MFR STUDIO

studio puitis jalanan
 
IndeksFAQPencarianPendaftaranAnggotaGroupLogin

Share | 
 

 SUMBANG IDEA YANG TIDAK SUMBANG

Topik sebelumnya Topik selanjutnya Go down 
PengirimMessage
mfr



Jumlah posting : 295
Registration date : 06.05.07

PostSubyek: SUMBANG IDEA YANG TIDAK SUMBANG   Wed Feb 13, 2008 3:33 am



Filem ini bertajuk "Pay It Forward". Bolehlah baca sinopsis yang dihurai dengan baik oleh hamka kereta mayat:

http://keretamayat.blogspot.com/2008/02/pay-it-forward.html

http://keretamayat.blogspot.com/2008/02/pay-it-forward-part-ii.html

atau jika anda tak suka membaca, bolehlah lihat rakaman sinopsis yang ditapis dan disusun semula oleh saya di youtube:

http://www.youtube.com/view_play_list?p=376AD9FD7453016F

cerita ini ada idea yang besar, cuma jalan ceritanya meleret pada bahagian usaha si anak untuk menjodohkan ibu nya dengan cikgunya itu saya tak suka (jadi saya potong hampir 70 minit isi filem ini). Dan di akhir cerita ini, saya fahamlah bahawa cerita ini berkonsepkan dakyah kristian dalam mengembalikan umat kristian terutama penduduk amerika untuk kembali menghargai nilai kemanusiaan demi keamanan dunia.

Tapi bukan fokus pada konsep "pay it forward" yang ingin saya tekankan. Kerana idea "pay it forward" itu juga falsafahnya di terjemah oleh Ustaz Hasrizal dengan cogankatanya "Erti hidup pada memberi" di saifulislam.com . Konsep "pay it forward" itu juga dipegang utuh oleh jamaah tabligh dalam menyebarkan seruan untuk manusia kembali muhasabah akan iman dan memperbanyakkan mendengar kebesaran Allah sebagai amal jariah mereka.

Hari ini, jamaah tabligh tersebar luas bergerak hampir di seluruh dunia. Mereka menyampaikan (tabligh @ memberi dakwah) dan kemudian mengajak yang mendengarnya sambung menyampai dan menyebarkan. Sebenarnya inilah rahsia bagaimana Islam mampu tersebar luas dengan pantas. Kerana usaha menyampaikan sejak dari zaman Rasulullah tak pernah putus.

Dan inilah rahsia tradisi adab menuntut ilmu yang dipertahankan oleh para ulama ahlussunnah yang mengutamakan menuntut ilmu biarlah berguru iaitu dengan jalan talaqqi. Dengan jalan talaqqi maka ilmu diturunkan secara bersanad bukan saja isi ilmu itu malah keberkatannya dengan menurunkan keazaman para penuntut ilmu agama untuk menyambung ajaran Rasulullah termasuk dengan teladan akhlak yang cantik dan indah. Sunnah baginda bukan sekadar sabda baginda, malah patuhlah suri tauladan baginda seluruhnya termasuk penyempurnaan akhlak.

Saya bukanlah orang tabligh walaupun bersedia menyumbang dan menolong usaha jamaah tabligh bila-bila masa yang mampu. Saya juga bukan penuntut ilmu agama malah saya tak pernah bersekolah agama walaupun saya ada impian untuk bertalaqqi dengan ulama. Jika kebiasaan di Selangor, kanak-kanak sekolah rendah akan mengikuti dua sesi sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Sebelum saya berhijrah ke selangor, di perak kelas fardu ain diadakan atas usaha ustaz ustazah yang meminjam bangunan sekolah kebangsaan pada sesi petang. Saya tak mengikuti sekolah agama selepas berhijrah ke selangor kerana ayah kesuntukan wang.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai IDEA. Betapa sebenarnya seawal usia kanak-kanak sudah punya IDEA. Ini bukan cerita tipu. Ini bukan fantasi. Ia berlaku dalam hidup saya dan rakan-rakan saya. Ia berlaku dalam hidup ramai di antara ayah-ayah kita. Malahan ia telah berlaku di zaman datuk-datuk kita malah lebih awal dan awal dan awal dalam sepanjang sejarah zaman tamadun manusia. Kita tentu pernah dengar kisah kanak-kanak boleh berkata-kata sejak kecil termasuk Nabi Isa a.s. Kita juga tahu betapa Nabi Muhammad s.a.w sejak kecil telah dikenali sebagai al-amin. Kita pernah dengar lagenda Hang Nadim dalam kisah orang melayu. Hari ini kita ada Adiputra yang hebat matematik.

Mungkin masyarakat kita tak sedar, walaupun kanak-kanak bukanlah semuanya genius seperti Adiputra atau seperti sebuah kisah seorang kanak-kanak ajaib di Malaysia yang pada mulanya punya IQ tinggi tapi akhirnya membesar dan bekerja menjual berger dan kemudian berakhir kisahnya di penjara kerana mengedar dadah, namun hakikatnya semua kanak-kanak ada IDEA!

Ibubapa dan masyarakat kita tak memahami, atas sebab fitrah kanak-kanak yang tak matang suka bermain seperti saidina Hassan dan Hussain juga bermain ketika Rasulullah s.a.w sedang bersolat, namun bukanlah satu alasan untuk kita latih kanak-kanak kita menjadi bertambah tak matang dengan suka menipu pada mereka dengan cerita hantu, memanjakan mereka dengan fantasi yang bodoh dari kartun yang bodoh, atau membiarkan ketidakmatangan mereka berleluasa atas alasan mereka masih kanak-kanak.

Bukan pula mesti kita berkeras dengan mereka dengan sistem disiplin yang ditetapkan kita hingga buat mereka menjadi pasif. Akan tetapi ketahuilah dan sedarlah bahawa kanak-kanak menyimpan IDEA paling suci dan ikhlas dari akal yang segar untuk kita gali, asah, dan suburkan biar ia bercambah untuk lahirnya perwira-perwira bagi membela umat di masa hadapan kelak bila mereka dewasa.

Kita boleh tetapkan disiplin dan aturan, khususnya seperti ibadah yang ditetapkan oleh syarak. Dan menerangkan pada kanak-kanak.Namun jangan berhenti setakat itu dan kemudian harapkan kanak-kanak terus mengamalkannya tanpa tahu apa IDEA respon dari kanak-kanak itu terhadap penerangan kita. Mungkin susunan aturan syarak memang tak patut disoal, seperti kenapa Allah memerintahkan kita supaya menyuruh anak-anak solat, dan jika tak solat boleh memukul mereka dengan kadarnya, namun kita wajib tahu adakah penerangan kita sudah dapat beri IDEA pada mereka, atau dengan erti kata lain buat mereka FAHAM? Malah kadangkala apabila kita mendapatkan IDEA respon mereka, kita boleh menguji diri kita, adakah benar-benar kita FAHAM dengan apa yang kita terangkan pada mereka?

Kita mesti sedar bahawa anak-anak punya pertumbuhan IDEA yang tak patut dicantas dengan timbulkan suasana TAKUT pada mereka untuk suburkan IDEA dengan latihan FIKIR, malah tak patut juga IDEA mereka rosak dengan kita semai baja tahi ayam dari fantasi karut hingga buat mereka LALAI, atau kita tanamkan semata-mata IDEA kita untuk mereka jadi PAK TURUT semata-mata.

Di sinilah asas untuk kita memahami BENTUK PENDIDIKAN YANG BUKAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN dengan kita sedar-sedarkan diri kita semua sebagai ahli masyarakat bahawa setiap anak-anak kecil itu PUNYA IDEA BERNAS yang boleh kalahkan PAK LAH dan ANWAR IBRAHIM sekalipun!

Asas kenapa kanak-kanak boleh berfikir IDEA BERNAS untuk ketamadunan manusia kembali pada jalan yang diredhai Allah, jalan Islam, kembali pada fitrah (aidil fitri), adalah kerana kanak-kanaklah generasi manusia yang paling dekat dengan sifat FITRAH manusia atas kerana mereka belum dicemari dosa, penyakit hati, dan hawa nafsu. Benar, IDEA mereka belum cukup kuat kerana IDEA perlukan PENGALAMAN. Sebab itu dalam apa juga perkara ORANG TUA sering punya TANGGUNGJAWAB yang berat dalam menangani isu UMAT.

Namun!

Di sinilah kita jumpa kunci untuk bina PENDIDIKAN abad baru yang menghargai IDEA dan BAKAT kanak-kanak untuk disubur menjadi pejuang umat adalah PENDIDIKAN yang menggalakkan FIKIR untuk BERPENGALAMAN. Bukan konsep MENGHAFAL,LATIHAN dan JAWAB SOALAN PERIKSA yang kita agungkan pada masa kini.

Ketahuilah imam syafie memang kuat menghafal, tapi imam syafie berjalan merata mencari guru dan menyebar ilmu di usia muda hingga timbul FIKIR padanya untuk menilai PENGALAMANnya sepanjang perjalanannya itu. Ketahuilah bahawa Imam al ghazali berjalan untuk memberi ruang padanya untuk FIKIR dan kutip PENGALAMAN dari usaha BERFIKIR itu.

Oleh itu sistem sekolah kita perlu diubah untuk menjayakan PENDIDIKAN yang menjayakan FIKIR dan PENGALAMAN ini dengan cara:

1) tetapkan guru-guru dalam pengkhususan bidang mereka pada satu sekolah satu bidang sejak sekolah rendah lagi.

2) anak-anak perlu didedahkan kemahiran dan ilmu yang patut mereka pelajari dengan cara mereka harus belajar merancang dan melakukan kajian dengan mengkehendaki mereka bepergian dari satu sekolah ke satu sekolah untuk meninjau ilmu apakah yang menarik berdasarkan kecenderungan dan bakat mereka.

3) Guru-guru dan pihak sekolah mestilah bertungkus lumus menonjolkan keupayaan aplikasi ilmu pengkhususan mereka itu. sebagai contoh, apakah aplikasi ilmu bahasa yang boleh menyumbang pada ketamadunan manusia (penghasilan karya-karya sastera yang membangunkan minda manusia), atau apakah aplikasi ilmu sains yang boleh menyumbang pada ketamadunan manusia (penghasilan teknologi, inovasi dan rekacipta, dan kajian alam).

Dengan kaedah ini, tiada peperiksaan lagi di sekolah. Sekolah bukan lagi tempat yang menakutkan. Tetapi merupakan majlis ilmu yang digambarkan sebagai taman-taman syurga. Apa tidaknya, sistem pendidikan sebegini mengkehendaki murid mencari guru, kerana mereka berminat dengan ilmu yang ada pada guru itu, mereka dahagakannya untuk menyubur IDEA dan BAKAT yang ada dalam diri mereka supaya bercambah. Di sinilah keupayaan guru untuk menanamkan jatidiri dan sahsiah peribadi dengan menerapkan MATLAMAT yang ingin dicapai dalam setiap ilmu berhasil sampai lalu tertanam dalam diri setiap murid.

Jangan bimbang. Allah s.w.t menjadikan manusia itu berbeza-beza kecenderungan dan bakat mereka sejak lahir lagi walaupun rambut mereka sama hitam , hati dan jiwa mereka punya citarasa lain-lain. Jangan takut dan berkata, jika murid perlu cari guru, maka semua kanak-kanak akan berkumpul di sekolah yang khusus pada ilmu lukisan saja (sebab kanak-kanak sukakan lukisan). Salah! Kanak-kanak sebenarnya bukan ada satu saja kecenderungan, malah sesetengah mereka ada berpuluh kecenderungan dalam masa yang sama! Di sinilah sebab mengapa cendikiawan Islam dulu boleh menguasai pelbagai bidang dalam masa yang sama. Namun, pastinya sebelum melepaskan kanak-kanak itu ke sekolah, Ibu Bapa perlulah mencorakkan kain putih mereka untuk jadi umat Islam dengan mula ajar anak mereka KENAL ALLAH.
Kembali Ke Atas Go down
Lihat profil user http://contengmfr.blogspot.com/
 
SUMBANG IDEA YANG TIDAK SUMBANG
Topik sebelumnya Topik selanjutnya Kembali Ke Atas 
Halaman 1 dari 1
 Similar topics
-
» Remaja yang Tidak Merokok Hidupnya 5 Kali Lebih Bahagia
» Keindahan yang Tidak Terlihat
» Ada 11 Negara Yang Tidak Pernah Dijajah Oleh Negara Lain
» Memilih Pembalut yang Baik
» 5 Komponen Mesin yang Sering Bermasalah

Permissions in this forum:Anda tidak dapat menjawab topik
MFR STUDIO :: ARKIB-
Navigasi: