayu yang nampak bahawa sistem ekonomi kapitalis amat menghancurkan lalu ada di kalangan mereka menongkah arus dalam sistem ekonomi ini.

Kadang-kala aku kelakar dalam duka melihat umat melayu terjebak dalam situasi pemikiran kapitalis apabila sering bertempik tentang harga barang yang naik yang ditawarkan oleh kapitalis,padahal dalam mana-mana teori ekonomi mana pun, situasi harga tidak pernah diberikan haknya semata-mata pada pengusaha ekonomi iaitu sekarang yang dikuasai kapitalis, malah kuasa pengguna atau awam lebih kuat sehingga apa saja jalan yang dirintis oleh awam yang menongkah arus bukan saja boleh menidakkan hak kapitalis untuk berkuasa malah mampu membawa ekonomi baru merevolusikan sistem yang ada.

sepasukan pejuang ekonomi pejuang mesti lahir dari kalangan awam yang sedar ini.Konsep ekonomi pejuang bermula dengan fasa pertama "menyediakan keperluan dan melengkapi kehendak". Setiap manusia pasti memerlukan beberapa aspek keperluan seperti makanan, pakaian,tempat berteduh dan seumpamanya, namun bukan semudah itu untuk seorang manusia memenuhi keperluannya tanpa bergantung pada orang lain. Oleh itu ekonomi pejuang harus bermula dengan fokus manusia menjadi pejuang untuk menyediakan KEPERLUAN BUAT SEGENAP MANUSIA dalam aspek yang ia ada kekuatan atau keupayaan.Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan, maka mesti ada manusia yang meletakkan dirinya menjadi pejuang ekonomi untuk menyediakan makanan buat manusia. Jika dia tidak berupaya menyediakan makanan, maka ia cari bidang keperluan lain yang ia mampu laksanakan seperti menyediakan pakaian atau tempat berteduh. Jika semua bidang telah dipenuhi manusia, maka dicarinya bidang yang melengkapi kehendak iaitu sebagai contoh bidang membungkus makanan (kerana menjadi kehendak manusia untuk makanan mereka berbungkus),atau bidang mengindahkan pakaian (menjadi kehendak manusia untuk ada pakaian yang kemas dan indah),atau mengelokkan tempat berteduh (menjadi kehendak manusia untuk miliki tempat berteduh yang elok). Akhirnya apabila setiap bidang keperluan dan kehendak ini diwujudkan maka diniatkan segala bidang ini berteraskan konsep tadi 'menyediakan keperluan dan melengkapi kehendak'.

Ini berbeza dengan konsep kapitalis yang tidak mempedulikan samada suatu bidang itu keperluan atau melengkapi kehendak, akan tetapi untung dijadikan teras. Fikiran utama puak kapitalis adalah 'apakah suatu bidang itu menguntungkan atau tidak'. Maka dalam sistem ekonomi kapitalis sering dilihat pergelutan dan persaingan ekonomi di mana semua peniaga kapitalis berebut-rebut dalam bidang yang menguntungkan saja dan tidak pedulikan bidang yang menjadi keperluan manusia yang difikirkan mereka tidak mampu memberikan untung. Maka dari konsep mengejar untung ini akhirnya melahirkan suasana ekonomi popular, ekonomi sensasi dan ekonomi merangsang nafsu manusia kerana tiga jenis ekonomi itu mampu membawa keuntungan walaupun dari etika dan kesan terhadap masyarakat adalah buruk.

Sebagai contoh, perniagaan kad prabayar yang merupakan antara bidang ekonomi yang merangsang pengguna melaburkan duit untuk memenuhi kononnya keperluan dan kehendak komunikasi. Kemudiannya timbul pula perniagaan menawarkan ringtone yang berkembang pesat, yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan dari setiap pencebur ekonomi muda yang teruja dengan ekonomi kapitalis.Akhirnya perniagaan mengejar keuntungan ini mengaut berjuta-juta ringgit keuntungan dari pengguna telefon bimbit yang sebenarnya tidak membawa apa-apa makna terhadap sistem kehidupan manusia melainkan melalaikan dan diskriminasi tanpa sedar ke atas harta pengguna.

Berbeza dengan ekonomi pejuang. Jika dalam bidang komunikasi, ekonomi pejuang akan membuatkan pencebur ekonomi berfikir pada peringkat asasnya,'apakah yang diperlukan untuk manusia berkomunikasi'. Maka di situ akan terhasilnya produk telefon bimbit (peringkat yang sama pada awal kapitalis) namun kemudiannya mereka akan ke bidang kehendak dengan berfikir,'bagaimana untuk berkomunikasi menggunakan telefon bimbit dengan murah',maka kehendak manusia untuk 'berjimat' akhirnya membuahkan produk yang kreatif menggunakan bahan kitar semula untuk dijadikan telefon bimbit.Sebagai contoh, perniagaan membeli telefon bimbit terpakai atau rosak, untuk dikitarkan semula menjadi telefon bimbit bermodel baru yang murah,atau dari perniagaan guna-kitar semula bahan plastik lain seperti hanger baju, botol plastik dan lain-lain untuk dijadikan telefon bimbit akan tumbuh pesat. Ekonomi pejuang bukan saja dapat memutarkan modal dalam suasana ekonomi sihat malah menghalang tumbuhnya perniagaan yang bodoh dan merosakkan kehidupan manusia.

begitu juga dengan yang kita lihat pada hari ini, bagaimana orang melayu heboh dianiaya oleh puak kapitalis namun dalam masa yang sama berebut-rebut menjadi kapitalis yang hina mengejar untung samada terlibat dengan perniagaan yang tidak membantu umat seperti menjual atau menawarkan khidmat yang tiada manfaat atas keperluan dan kehendak, ataupun terlibat dengan skim-skim untuk kaya cepat seperti pelaburan internet atau sistem modal tingkat MLM,ataupun terlibat dengan mana-mana perniagaan yang popular dan sensasi seperti melukis komik lucah atau lagho,menulis novel yang tiada estetika makna, menjual majalah tayang bodi, ataupun menjual gosip-gosip politik murahan.

Itu semua bukan saja merancakkan lagi ekonomi kapitalis, tetapi mengakibatkan segala produk keperluan manusia seperti beras, gula, minyak, kerang,dan lain-lain menjadi kawalan puak kapitalis berikutan tiada penawaran diadakan oleh pejuang islam kerana pejuang islam sibuk berniaga bukan atas memenuhi keperluan dan melengkapi kehendak tetapi teruja dengan keuntungan yang cepat dan budaya sensasi dan popular.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: Re: HIMPUNAN IDEA DAN STRATEGI   Thu Aug 30, 2007 2:45 am

Begitu juga dengan konsep bersedekah dalam ekonomi pejuang yang tidak mungkin wujud dalam ekonomi kapitalis. Bersedekah dalam kapitalis yang wujud pun mungkin dilihat dari usaha mempromosi produk dengan menyediakan sedikit sample untuk pengguna rasai, namun dalam ekonomi pejuang konsep sedekah lebih dari itu, iaitu memberikan produk yang terhasil kepada golongan miskin yang tidak berkemampuan membeli produk mereka.Konsep memberikan produk kepada golongan miskin termasuk dalam teras memenuhi keperluan. Begitu juga dengan produk dakwah yang mestilah dimulakan harga dengan RM0 dan hanya akan ditambah nilai harga oleh pengguna sendiri. Jika pengguna membeli produk dakwah dengan harga RM0 maka peniaga telah bersedekah kepada pengguna. Dan apabila pengguna meletakkan harga yang mampu dibayarnya sebagai contoh RM2,maka pengguna telah bersedekah kepada peniaga. Konsep tawar menawar harga dari sudut bersedekah ini hanya wujud dalam sistem ekonomi pejuang dan tidak mungkin wujud dalam dunia kapitalis.

aku ingin jadi pejuang teknologi pembaiki

sebarang kemajuan sains dan teknologi yang menyokong sistem ekonomi pejuang mestilah juga memiliki teras seperti ekonomi pejuang iaitu 'memenuhi keperluan dan melengkapi kehendak'.

di samping memelihara alam yang telah dirosakkan oleh teknologi yang ada sekarang, suatu aliran baru bagi teknologi untuk menyelamatkan keadaan yang timbul dari teknologi sekarang perlu diwujudkan. Dan itulah yang aku panggil sebagai aliran teknologi pembaiki.

Aliran ini sedang giat diusahakan oleh para saintis yang tinggi nilai kemanusiaan dan prihatin mereka terhadap alam sekitar dan nasib bumi.Sebagai contoh beberapa ciptaan penapis asap yang digunakan di corong-corong kilang dan di ekzos kenderaan bermotor adalah asas perkembangan aliran teknologi ini.

Banyak lagi bahaya yang akan menimpa dunia atas sebab kebobrokan teknologi rakus atau teknologi pemusnah yang ada sekarang. Sebagai contoh,penapisan ozon,fenomena rumah hijau, perubahan cuaca dunia dan bermacam lagi.

Dan aku menumpukan lebih perhatian terhadap teknologi persenjataan zaman kini yang sudah mencapai zaman kemuncak melampau bagi keangkuhan teknologi pemusnah.

Saintis-saintis di barat dan timur berlumba-lumba mengkaji dan mencipta pelbagai senjata yang mampu membunuh lebih ramai manusia, mampu membunuh manusia dengan tepat, meletupkan dengan lebih ganas, yang mampu memusnahkan pelbagai macam benda termasuk kereta kebal yang sudah tidak kebal lagi.

Berbeza dengan di zaman dahulu, manusia berperang tanpa memusnahkan banyak harta benda malah tidak meletup atau runtuh barang sekecil bukit pun. Sebagai contoh, perang yang berjalan semasa zaman rasulullah s.a.w dahulu. Mujahidin islam memilih padang pasir kosong yang luas tanpa rumah-rumah mahupun bangunan diruntuh atau dimusnahkan. Jika di kawasan berbukit bukau pula, bukit-bukit digunakan untuk berlindung atau menyusun pasukan semata-mata dan tidak diletup atau dimusnahkan.Anak panah,pedang dan lain-lain tidak merosakkan sedikit pun alam sekitar atau menyebarkan radioaktif yang boleh membahayakan sekalian makhluk di alam ini,tidak terhad kepada pasukan musuh semata-mata. Namun di zaman kini, bukan saja gunung ganang yang terbentuk untuk mengikat lapisan kerak bumi diruntuh dan diletupkan yang merangsang gempa bumi atau ketidaktentuan pergerakan plat-plat tektonik kerak bumi, malah tumbuhan atau haiwan samada di darat, udara mahupun di air mendapat kesan dari penggunaan senjata di zaman kini.

Nuklear merupakan penciptaan senjata yang paling gila dalam tamadun manusia. Walaupun nuklear boleh dimanfaatkan di jalan lain, namun penggunaannya sebagai senjata adalah suatu yang paling tidak berkemanusiaan dan melanggari bulat-bulat amanah Allah kepada manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi.

Nuklear tidak mustahil untuk dilawan oleh satu senjata yang sama kuat atau lebih kuat dari aliran teknologi pembaiki. Walaupun belum tercipta lagi senjata impian itu, namun aku percaya senjata pembaiki yang boleh menterbalikkan kesan nuklear yang memusnah itu kepada membina bukan suatu yang mustahil. Suatu racun boleh bertukar ubat dalam dunia teknologi perubatan, mengapa tidak ada sebuah teknologi untuk menghalang NUKLEAR dari berbuat kerosakan atas muka bumi ini.

Hasrat dan cita-cita aku ini mungkin sudah capai fantasi melampau bagi sesetengah orang namun, aku percaya di beberapa sudut dunia ini, fantasi yang boleh direalitikan dengan disokong usaha mempersatu dan memperkasakan ahli saintis teknologi pembaiki mampu digerakkan. Aku yakin, umat islam adalah kaum manusia yang paling baik dan sesuai untuk melahirkan saintis teknologi pembaiki berikutan teras lahirnya saintis islam adalah apabila mereka memahami bahawa alam ini diamanahkan untuk dijaga dan dipelihara oleh manusia sebagai khalifah Allah di dunia.

aku ingin bersama berjuang menyatukan umat

Telah bergerak di seluruh dunia pada zaman kini, gerakan politik untuk menyebarkan DEMOKRASI ke seluruh dunia.

Aku pernah mendengar dalam salah satu ucapan Dr Mahathir dalam perhimpunan agung UMNO yang aku bersetuju dengan ucapan itu, iaitu ada gerakan sedang memaksa DEMOKRASI diterima oleh setiap negara dan manusia padahal demokrasi bukan penyelesaian semua perkara.

Definisi demokrasi itu sendiri tidak pernah sama antara satu pejuang demokrasi dengan satu pejuang yang lain, malahan demokrasi yang dicanang pada hari ini tidak sama pun dengan demokrasi yang berlaku pada kurun-kurun awal pencanaan ideanya.

aku tidak hairan apabila ada ulama islam menolak terus demokrasi kerana sememangnya menyokong suatu perkara yang banyak cacat cela adalah tidak berbaloi berbanding mempopularkan konsep yang lebih sempurna dari Islam.

Memang sesetengah ulama merasakan nilai demokrasi itu bermesra sahaja dengan nilai atau konsep syura dalam islam. Namun, aku amat berharap para ulama membantu politikus yang bergiat dalam arena demokrasi itu membetulkan sikap mereka yang telah terasuk dengan sistem demokrasi yang dicanang oleh barat yang terkandung di dalamnya konsep hak asasi manusia yang menganut liberalisme songsang dan juga keputusan majoriti tanpa teras pimpinan ulama iaitu menghalalkan sebarang perkara yang disukai oleh majoriti walaupun perkara itu menghancurkan umat.

Oleh sebab menghalang atau merevolusikan sistem politik secara drastik yang menganut demokrasi merujuk barat itu, terutama dalam kes politik kepartian, aku amat berharap para politikus islam yang mencari redha Allah merenung semula strategi rasulullah dalam memperkasakan umat islam di madinah, iaitu persaudaraan islam dan musyawarah.

ada pihak yang menganggap aku adalah anti demokrasi yang batil, malah tidak kurang menganggap aku menolak 'politik' 100%. Padahal yang aku tolak cuma situasi politik kepartian yang dikatakan meraikan demokrasi ini. Aku tidak bersetuju jika mereka mengatakan pergabungan atau wujudnya satu sahaja parti naungan islam itu akan membunuh demokrasi. Jika demokrasi yang mereka maksudkan adalah keputusan adalah berdasarkan majoriti, atau suasana setiap pandangan didengar sebenarnya BOLEH berlaku juga dalam satu kesatuan sahaja.

aku tidak pasti samada yang bercakap soal demokrasi dalam islam itu memahami betul-betul apa yang dicakapkannya atau mereka hanya orang yang sudah terasuk dengan permainan zionis dan barat yang merencanakan kebebasan bersuara ( provokasi terhadap ajaran islam) , hak asasi manusia (kebebasan berugama termasuk untuk murtad) dan juga demokrasi (berkembangnya majoriti puak hedonis di kalangan remaja islam).

Aku memang tidak pernah bersetuju ahli umara atau ulama berpecah menjadi dua parti, dan aku amat berharap umat islam sedar bahawa pergabungan dan kesatuan yang berteraskan semangat persaudaraan islam ahlus sunnah wal jamaah, dasar mencari redha Allah atau redha Allah centric dan kerjasama dalam konsep perkongsian kepakaran dan saling lengkap melengkapi jamaah dan gerakan akan membuahkan bukan saja umat islam yang bersatu padu malah kuasa politik yang amat digeruni oleh sekalian musuh islam dari kalangan sekularis, kapitalis,hedonis, dan lain-lain di tanah air atau dunia.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
 
HIMPUNAN IDEA DAN STRATEGI
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Strategi Sukses di Tempat Kerja
» Empat Strategi Bebas dari Hutang

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: